Diterbitkan pada 5 Jun 2026, 15:52

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) terus diperluas menerusi transformasi strategik dalam sektor pertanian dan pembinaan bagi menyokong pertumbuhan ekonomi negara.

Demikian pernyataan oleh Timbalan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi semasa Mesyuarat Majlis TVET Negara (MTVET) Bilangan 2/2026 yang dipengerusikannya di Perdana Putra, semalam.

Menurut beliau, mesyuarat berkenaan memberikan tumpuan kepada usaha memperkukuh ekosistem TVET negara, khususnya terhadap dua sektor yang memainkan peranan penting dalam pembangunan negara.

“Bagi sektor pertanian, perbincangan tertumpu pada keperluan memperkukuh pembangunan bakat dan kemahiran dalam memastikan sektor agromakanan negara terus berdaya saing, produktif serta mampu menyokong agenda keterjaminan makanan negara,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Pada masa yang sama, mesyuarat turut mengambil maklum Pelan Pelaksanaan TVET Pembinaan oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) Malaysia bagi tempoh 2026 hingga 2030.

Pelan tersebut dijangka akan memperkukuh pembangunan tenaga kerja mahir dalam sektor pembinaan selaras dengan keperluan industri yang semakin dipacu oleh teknologi, automasi dan inovasi.

Selain itu, mesyuarat turut meneliti persiapan akhir Sambutan Hari TVET Negara 2026 yang akan berlangsung di Dataran Putrajaya bermula 6 hingga 7 Jun ini dengan tema “TVET Pilihan Utama Kerjaya”.

Beliau berkata, TVET akan terus menjadi antara pemacu utama pembangunan modal insan negara melalui kerjasama erat antara kerajaan, industri dan institusi latihan.

“Melalui kerjasama erat ini, kita mampu melahirkan lebih banyak tenaga kerja berkemahiran tinggi yang kompeten, inovatif dan bersedia mendepani cabaran ekonomi masa hadapan,” ujarnya.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi