Diterbitkan pada 6 Mei 2026, 20:51

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kota Bharu – Pendekatan penulisan berteraskan unsur manusiawi dan gaya kewartawanan baharu menghidupkan emosi, pengalaman manusia serta penceritaan berfakta menjadi antara pengisian utama Bengkel Penulisan Efektif Era Digital anjuran Urus setia Penerangan dan Komunikasi Negeri Kelantan (UPKN).

Mantan Pengarang Mingguan Malaysia, Yang Mulia (YM) Ku Seman Ku Hussain berkata, penulisan berita tidak seharusnya sekadar menyampaikan fakta secara kaku, sebaliknya perlu membawa pembaca menyelami kehidupan dan pengalaman manusia di sebalik sesuatu peristiwa.

Menurutnya, pendekatan unsur kemanusiaan mampu menghidupkan berita yang “kering” dengan suntikan emosi, gambaran suasana dan pengalaman sebenar manusia sehingga pembaca bukan sahaja mengetahui sesuatu peristiwa, malah turut merasainya.

YM Ku Seman Ku Hussain semasa membimbing Bengkel Penulisan Efektif Era Digital di Dewan Teratai, Kompleks Kota Darulnaim.

“Unsur kemanusiaan ialah jiwa berita. Wartawan bukan hanya melaporkan perkara yang berlaku, tetapi menjadi jambatan yang membawa pembaca menyelami kehidupan orang lain secara lebih dekat,” katanya ketika membimbing bengkel tersebut di Dewan Teratai, Kompleks Kota Darulnaim, semalam.

Mengulas lanjut beliau menjelaskan, pendekatan kewartawanan baharu pula membuka ruang kepada wartawan menggunakan teknik naratif seperti penceritaan, dialog, gambaran suasana dan fokus kepada watak bagi menjadikan berita lebih hidup tanpa mengabaikan fakta sebenar.

Katanya lagi, gaya penulisan tersebut berkembang sebagai reaksi terhadap penulisan berita tradisional yang terlalu rigid (kaku) dan bersifat mekanikal.

“Pembaca hari ini bukan sekadar mahu tahu peristiwa yang berlaku, tetapi mahu melihat, mendengar dan merasai sendiri suasana sesuatu peristiwa melalui penulisan,” ujarnya.

Bengkel yang dihadiri sebanyak 87 orang peserta itu turut memberi penekanan terhadap disiplin asas kewartawanan termasuk penggunaan formula 5W1H, teknik membina pengenalan berita yang kuat serta kaedah mengembangkan idea penulisan secara lebih tersusun.

Seorang peserta yang juga Ahli Dewan Negara, Yang Berhormat (YB) Senator Dr. Wan Martina Wan Yusoff berkata, pendekatan yang diketengahkan dalam bengkel tersebut membantu peserta memahami cara mengolah fakta dalam bentuk penulisan yang lebih dekat dengan emosi pembaca.

“Input yang diberikan sangat membantu, khususnya dalam memudahkan kita menulis secara lebih berfakta dan pada masa sama menghidupkan penulisan supaya mampu menarik minat serta emosi pembaca,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Akademi dan Pemasaran, Permodalan Kelantan Berhad (PKB) Gold, Puan Atira Ludin menyifatkan bengkel tersebut sebagai platform penting untuk meningkatkan mutu karya dan keyakinan penulis.

“Dengan input yang diterima, bengkel ini mampu meningkatkan kualiti penulisan saya dan memberikan keyakinan untuk menghasilkan karya yang lebih baik,” ujarnya.

Bagi penuntut Ijazah Doktor Falsafah (PhD) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Puan Nik Ihtisyam Nik Razi, 30 tahun, program tersebut membuka ruang kepada peserta untuk lebih yakin menembusi dunia media dan penulisan profesional.

“Sebelum ini kita rasa terlalu kecil dalam dunia penulisan, tetapi sebenarnya tiada halangan untuk kita berkarya dan menyampaikan idea kepada masyarakat,” katanya.

Puan Nik Ihtisyam Nik Razi merupakan salah seorang peserta bengkel memberikan maklum balas positif terhadap bengkel ini.

Beliau yang pernah terlibat bersama-sama Hamare Group menerusi buku Sahaja Aku Memilih Dia berkata, pengalaman dalam bidang akademik dan penulisan mendorongnya menterjemah idea ilmiah dalam bentuk yang lebih mudah difahami masyarakat.

Seorang lagi peserta, Nik Nur Humaira Nik Yusri, 26 tahun berkata bengkel tersebut turut membantu membina jaringan komuniti penulis yang positif selain memperkukuh kemahiran berkarya.

Beliau yang aktif menulis sejak di bangku sekolah berkata, penulisan kini menjadi medium sokongan kepada perniagaan kitab Arab yang diusahakannya.

“Program ini sangat membantu kerana memberikan langkah penyelesaian kepada cabaran yang dihadapi penulis selain membentuk kumpulan penulis yang positif,” katanya.

Beliau turut menekankan kepentingan budaya membaca sebagai asas penting dalam dunia penulisan, selaras dengan pandangan A. Samad Said bahawa menulis tidak dapat dipisahkan daripada amalan membaca.

Kredit Foto: Media UPKN
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi