Diterbitkan pada 6 Jun 2026, 21:10

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abdul Kadir menegaskan bahawa pendidikan tinggi perlu berteraskan pembangunan insan, adab dan nilai kemanusiaan, selain penguasaan ilmu serta teknologi ketika mengupas lima karya ilmiah dalam sesi telaah buku bersempena dengan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, hari ini.

Mengupas buku pertama, beliau menyatakan bahawa buku The Real World of College karya Wendy Fischman dan Howard Gardner memperlihatkan perubahan fungsi universiti daripada institusi yang membentuk pemikiran dan sahsiah pelajar kepada organisasi yang semakin bersifat transaksional serta berorientasikan nilai komersial.

Menurut beliau, pendidikan tinggi tidak seharusnya dinilai semata-mata berdasarkan kelayakan akademik atau peluang pekerjaan, sebaliknya perlu melahirkan graduan yang mempunyai pemikiran kritikal, kemahiran sosial, nilai kemanusiaan dan perspektif yang lebih luas terhadap kehidupan.

Mengulas buku Risalah untuk Kaum Muslimin karya Syed Muhammad Naquib al-Attas, beliau menyifatkannya sebagai antara karya terpenting dalam bahasa Melayu yang membincangkan krisis ilmu, kehilangan adab dan kekeliruan pemikiran yang menjadi punca kemunduran umat Islam.

Ujarnya, karya tersebut menekankan bahawa kelemahan umat bukan berpunca daripada kekurangan teknologi atau kekuatan politik semata-mata, tetapi daripada kegagalan memahami konsep ilmu yang sebenar serta penghayatan adab dalam kehidupan.

Dalam sesi telaah buku How States Think karya John J. Mearsheimer dan Sebastian Rosato pula, beliau menjelaskan bahawa kebanyakan keputusan dasar luar sesebuah negara dibuat berdasarkan pertimbangan rasional yang berkait rapat dengan keselamatan dan kelangsungan negara, meskipun tindakan tersebut sering dianggap tidak munasabah oleh pihak lain.

Dalam sesi perkongsian itu juga, beliau turut membedah kandungan buku Empires of Ideas karya William Kirby yang mengupas tentang peralihan pusat kecemerlangan pendidikan tinggi dunia dari Jerman ke Amerika Syarikat dan kini semakin beralih ke China melalui pengukuhan penyelidikan, inovasi dan pelaburan strategik dalam bidang sains serta teknologi.

Sementara itu, ketika mengulas buku The Anxious Generation karya Jonathan Haidt, beliau menegaskan kebergantungan berlebihan terhadap gajet dan media digital memberikan kesan kepada perkembangan sosial, emosi dan pembentukan karakter generasi muda.

Tegas beliau, sistem pendidikan masa hadapan perlu mencapai keseimbangan antara kemajuan teknologi dengan pembangunan nilai kemanusiaan, akhlak dan kesejahteraan mental bagi memastikan lahirnya generasi yang mampu memimpin negara dalam dunia yang semakin kompleks.

Sesi telaah buku yang berlangsung di Dewan Tun Dr. Ismail itu menghimpunkan lima karya utama yang merangkumi tema pendidikan tinggi, pemikiran Islam, hubungan antarabangsa, pembangunan universiti dan kesejahteraan generasi muda, sekali gus memberikan gambaran tentang cabaran serta hala tuju pembangunan modal insan negara pada masa hadapan.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi