Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengambil tindakan segera bagi menangani isu akses pendidikan dan keselamatan yang berbangkit di Sekolah Kebangsaan (SK) Balaban Jaya, Beluran, Sabah susulan keadaan infrastruktur sekolah yang tidak lagi selamat.
Isu tersebut dikenal pasti berpunca daripada kerosakan pada sebahagian infrastruktur sekolah akibat pergerakan tanah dan cerun, sekali gus menjejaskan tahap keselamatan persekitaran pembelajaran.
Sehubungan dengan itu, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah telah melaksanakan beberapa sesi libat urus bersama-sama pihak berkepentingan, termasuk ibu bapa dan masyarakat setempat bagi mencari penyelesaian terbaik terhadap situasi berkenaan.
Sebagai langkah segera, murid terlibat akan dipindahkan sementara ke SK Pekan Beluran, selain penyediaan pengangkutan bagi memastikan kelancaran kehadiran ke sekolah tanpa membebankan ibu bapa. Langkah ini juga bertujuan memastikan proses pembelajaran tidak terjejas.
Pada masa yang sama, kerja naik taraf di SK Sungai Nangka akan dilaksanakan bagi menampung keperluan penempatan sementara murid sementara menunggu pembinaan semula SK Balaban Jaya.
KPM menegaskan komitmen penuh untuk memastikan kebajikan, keselamatan dan keperluan pendidikan semua murid yang terjejas terus terpelihara sepanjang tempoh penyelesaian isu ini.