Diterbitkan pada 14 Mei 2026, 17:58

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat (YAB) Dato’ Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan hormat daripada delegasi Majlis Perniagaan Amerika Syarikat-ASEAN (US-ABC) sebagai usaha berterusan memperkukuh hubungan ekonomi dua hala antara kedua-dua negara.

Pertemuan yang berlangsung di ibu kota itu dihadiri oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif US-ABC, Duta (Bersara) Brian McFeeters, bersama-sama delegasi perniagaan sempena Misi Perniagaan Malaysia 2026.

Perbincangan tersebut memberikan tumpuan kepada peluang memperkukuh pelaburan dan kerjasama strategik antara Amerika Syarikat dengan negara-negara ASEAN, khususnya negara Malaysia.

“Malaysia terus mempertingkat  daya saing negara melalui kerangka ekonomi yang jelas seperti Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030, Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) serta Rangka Kerja Insentif Baharu (NIF) yang lebih bersasar dan berasaskan hasil,” ujar beliau.

Dalam pertemuan tersebut, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim bahawa Malaysia berada di landasan yang kukuh untuk terus menarik pelaburan berkualiti, berasaskan tiga tunggak dasar utama, iaitu (NIMP 2030) memacu pembangunan industri, (NETR) merancang peralihan tenaga negara, serta (NIF) yang menawarkan insentif lebih bersasar dan berasaskan hasil kepada pelabur.

Menurut beliau, ketiga-tiga kerangka ini mencerminkan komitmen jitu kerajaan dalam memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan, daya tahan industri yang tinggi, serta penaiktarafan pelbagai sektor utama negara.

Jelas beliau lagi, setiap pelaburan yang masuk ke Malaysia bukan sahaja perlu memberikan manfaat jangka panjang kepada rakyat dan negara, malah turut memberikan peluang pekerjaan, pemindahan teknologi, dan pembangunan keupayaan tempatan yang sebenar.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi