Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Kementerian Pendidikan (KPM) secara rasmi menyambut kehadiran YBhg. Datuk Wan Hashim Wan Rahim yang memulakan tugas sebagai Ketua Setiausaha (KSU) yang baharu pada hari ini.
Majlis simbolik “rakam masuk” telah diadakan di Lobi Blok E8, Kompleks E, Putrajaya dengan kehadiran barisan kepimpinan tertinggi kementerian, termasuk Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (KPPM) serta Timbalan Ketua Setiausaha (TKSU) KPM.

Ketibaan YBhg. Datuk Wan Hashim pada pukul 8.30 pagi itu disambut oleh timbalan-timbalan ketua setiausaha, ketua-ketua bahagian, serta pegawai-pegawai kanan KPM.
Beliau kemudiannya mengimbas kad perakam waktu sebagai tanda bermulanya amanah baharu menerajui pentadbiran KPM.

Pelantikan beliau dianggap sebagai kesinambungan penting kepada KPM memandangkan YBhg. Datuk Wan Hashim bukanlah nama asing dalam dunia pendidikan negara.
Sebelum ini, beliau menggalas tanggungjawab sebagai TKSU (Perancangan dan Pembangunan) KPM. Pengalaman luas beliau dalam mengurus portfolio perancangan makro dan pembangunan infrastruktur sekolah dijangka akan memantapkan lagi pelaksanaan agenda reformasi pendidikan yang sedang rancak berjalan.
Sepanjang kerjaya beliau dalam perkhidmatan awam, YBhg. Datuk Wan Hashim dikenali sebagai seorang pegawai tadbir yang komited dan mempunyai kepakaran mendalam dalam aspek pengurusan projek serta dasar awam.
Beliau sering menekankan kepentingan kecekapan dalam sistem penyampaian perkhidmatan bagi memastikan setiap inisiatif kementerian memberikan impak yang nyata kepada guru, murid dan seluruh warga pendidik.
Selepas majlis tersebut, beliau dijadualkan untuk memulakan tugas rasmi dengan menghadiri sesi taklimat pengurusan tertinggi bagi meneliti status terkini pelaksanaan dasar-dasar pendidikan.
Seluruh warga Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menzahirkan ucapan tahniah dan kepercayaan bahawa kepimpinan beliau akan membawa KPM ke arah kecemerlangan yang lebih mampan selaras dengan aspirasi pendidikan negara.