Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Dunia cerita dalam buku terutamanya karya sastera akan menjadi lebih meriah dengan transmedia. Pandangan tersebut merupakan rumusan daripada sidang plenari bertajuk “Books to Screens to Games to Books” sempena Kongres Penerbit Antarabangsa Ke-35 yang berlangsung hari ini di Hotel Grand Hyatt, Kuala Lumpur.
Sidang tersebut menampilkan Ahmed Mourad (novelis dan penulis skrip dari Mesir) dan Mufizal Mokhtar (Pengurus Besar Virtuos Games Malaysia) sebagai ahli panel. Sidang tersebut dikendalikan oleh Alisha Noor Hassan, Ketua Inovasi Helsinki Film Lab (Finland).
Berbanding dengan adaptasi yang lebih bersifat tradisional, transmedia menawarkan sebuah dunia baharu karya sastera kepada khalayak umum. Adaptasi tradisional dilihat lebih ketat dengan tidak adanya penambahan karakter atau plot, tetapi transmedia mampu meneroka karya asal dengan lebih jauh. Menurut Alisha ketika memulakan sidang:
Transmedia seperti permainan video berdasarkan karya sastera menawarkan kebaharuan dengan penambahan cerita.

Ahmed Mourad turut memberikan pandangan bahawa tidak semua karya sastera boleh diubahsuai melalui transmedia. Baginya, perkara yang lebih penting ialah untuk membuatkan transmedia itu menjadi lebih menarik. Jelasnya,
Perkara yang lebih penting ialah bagaimana mahu menyalin emosi yang kuat dari karya asal kepada bentuk transmedia yang baharu.
Selain itu, beliau juga turut menyatakan bahawa kecerdasan buatan (AI) boleh digunakan dalam permulaan untuk mewujudkan dunia cerita. Hal ini berdasarkan kepada pengalaman beliau mencipta suatu laman web yang dikhususkan untuk hal penulisan, iaitu Inner Beast. Laman web tersebut yang berasaskan AI membolehkan pengguna membina dunia ceritanya sendiri melalui kepelbagaian gaya dan genre yang boleh diteroka.
Dalam memindahkan karya asal kepada transmedia, perlu terlebih dahulu mengetahui bentuk medium yang manakah yang sesuai untuk digunakan. Hal ini dinyatakan oleh Mufizal Mokhtar yang turut menjelaskan peranan sebenar transmedia menerusi pengalaman beliau dalam permainan video.
Mencipta transmedia yang betul, khususnya menerusi permainan video adalah dengan menterjemahkan emosi yang ada dalam karya asal, seperti permainan video Harry Potter.

Menurutnya lagi, transmedia yang baik ialah dunia karya asal dikembangkan dengan mengambil sub cerita karya asal, bukannya keseluruhan karya asal. Dengan melakukan hal ini, khalayak akan dapat lebih meneroka dunia cerita karya asal. Jelasnya lagi:
Transmedia juga meneliti kritikan dan ulasan pembaca terhadap karya asal. Dengan tindakan sedemikian, maka transmedia seperti permainan video akan lebih menjadi lebih baik dan bersifat interaktif.