Diterbitkan pada 17 Jun 2026, 09:39

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) merupakan impian pelajar selepas menamatkan persekolahan. Namun begitu, bagi sesetengah program pengajian, keputusan akademik yang cemerlang sahaja tidak mencukupi. Calon juga perlu melalui sesi temu duga sebagai satu daripada proses pemilihan. Temu duga digunakan untuk menilai aspek tertentu yang tidak dapat diukur melalui pencapaian akademik semata-mata, seperti kemahiran komunikasi, kepimpinan, pemikiran kritis dan kebolehan interpersonal.

Kejayaan seseorang calon dalam temu duga kemasukan IPTA dipengaruhi oleh pelbagai faktor. Antaranya termasuklah penguasaan maklumat tentang program yang dimohon, kemahiran komunikasi yang berkesan, keyakinan diri serta penampilan yang profesional. Persediaan yang rapi dan menyeluruh dapat membantu calon menampilkan potensi diri dengan lebih baik di hadapan panel penemu duga.

Menguasai Maklumat Program dan Institusi

Antara faktor yang menyumbang kepada kejayaan pelajar dalam temu duga termasuklah penguasaan maklumat tentang program pengajian dan institusi yang dimohon. Calon yang mempunyai pengetahuan mendalam tentang bidang yang ingin diceburi akan dilihat lebih bersedia dan bersungguh-sungguh untuk mengikuti program tersebut.

Pengetahuan ini membolehkan calon memberikan jawapan yang lebih meyakinkan apabila ditanya tentang sebab memilih program berkenaan, prospek kerjaya pada masa hadapan atau sumbangan yang boleh diberikan kepada bidang yang dipilih. Sebagai contoh, calon yang memohon program pendidikan perlu mengetahui peranan guru dalam pembangunan negara, cabaran profesion perguruan dan objektif program yang ditawarkan.

Selain itu, calon juga perlu mengetahui maklumat asas tentang universiti yang dimohon, termasuk visi, misi, pencapaian serta keistimewaan program yang ditawarkan. Pengetahuan sedemikian menunjukkan bahawa calon berminat untuk melanjutkan pengajian di institusi tersebut dan bukannya membuat pilihan secara sambil lewa.

Calon yang mengikuti perkembangan isu semasa berkaitan dengan bidang yang dimohon turut mempunyai kelebihan. Sebagai contoh, calon perubatan perlu peka terhadap isu kesihatan awam, manakala calon pendidikan perlu mengetahui perkembangan terkini dalam sistem pendidikan negara. Kesedaran terhadap isu semasa membuktikan bahawa calon mempunyai minat yang mendalam terhadap bidang yang bakal diceburi.

Kemahiran Komunikasi Kunci Kejayaan

Kemahiran komunikasi yang berkesan merupakan antara aspek utama yang dinilai oleh panel penemu duga. Pada sesi temu duga, calon perlu menyampaikan idea, pendapat dan pengalaman dengan jelas, tersusun serta sopan.

Calon yang mampu berkomunikasi dengan baik biasanya lebih mudah menarik perhatian panel penemu duga. Penggunaan bahasa yang gramatis, sebutan yang jelas dan nada suara yang sesuai dapat membantu calon menyampaikan jawapan dengan lebih berkesan. Sebaliknya, calon yang sukar menyusun idea mungkin menghadapi kesukaran untuk menyerlahkan potensi diri walaupun mempunyai pencapaian akademik yang cemerlang.

Selain komunikasi lisan, komunikasi bukan lisan juga memainkan peranan penting. Bahasa tubuh seperti senyuman, hubungan mata, postur badan dan ekspresi wajah mampu mempengaruhi persepsi panel terhadap tahap keyakinan dan profesionalisme seseorang calon. Sebagai contoh, calon yang mengekalkan hubungan mata ketika bercakap sering dianggap lebih yakin dan jujur berbanding dengan calon yang mengelakkan pandangan panel.

Kemahiran komunikasi yang baik juga membantu calon mengendalikan soalan  mencabar dengan lebih tenang. Situasi ini membolehkan calon menampilkan kematangan berfikir dan kebolehan menyelesaikan masalah, iaitu ciri-ciri yang amat dihargai oleh institusi pengajian tinggi.

