Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangMerlimau – Dalam usaha memperkasakan pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman, satu program pelancongan berasaskan komuniti (community based tourism) telah dilaksanakan di Homestay Parit Penghulu, Melaka. Program ini melibatkan pelajar Diploma Pengurusan Pelancongan Semester 5 (Voyager), Politeknik Merlimau Melaka (PMM) untuk memahami realiti pelancongan komuniti melalui pengalaman secara langsung.
Program yang berlangsung selama satu hari ini membuka ruang kepada pelajar untuk menyelami kehidupan komuniti setempat secara langsung, sekali gus menghubungkan teori yang dipelajari di dalam kelas dengan realiti di lapangan yang lebih autentik dan bermakna.
Pelajar didedahkan kepada pelbagai aktiviti yang mencerminkan kehidupan masyarakat desa, termasuk lawatan ke ladang sawit dan ladang getah bagi memahami sumber ekonomi penduduk setempat serta potensi pelancongan agro dalam industri pelancongan negara.

Selain itu, pelajar berpeluang menyertai aktiviti mencanting batik dan menganyam ketupat, selain melihat demonstrasi penyediaan kuih tradisional yang menampilkan keunikan warisan budaya Melayu. Permainan tradisional seperti gasing, memanah dan baling tin turut diadakan untuk pelajar bagi menghidupkan semula budaya warisan dalam suasana yang santai dan interaktif.
Menurut pensyarah, Tuan Mohamad Redzuan Abu Hassan, program ini membantu pelajar memahami konsep pelancongan berasaskan komuniti yang dibangunkan dan diurus secara langsung oleh masyarakat setempat. Pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman ini bukan sahaja meningkatkan kefahaman pelajar terhadap konsep pelancongan lestari, malah memupuk nilai kerjasama, komunikasi dan penghargaan terhadap budaya tempatan.
Secara keseluruhannya, program ini membuktikan bahawa pengalaman yang diperoleh di lapangan mampu menjadi wahana pembelajaran yang autentik untuk melahirkan graduan pelancongan yang lebih peka, berpengetahuan dan bersedia menghadapi keperluan industri.