Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangArau – Memiliki ijazah doktor falsafah (PhD) bukanlah penamat kepada perjalanan akademik, sebaliknya bagi golongan pendidik, hal ini menjadi titik permulaan kepada pembinaan identiti profesional, kepimpinan penyelidikan dan jaringan industri yang lebih luas.
Perkara tersebut diketengahkan menerusi webinar “What is Next After a PhD?” anjuran Unit Hal Ehwal Kurikulum (UHEK), Bahagian Hal Ehwal Akademik, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Melaka yang menghimpunkan lebih 400 peserta secara dalam talian melalui aplikasi Google Meet.
Program tersebut menampilkan dua panel penceramah prolifik dari UiTM, iaitu YBrs. Profesor ChM. Dr. Zainiharyati Mohd Zain dari Fakulti Sains Gunaan, UiTM dan YBrs. Profesor Madya Dr. Abdul Rahim Ridzuan dari Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, UiTM.
Penganjuran webinar ini sebagai platform untuk memberikan pencerahan kepada warga akademik lepasan PhD mengenai peluang peningkatan kerjaya, penyelidikan lanjutan, pelibatan industri serta strategi membina profil akademik dan profesional pasca PhD.
YBrs. Profesor ChM. Dr. Zainiharyati Mohd Zain dalam sesi beliau menekankan bahawa aktiviti perundingan perlu menjadi kemahiran penting dalam kalangan ahli akademik kerana bukan sahaja mampu meningkatkan ketampakan universiti, malah membantu menyelesaikan pelbagai kekangan yang dihadapi industri dan masyarakat melalui kepakaran penyelidik.

Menurut beliau, warga akademia perlu memahami cabaran sebenar industri seperti isu kecekapan operasi, kos, pematuhan, kelestarian dan keperluan penyelidikan yang berpaksikan masalah sebenar industri.
Ahli akademik dan industri sering menggunakan bahasa yang berbeza. Akademia menitikberatkan metodologi dan kebaharuan kajian, manakala industri lebih memfokuskan pulangan pelaburan, tempoh pelaksanaan dan kebolehskalaan sesuatu projek,
Beliau turut menjelaskan kepentingan menetapkan jangkaan yang jelas sejak awal kerjasama termasuk skop projek, garis masa realistik serta pengurusan harta intelek dan data secara telus.
Selain itu, beliau menegaskan bahawa fleksibiliti dan daya tahan amat penting kerana keutamaan industri boleh berubah dan penyelidikan pula bersifat berulang serta memerlukan penyesuaian berterusan.

Beliau menjelaskan bahawa hubungan baik antara universiti dengan industri perlu dibina berasaskan kepercayaan melalui komunikasi yang telus serta kerjasama jangka panjang melangkaui kontrak projek semata-mata.
Beliau turut menggalakkan pembangunan bakat bersama antara universiti dengan industri menerusi pelibatan pelajar pascasiswazah dalam projek dunia sebenar agar graduan yang dihasilkan lebih bersedia memenuhi keperluan industri.
Sementara itu, YBrs. Profesor Madya Dr. Abdul Rahim Ridzuan pula menekankan bahawa warga pendidik lepasan PhD perlu membina identiti penyelidikan sejak awal kerjaya dengan memberi fokus kepada bidang kepakaran khusus secara konsisten.

Beliau berkata penerbitan ilmiah perlu dilakukan secara strategik dengan menyasarkan jurnal berkualiti serta membina jaringan penulisan bersama penyelidik lain.
“Penyelidik juga perlu meningkatkan keterlihatan akademik melalui platform seperti Google Scholar, Scopus dan Web of Science di samping aktif menyertai seminar, persidangan serta pelibatan media dan masyarakat,” kata beliau.
Tambahan lagi, penyelidik muda perlu mempelajari penulisan geran penyelidikan kerana pembiayaan penyelidikan mampu membuka lebih banyak peluang kolaborasi dan pembangunan akademik pada peringkat antarabangsa.
Beliau turut mengingatkan bahawa aspek pengajaran tetap memainkan peranan penting dalam memperkukuh profil akademik kerana pengalaman mengajar pelbagai peringkat pendidikan mampu mencetuskan idea penyelidikan baharu.

Selain itu, beliau menjelaskan bahawa penyeliaan pelajar pascasiswazah mampu membantu membina legasi akademik dan kemahiran kepimpinan, manakala jaringan antarabangsa seperti menjadi profesor pelawat atau felo penyelidik mampu meningkatkan reputasi universiti dan individu.
Beliau juga menggalakkan ahli akademik menerima peranan pentadbiran, melibatkan diri dalam komuniti, menjadi perunding serta aktif dalam penilaian jurnal, geran penyelidikan dan jemputan sebagai pembicara utama bagi memperkukuh reputasi akademik.
Dalam sesi yang sama, beliau turut berkongsi cabaran utama selepas memperoleh PhD termasuk tekanan penerbitan, persaingan mendapatkan dana penyelidikan, beban pengajaran, penolakan akademik serta isu keseimbangan antara kerjaya dengan kehidupan peribadi.
Sehubungan dengan itu, beliau menasihatkan akademia muda supaya menerbitkan sekurang-kurangnya satu penulisan setiap tahun, membina kolaborasi sejak awal kerjaya, menghadiri persidangan secara berkala, mencari mentor serta meningkatkan kemahiran komunikasi.
PhD bukan titik akhir pembelajaran, sebaliknya permulaan kepada proses pembelajaran sepanjang hayat yang menuntut ketahanan, strategi dan keupayaan mencipta impak kepada masyarakat,