Keyakinan Diri dan Kematangan Sahsiah

Keyakinan diri merupakan faktor penting untuk menentukan kejayaan seseorang calon semasa sesi temu duga. Keyakinan diri merujuk kepercayaan seseorang terhadap kebolehan dan potensi yang dimiliki.

Calon yang berkeyakinan akan lebih berani menyampaikan pendapat, menjawab soalan dengan tenang dan berinteraksi secara positif dengan panel penemu duga. Walau bagaimanapun, keyakinan diri tidak bermaksud bersikap angkuh atau terlalu menonjolkan diri. Sebaliknya, keyakinan diri yang sebenar dapat dilihat melalui kemampuan seseorang calon untuk berkomunikasi secara profesional tanpa rasa takut yang berlebihan.

Di samping itu, kematangan sahsiah turut menjadi aspek yang dinilai oleh panel penemu duga. Kematangan ini dapat dilihat melalui cara calon menjawab soalan, menghormati pandangan orang lain, menerima kritikan dengan terbuka serta menunjukkan sikap bertanggungjawab terhadap keputusan yang dibuat.

Calon yang mempunyai matlamat yang jelas tentang hala tuju pendidikan dan kerjaya lazimnya dianggap lebih matang dan bersedia untuk mengikuti pengajian di IPTA. Pelibatan aktif dalam aktiviti kokurikulum, kepimpinan dan khidmat masyarakat juga dapat membantu membentuk keyakinan diri serta kematangan sahsiah. Pengalaman tersebut membolehkan calon mengembangkan kemahiran interpersonal dan kepimpinan yang boleh diketengahkan semasa sesi temu duga.

Penampilan Profesional dan Persediaan yang Rapi

Penampilan merupakan aspek pertama yang diperhatikan oleh panel penemu duga sebelum sesi soal jawab bermula. Oleh itu, calon perlu memastikan pakaian yang dipakai kemas, sopan dan sesuai dengan suasana formal.

Penampilan yang profesional mencerminkan sikap bertanggungjawab, berdisiplin dan menghormati institusi yang dimohon. Walaupun penampilan bukan faktor utama yang menentukan kejayaan, aspek ini mampu memberikan tanggapan awal yang positif kepada panel penemu duga. Penampilan yang kemas juga dapat membantu meningkatkan keyakinan diri calon semasa menghadapi temu duga.

Selain penampilan, persediaan awal yang sistematik turut memainkan peranan penting. Calon perlu membuat latihan menjawab soalan lazim, menyediakan dokumen yang diperlukan serta merancang perjalanan ke lokasi temu duga lebih awal. Persediaan yang rapi dapat mengurangkan tekanan dan membantu calon memberikan tumpuan sepenuhnya semasa sesi berlangsung.

Latihan simulasi temu duga bersama-sama dengan guru, kaunselor atau rakan juga boleh membantu calon mengenal pasti kelemahan serta meningkatkan kemahiran komunikasi. Melalui latihan tersebut, calon dapat membiasakan diri dengan suasana temu duga sebenar sekali gus mengurangkan rasa gementar pada hari temu duga.

Kesimpulan

Secara keseluruhannya, kejayaan dalam temu duga kemasukan IPTA bergantung pada gabungan pelbagai faktor yang saling melengkapi. Penguasaan maklumat tentang program dan institusi, kemahiran komunikasi yang berkesan, keyakinan diri, serta kematangan sahsiah dan penampilan profesional yang disertai dengan persediaan awal yang rapi, mampu meningkatkan peluang seseorang calon untuk berjaya.

Oleh itu, pelajar yang bercita-cita untuk melanjutkan pengajian ke IPTA perlu membuat persediaan awal dan sentiasa berusaha meningkatkan ilmu pengetahuan, kemahiran serta keyakinan diri. Dengan persediaan yang menyeluruh, calon bukan sahaja mampu menghadapi temu duga dengan lebih yakin, malah berpeluang merealisasikan impian untuk melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi pilihan mereka.

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi