Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangGombak – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) terus komited memartabatkan bahasa Melayu menerusi penganjuran Program Kembara Majalah Dalam Kelas (MDK) Dewan Pelajar di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Taman Melawati, pada hari ini.
Program ini telah disertai oleh 58 orang murid darjah lima dan darjah enam. Melalui pelibatan dalam program ini, murid dapat meningkatkan penguasaan bahasa Melayu, seterusnya berasa lebih berminat untuk mendalami bahasa ini.
Program Kembara MDK menekankan penggunaan bahan bacaan yang bermutu seperti majalah Dewan Pelajar terbitan DBP. Majalah ini mengandungi ruangan latih tubi bagi mata pelajaran Sains, Matematik, Bahasa Inggeris dan Sejarah yang menjadikannya amat sesuai sebagai bahan bantu Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) di dalam bilik darjah.
Sepanjang program ini berlangsung, murid telah didedahkan kepada kandungan majalah Dewan Pelajar serta melakukan aktiviti kebahasaan yang menarik. Antaranya termasuklah teka simpulan bahasa dan peribahasa, memilih ejaan yang betul, menukarkan komik kepada cerpen dan menjawab kuiz menara belon.

Pendekatan program yang interaktif ini berjaya menarik perhatian murid, sekali gus membuktikan bahawa majalah terbitan DBP kekal relevan sebagai wadah rujukan untuk meningkatkan penguasaan bahasa Melayu.
Inisiatif pelaksanaan Program Kembara MDK merupakan sebahagian daripada usaha DBP untuk menyokong Pelan Strategik Kementerian Pendidikan(KPM) dalam meningkatkan akses serta kualiti pendidikan negara, khususnya bagi melahirkan generasi muda yang fasih menggunakan bahasa Melayu dengan betulnya.
Sementara itu, Guru Besar SJKT Taman Melawati, Tuan Sri Bala Murugarasan dalam ucapannya juga menzahirkan rasa kesyukuran kerana dapat bertemu sendiri dengan sidang editor Dewan Pelajar. Hal ini demikian kerana SJKT Taman Melawati telah melanggan majalah ini pada setiap bulan melalui Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).
“Kami sangat berbesar hati kerana sidang editor Dewan Pelajar sudi hadir ke sekolah ini untuk melaksanakan program. Sejak dahulu, PIBG sekolah kami telah melanggan majalah ini,” katanya.

Beliau turut menyeru setiap murid supaya melibatkan diri secara aktif dalam pengkaryaan dan peraduan yang terdapat dalam majalah Dewan Pelajar agar usaha meningkatkan penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan murid yang pelbagai bangsa dapat diperkasakan.