Diterbitkan pada 27 April 2026, 20:11

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Arau – Dalam arus dunia yang semakin dipacu dengan teknologi, Kecerdasan Buatan (AI) muncul bukan sekadar sebagai alat inovasi, malah berperanan sebagai wahana penting dalam membentuk cara manusia berfikir, menilai dan bertindak.

Pendidikan tinggi kini tidak lagi boleh meminggirkan AI, sebaliknya perlu mengangkat teknologi tersebut sebagai sebahagian daripada literasi asas bagi mempersiapkan generasi masa hadapan.

Menurut Pensyarah Kanan dari Fakulti Sains Komputer dan Matematik (FSKM), UiTM Cawangan Perlis, YBrs. Prof. Madya Dr. Shukor Sanim Mohd Fauzi, AI kini berfungsi sebagai infrastruktur intelektual yang merentasi pelbagai sempadan disiplin ilmu.

“AI bukan lagi sekadar bidang teknikal, tetapi telah menjadi asas kepada cara kita memahami data, membuat keputusan, serta meramalkan masa hadapan,” jelas beliau.

Dalam konteks universiti, beliau menyifatkan AI sebagai jambatan yang menghubungkan teori akademik dengan realiti dunia sebenar yang semakin rencam. Kehadiran AI di menara gading membantu pelajar mengaitkan konsep abstrak dengan tuntutan kehidupan luar yang kompleks.

Beliau turut menekankan bahawa pengajaran AI tidak seharusnya terhad kepada dimensi teknikal semata-mata.

“Kita perlu beralih kepada pendekatan berasaskan masalah agar pelajar dapat menghayati aplikasi sebenar AI dalam sektor strategik seperti kesihatan, tenaga dan perkhidmatan awam,” jelasnya.

Dalam hal ini, universiti berperanan sebagai pemangkin yang menghubungkan akademik, industri dan dasar awam. Sinergi ini amat penting bagi memastikan graduan yang dilahirkan bukan sekadar mahir teknologi, malah kompeten dalam memahami konteks penggunaannya terhadap masyarakat.

Namun demikian, usaha memperkukuh pendidikan AI tetap berhadapan dengan cabaran tersendiri. Antara hambatan utama yang dikenal pasti termasuklah jurang kompetensi tenaga pengajar, kekangan infrastruktur data, serta kepantasan evolusi teknologi itu sendiri.

“Kurikulum sering kali ketinggalan sekiranya tidak dikemas kini secara dinamik, memandangkan teknologi berkembang terlalu pantas,” kata beliau.

Pendedahan awal kepada AI turut memberikan impak signifikan terhadap pembentukan pemikiran kritis pelajar dalam kemahiran berfikir.

“AI melatih mereka untuk berfikir secara sistemik, berupaya memecahkan masalah kompleks, serta membuat inferens berasaskan data yang kukuh, selain memupuk pemikiran reflektif,” jelasnya lagi.

Sehubungan dengan itu, YBrs. Prof. Madya Dr. Shukor Sanim Mohd Fauzi berpandangan bahawa pendedahan asas terhadap AI wajar diperluas ke semua bidang pengajian.

Beliau menegaskan bahawa bukan semua pelajar perlu menjadi pembangun sistem AI, namun setiap individu perlu menjadi pengguna yang berilmu dan berupaya berfikir secara kritis.

 

YBrs. Prof. Madya Dr. Shukor Sanim Mohd Fauzi ketika menyampaikan ceramah mengenai “AI sebagai Pemangkin Generais Minda Berfikiran Kritis”

Aspek etika juga tidak boleh dikesampingkan dalam pendidikan AI. Beliau menegaskan bahawa setiap aplikasi AI harus disertakan dengan perbincangan mendalam mengenai bias algoritma, privasi data dan akauntabiliti menerusi prinsip ethics-by-design.

Mengulas mengenai masa hadapan pendidikan AI di Malaysia, beliau menyatakan rasa optimis terhadap potensi bidang ini sebagai pemangkin kemajuan negara.

“Matlamat kita adalah untuk melahirkan pencipta nilai yang mampu menyumbang kepada penyelesaian isu nasional yang besar, iaitu bukan sekadar menjadi pengguna teknologi,” tambahnya lagi.

Oleh sebab itu, pendidikan AI harus dilihat sebagai satu usaha holistik dalam membina generasi yang bukan sahaja celik teknologi, malah mempunyai kematangan dari segi pemikiran dan nilai.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi