Diterbitkan pada 17 Mei 2026, 16:02

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Melaka — Bagi memperkukuh pemahaman pelajar terhadap industri pelancongan secara praktikal, satu program lawatan akademik telah dilaksanakan oleh pelajar Semester 2, Diploma Pengurusan Pelancongan, Jabatan Pelancongan dan Hospitaliti, Politeknik Merlimau Melaka di Melaka River Cruise.

Tujuan lawatan ini dilaksanakan adalah untuk memberikan pendedahan secara langsung kepada pelajar mengenai pengurusan dan operasi produk pelancongan berasaskan pengangkutan air, di samping meningkatkan kefahaman mereka tentang ekosistem industri pelancongan secara menyeluruh.

Sepanjang lawatan, pelajar berpeluang menelusuri Sungai Melaka sambil meneliti operasi perkhidmatan seperti pengurusan jadual perjalanan, penyelenggaraan bot, keselamatan penumpang, serta penyampaian maklumat pelancongan kepada pengunjung. Pengalaman ini secara tidak langsung membantu pelajar menghubungkaitkan teori yang dipelajari di dalam kelas dengan situasi sebenar di lapangan.

Program lawatan ini menyediakan pembelajaran berasaskan pengalaman yang amat signifikan dalam membentuk kefahaman holistik pelajar terhadap industri. Melalui lawatan akademik ini, pelajar bukan sahaja dapat melihat sendiri operasi sebenar perkhidmatan pelancongan, malah turut memahami hubung kait antara penyediaan pengangkutan pelancongan dengan penghasilan pengalaman pelancong yang berkualiti.

Seorang pelajar turut berkongsi pengalamannya semasa menyertai lawatan ini. “Sebelum ini, kami hanya mempelajari teori sistem pengangkutan pelancongan di dalam kelas. Setelah menyertai lawatan ini, kami berpeluang melihat sendiri operasi perkhidmatan pelancongan. Lawatan ini benar-benar membuka mata kami untuk mengenali cabaran sebenar industri,” katanya.

Selain itu, pelajar didedahkan kepada kepentingan pengalaman pelancong (tourist experience) untuk memastikan sesuatu produk pelancongan kekal kompetitif dan berdaya saing. Keunikan landskap sejarah dan budaya di sepanjang Sungai Melaka juga membantu pelajar memperkaya kefahaman tentang pembangunan destinasi pelancongan berasaskan warisan.

Pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman (experiential learning) menerusi penganjuran lawatan adalah amat penting untuk melahirkan graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional [Technical and Vocational Education and Training (TVET)]. Para pelajar bukan sahaja dibekalkan dengan pengetahuan, malah memiliki kemahiran dan kesediaan untuk menghadapi cabaran industri. Program ini juga mampu meningkatkan kemahiran insani (soft skill) pelajar seperti komunikasi, pemerhatian kritis dan kerja berpasukan.

Secara keseluruhannya, lawatan ini berjaya mencapai objektif yang ditetapkan dan memberikan impak positif dalam pembelajaran. Melalui lawatan ini, pelajar dapat memahami peranan pengangkutan pelancongan sebagai satu daripada komponen utama dalam rantaian industri pelancongan negara.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi