Diterbitkan pada 27 Mac 2026, 17:56

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Malaysia dan Pakistan menyatakan kesepakatan dalam menyokong segala usaha diplomatik bagi meredakan ketegangan yang semakin memuncak di rantau Asia Barat, baru-baru ini.

Perkata tersebut dicapai menerusi perbualan telefon antara Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat (YAB) Dato’ Seri Anwar Ibrahim dengan rakan sejawatnya Perdana Menteri Pakistan, Shebaz Sharif bagi membincangkan perkembangan terkini konflik serta krisis keselamatan di rantau berkenaan secara mendalam.

Dalam perbualan tersebut, Malaysia memberikan pujian tinggi terhadap peranan aktif yang dimainkan oleh Pakistan sebagai orang tengah dalam usaha meredakan ketegangan di rantau itu, termasuk inisiatif mempertemukan pelbagai pihak yang terlibat bagi mencari jalan penyelesaian.

Malaysia turut menegaskan pendirian tegas bahawa setiap usaha yang bertujuan untuk menghentikan pertumpahan darah serta memulihkan keamanan dan kestabilan di Asia Barat perlu mendapatkan sokongan penuh daripada semua pihak antarabangsa.

Selain menyentuh isu geopolitik yang mencabar, kedua-dua pemimpin tersebut turut mengambil kesempatan berkongsi kegembiraan sempena sambutan Aidilfitri yang sedang dirayakan. Momentum perayaan ini digunakan sepenuhnya untuk saling mendoakan agar rakyat di Malaysia dan Pakistan sentiasa dianugerahkan keamanan, kemakmuran serta kesejahteraan hidup yang berpanjangan.

Perbualan tersebut juga menjadi platform untuk mempererat hubungan antara dua hala Malaysia dan Pakistan selama ini dikenali sebagai negara yang mengamalkan kemesraan  dan menjalinkan persaudaraan untuk berkongsi pendirian dalam isu kemanusiaan dan perdamaian pada peringkat antarabangsa.

Kredit Foto: Facebook Rasmi Anwar Ibrahim
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi