Diterbitkan pada 16 Mei 2026, 14:27

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Ipoh – Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat (YAB) Dato’ Seri Anwar Ibrahim, menyeru warga pendidik di seluruh negara agar terus menerapkan kasih sayang serta nilai manusiawi dalam pengajaran bagi melahirkan generasi yang berakhlak mulia dan bebas daripada elemen kebencian.

Demikian ucapan beliau semasa merasmikan Majlis Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Kali Ke-55 Tahun 2026 di Hotel Casuarina@Meru pada hari ini. Beliau menaruh kepercayaan dan keyakinan yang tinggi terhadap kewibawaan dan semangat kental para guru dalam memikul amanah melangkaui pelbagai cabaran.

Bersesuaian dengan tema “Guru Bitara Nadi Negara”, YAB Dato’ Seri Anwar menyampaikan beberapa amanat penting kepada warga pendidik untuk memastikan kesejahteraan ekosistem pendidikan negara. Antaranya termasuklah penerapan kasih sayang, nilai murni dan keprihatinan supaya isu negatif seperti perkauman dan diskriminasi murid dapat dibendung.

Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim semasa berucap dalam Majlis Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan 2026.

YAB Dato’ Seri Anwar turut menzahirkan penghargaan kepada warga pendidik yang sentiasa kekal positif meskipun berdepan dengan pelbagai teguran dan kritikan masyarakat yang kadangkala tidak adil. Nilai ketahanan ini amat penting dalam diri pendidik demi memastikan masa hadapan generasi akan datang menjadi jauh lebih baik.

Pada majlis yang sama, Perdana Menteri menyatakan bahawa kebajikan guru akan terus dipelihara melalui pembangunan prasarana sekolah. Beliau turut menghargai komitmen Kementerian Pendidikan (KPM) yang komited menyelesaikan isu infrastruktur sekolah, termasuk merancang projek naik taraf bilik guru dan kuarters guru di seluruh negara.

Dalam aspek pendidikan swasta, YAB Dato’ Seri Anwar menegaskan bahawa kemasukan lulusan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) tetap tertakluk pada syarat wajib lulus mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah. Beliau turut memuji anjakan positif gerakan nasional apabila lebih 80 peratus pelajar aliran tersebut telah memilih untuk menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) baru-baru ini.

Di samping itu, guru diingatkan agar menumpukan sepenuh perhatian terhadap pembinaan semula kekuatan pendidikan melalui penjagaan kemaslahatan murid dan seluruh warga sekolah.

Majlis yang gilang-gemilang ini turut dihadiri oleh Timbalan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Diraja Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek; dan Menteri Besar Perak, YAB Dato’ Seri Saarani Mohamad bersama-sama dengan 3,000 orang warga pendidik dari seluruh negara.

Kredit Foto: Khairul Azhar
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi