Diterbitkan pada 29 April 2026, 15:54

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Arau – Warga akademik Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis diseru untuk melakukan anjakan paradigma dalam mendepani landskap pendidikan global yang semakin dinamik dan mencabar.

Seruan tersebut dizahirkan dalam sesi libat urus Hala Tuju Akademik Universiti Teknologi MARA yang berlangsung di Dewan Seri Semarak, UiTM Cawangan Perlis.

Dalam ucapan alu-aluan oleh Timbalan Rektor Bahagian Hal Ehwal Akademik UiTM Cawangan Perlis, YBrs. Prof. Madya Dr. Ahmad Fikri Mohd Kassim, beliau mengalu-alukan kehadiran Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), YBrs. Prof. Dr. Yamin Yasin bersama-sama delegasi Jabatan Akademik dan Antarabangsa UiTM.

Beliau turut memperincikan kekuatan akademik UiTM Cawangan Perlis yang merangkumi tujuh fakulti utama serta dua akademi pengajian yang menyokong pembangunan holistik pelajar.

UiTM Cawangan Perlis komited memperkukuh ekosistem akademik yang inklusif dan berdaya saing melalui pemerkasaan program Service Learning Malaysia-University for Society (SULAM), pengantarabangsaan serta kolaborasi strategik bersama institusi global,” kata beliau.

YBrs. Prof. Madya Dr. Ahmad Fikri Mohd Kassim berucap di Dewan Seri Semarak, UiTM Cawangan Perlis.

Komitmen tersebut dibuktikan melalui pelbagai pencapaian termasuk kejayaan program SULAM, pengantarabangsaan serta pemeteraian memorandum persefahaman dan perjanjian dengan institusi luar negara.

Sementara itu, Prof. Dr. Yamin Yasin dalam sesi perkongsiannya menekankan pelaksanaan kerangka Education 5.0@UiTM (2020–2025) yang berteraskan lima tonggak utama, iaitu kurikulum yang koheren dan relevan, penghantaran dan penilaian inovatif, pengalaman pembelajaran bermakna, persekitaran pembelajaran transformatif, dan pendidik yang memberikan inspirasi.

“Pendekatan Education 5.0 dan kesinambungannya melalui Education 5.1 menuntut warga akademik untuk mentransformasikan pedagogi ke arah pembelajaran bermakna, berteraskan teknologi serta berimpak tinggi bagi melahirkan graduan masa hadapan yang seimbang dan progresif,” kata beliau.

Warga akademik tekun mengikuti sesi libat urus di Dewan Seri Semarak, UiTM Cawangan Perlis.

Menurut beliau, pendekatan ini berupaya melahirkan pelajar berfikiran progresif yang berorientasikan masa hadapan, terbuka kepada perubahan serta berkeupayaan menyelesaikan masalah secara kreatif dan beretika.

Pada masa yang sama, beliau mengingatkan warga akademik tentang amanat Naib Canselor UiTM yang menekankan kepentingan teras impak kecemerlangan akademik dan teras impak pelajar masa hadapan dan pembelajaran sepanjang hayat.

Pelaksanaan Education 5.0 turut mencatatkan pelbagai pencapaian signifikan, antaranya semakan semula 234 program akademik, integrasi kecerdasan buatan dalam kurikulum, penjajaran lebih 1,400 kursus dengan elemen pendidikan berasaskan nilai serta peningkatan ketara dalam kursus mikro dan MOOC.

Beliau turut menjelaskan penjajaran strategik antara UiTM dan Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035 yang menggariskan enam lonjakan dari sepuluh lonjakan utama berkaitan akademik, termasuk lonjakan pembelajaran berpaksikan kemanusian, bercirikan keusahawanan dan adaptif; lonjakan bakat berprestasi tinggi dipacu matlamat, lonjakan kompetensi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) termaju, lonjakan pendidikan fleksibel dan pembelajaran sepanjang hayat; lonjakan kamampanan dan kesihatan bumi; dan lonjakan penyampaian responsif dan dinamik.

YBrs. Prof. Dr. Yamin Yasin menyampaikan perkongsian hala tuju akademik di Dewan Seri Semarak, UiTM Cawangan Perlis.

Mengulas hala tuju seterusnya, beliau memperkenalkan kerangka Education 5.1@UiTM yang memberi penekanan kepada pembangunan graduan seimbang melalui program akademik lestari, bimbingan pensyarah berinspirasi serta keupayaan menyesuaikan diri dengan perubahan landskap pendidikan global.

Antara strategi yang digariskan termasuk pengukuhan kompetensi digital melalui integrasi kecerdasan buatan, penerapan nilai etika, kesejahteraan holistik serta penglibatan komuniti dalam usaha melahirkan graduan seimbang.

Sesi libat urus ini diharap dapat menyebarluaskan maklumat kritikal berkaitan hala tuju akademik universiti sejajar dengan aspirasi nasional dan keperluan semasa pendidikan tinggi.

Kehadiran menyeluruh warga akademik mencerminkan komitmen berterusan UiTM dalam memperkukuh kecemerlangan pendidikan serta memastikan institusi kekal relevan pada peringkat global.

Kredit Foto: Bahagian Hal Ehwal Akademik UiTM Cawangan Perlis
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi