Diterbitkan pada 13 Mac 2026, 23:18

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Seberang Jaya – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menyalurkan sumbangan berjumlah RM1 juta kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi menyokong pelaksanaan inisiatif pendidikan yang merangkumi Program Sekolah Angkat DBP, Program Silang Budaya Pelbagai Kaum, dan Program Budaya Membaca.

Simbolik penyerahan sumbangan menerusi cek cura itu disempurnakan oleh Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari, kepada Menteri Pendidikan, Yang Berhormat (YB) Puan Fadhlina Sidek dalam Majlis Berbuka Puasa MADANI Ihya’ Ramadan KPM Tahun 2026 di Hotel The Light pada Jumaat.

Secara keseluruhannya, dana peruntukan berkenaan disasarkan untuk menggilap bakat generasi muda dan meningkatkan tahap kompetensi guru, sekali gus memperkukuh kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa pengantar utama dalam sistem pendidikan negara.

Daripada jumlah tersebut, DBP memperuntukkan dana berjumlah RM500,000 kepada 25 buah sekolah terpilih di seluruh negara melalui Program Sekolah Angkat DBP.

Selain itu, dana bernilai RM250,000 disalurkan khusus kepada lima buah sekolah di bawah seliaan KPM melalui Program Silang Budaya Pelbagai Kaum bagi menyemarakkan semangat perpaduan dalam kalangan murid.

Program Budaya Membaca yang melibatkan peruntukan RM250,000 pula bertujuan membudayakan amalan membaca secara berterusan dalam kalangan murid sebagai asas ilmu, pembentukan sahsiah dan jati diri murid.

Dalam majlis yang sama, Fadlina turut menyempurnakan penyerahan cek cura kepada tujuh buah Sekolah Angkat DBP bagi zon utara, iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ahmad Boestamam (Perak), SMK Sultan Idris Shah II (Perak), SMKA Syeikh Abdullah Fahim (Pulau Pinang), SMK Syed Sirajuddin (Perlis), SMK Datuk Syed Ahmad (Kedah), Sekolah Kebangsaan (SK) Aminuddin Baki (Perak), dan SK Tan Sri Awang Had Salleh (Pulau Pinang).

Majlis berkenaan menyaksikan penyerahan sumbangan daripada beberapa agensi lain seperti Yayasan Guru Tun Hussein Onn, Perbadanan Kota Buku, Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM), Institut Terjemahan dan Buku Malaysia, Yayasan Didik Negara serta Majlis Buku Kebangsaan Malaysia.

Sementara itu, Fadlina dalam ucapannya memaklumkan bahawa penganjuran program Jaulah Ramadan Komuniti KPM pada tahun ini membawa pendekatan yang berlainan dengan memanfaatkannya untuk memperteguh ikhtiar pendidikan negara menerusi Rancangan Pendidikan Malaysia 2026–2035.

Menteri Pendidikan, YB Puan Fadhlina Sidek ketika menyampaikan ucapannya.

Beliau menzahirkan penghargaan terhadap komitmen DBP yang berganding bahu bersama-sama dengan pihak KPM bagi menjayakan program Ziarah Jawi, Cakna Jawi dan Semarak Bahasa sepanjang Ramadan.

“Komitmen sedemikian amat penting bukan sahaja pada peringkat DBP, tetapi juga dalam usaha melazimkan penggunaan bahasa Melayu yang betul.

“Inisiatif memartabatkan bahasa ini harus diterajui pada peringkat KPM, apatah lagi penerapannya dalam kalangan masyarakat,” jelas beliau.

Mengulas lanjut mengenai Program Ziarah Jawi anjuran DBP di bazar Ramadan terpilih, beliau mendapati usaha tersebut disambut baik oleh para peniaga secara keseluruhannya menerusi tinjauan yang dilakukan.

Tegas beliau, langkah proaktif itu perlu diteruskan pada bulan yang lain menerusi komitmen berpasukan bagi mengekalkan kesinambungan agenda ini.

Majlis berbuka puasa tersebut turut dihadiri oleh Timbalan Menteri Pendidikan, YB Wong Kah Woh; Exco Perdagangan dan Perpaduan Masyarakat Pulau Pinang, YB Tuan Goh Choon Aik; Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, YBhg. Datuk Dr. Mohd. Azam Ahmad serta pegawai kanan KPM.

Kredit Foto: Syafiq Selamat
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi