Diterbitkan pada 7 Julai 2026, 15:31

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Malaysia terus mengukuhkan kedudukannya sebagai pintu masuk strategik ke pasaran penerbitan Asia Tenggara menerusi ekosistem industri buku kondusif, rangkaian kerjasama serantau serta peluang perdagangan hak cipta.

Perkara tersebut diketengahkan dalam sesi Gateway to South-East Asia: Entry Paths, Pitfalls and Payoffs pada hari pertama The 35th International Publishers Congress (IPC 2026) di Grand Hyatt Kuala Lumpur, semalam.

Kongres yang berlangsung dari 5 hingga 9 Julai itu dianjurkan oleh International Publishers Association (IPA) dengan kerjasama Malaysian Book Publishers Association (MABOPA).

Sesi yang dikendalikan oleh Ahli Jawatankuasa Eksekutif IPA merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Al Masriah Al Lubnaniah Publishing House, Ahmed Rashad, menampilkan Presiden ASEAN Book Publishers Association (ABPA) dan Malaysian Book Publishers Association (MABOPA), Sheikh Faisal Sheikh Mansor; Naib Presiden Publishers Association of China, Li Pengyi serta Naib Presiden Federation of Indian Publishers, Pranav Gupta.

Dalam pembentangannya, Sheikh Faisal berkata Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) menjadi platform utama industri penerbitan negara dengan kebanyakan penerbit merancang jadual penerbitan mereka khusus untuk acara tersebut.

Menurut beliau, terdapat penerbit yang menerbitkan antara 50 hingga 100 judul baharu semata-mata bagi memenuhi permintaan sempena PBAKL.

Katanya, pesta buku itu menghimpunkan kira-kira 1,000 gerai melibatkan sekitar 200 penerbit, dengan sebahagian besar menawarkan buku bahasa Melayu di samping buku bahasa Inggeris. Selain itu, Malaysia turut mempunyai Book Fest anjuran Popular Book yang memberi tumpuan kepada pasaran buku bahasa Cina dengan penyertaan penerbit sinofon dari China, Taiwan dan Hong Kong.

Beliau menjelaskan bahawa antara kelebihan utama Malaysia termasuklah kewujudan Majlis Buku Kebangsaan Malaysia yang menghimpunkan pelbagai agensi kerajaan dan pemain industri di bawah satu ekosistem, termasuk Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM), Perbadanan Kota Buku, penerbit, penjual buku, pengimport, pengeksport dan pengedar.

“Struktur ini memudahkan penerbit antarabangsa memasuki pasaran Malaysia melalui pelbagai saluran, sama ada menyertai pesta buku, menjalinkan kerjasama dengan penerbit tempatan mahupun membekalkan buku kepada perpustakaan,” katanya.

Menurut Sheikh Faisal, Malaysia turut menawarkan pasaran perpustakaan yang besar dengan antara 2,000 hingga 3,000 perpustakaan awam serta kira-kira 10,000 perpustakaan sekolah di seluruh negara.

Beliau berkata, perpustakaan sentiasa memerlukan judul baharu dari pelbagai negara, khususnya dalam bidang Sains dan Matematik, sekali gus membuka peluang kepada penerbit antarabangsa memasarkan buku mereka ke Malaysia melalui rangkaian pembekal tempatan.

Mengulas perdagangan hak cipta, beliau berkata Asian Rights Fair yang diadakan sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) juga semakin berkembang sebagai platform padanan perniagaan utama di rantau ini.

“Tahun ini merupakan penganjuran kali keempat Asian Rights Fair dengan penyertaan sebanyak 26 negara. Program ini menjadi platform penting untuk perdagangan hak cipta, penerbitan bersama dan kerjasama antara penerbit dari seluruh dunia,” katanya.

Beliau menjelaskan bahawa buku kanak-kanak merupakan antara kategori paling mudah diperdagangkan merentasi sempadan kerana mempunyai daya tarikan sejagat yang tidak terlalu dipengaruhi oleh faktor bahasa.

Selain buku kanak-kanak, karya berkaitan dengan geopolitik, novel grafik dan komik tempatan turut berjaya dipasarkan ke luar negara melalui usaha penterjemahan dan penerbitan bersama.

Menurut beliau, kejayaan sesebuah karya di pasaran antarabangsa bergantung pada kandungan yang bersifat universal, di samping mengekalkan identiti budaya negara asal.

“Kandungan yang mempunyai nilai sejagat tetapi masih menampilkan unsur budaya tempatan mampu menarik minat pembaca dari pelbagai negara. Pembaca juga ingin mengenali budaya masyarakat lain melalui buku,” katanya.

Sheikh Faisal turut memaklumkan bahawa Malaysia menerbitkan kira-kira 25,000 judul baharu setiap tahun, dengan novel, buku kanak-kanak dan buku agama kekal sebagai genre paling dominan.

Beliau berkata, kerajaan melalui DBP menyediakan geran bagi menterjemahkan karya asing ke dalam bahasa Melayu, termasuk sebahagian kos penerbitan, sebagai usaha memperkaya bahan bacaan tempatan.

Pada masa yang sama, beliau menggesa negara-negara ASEAN memperluas akses kepada buku dari negara jiran bagi memenuhi keperluan jutaan warga serantau yang tinggal dan bekerja di negara lain.

“Kita mempunyai ramai warga Indonesia, Vietnam, Filipina dan negara ASEAN lain yang menetap di Malaysia. Mereka juga memerlukan buku dalam bahasa sendiri. Oleh itu, pasaran buku Malaysia memerlukan buku dalam bahasa-bahasa ASEAN untuk menghubungkan masyarakat,” katanya.

Beliau berpandangan bahawa penyediaan bahan bacaan dalam pelbagai bahasa bukan sahaja menyokong industri penerbitan, malah mengukuhkan persefahaman antara masyarakat pelbagai negara.

Sementara itu, Li Pengyi berkongsi tiga model utama kerjasama industri penerbitan China dengan rakan antarabangsa, iaitu perdagangan hak cipta, penerbitan buku dalam bahasa asal serta penerbitan bersama.

Menurut beliau, industri penerbitan China menerbitkan sekitar 500,000 judul setiap tahun, dengan separuh daripadanya merupakan judul baharu, sekali gus menawarkan pasaran yang besar kepada penerbit global.

Beliau turut menggalakkan negara-negara Asia menyertai projek terjemahan karya klasik Asia yang dipelopori China bagi memperkukuh pertukaran budaya melalui penerbitan.

Naib Presiden Federation of Indian Publishers, Pranav Gupta pula berkata India kini merupakan pasaran buku cetak ketiga terbesar di dunia dengan lebih 24,000 penerbit serta hampir 300,000 Nombor Buku Piawai Antarabangsa (ISBN) didaftarkan pada setiap tahun.

Menurut beliau, kepelbagaian bahasa di India menjadikan strategi penyetempatan dan penterjemahan sebagai faktor utama kejayaan penerbitan, selain disokong pelbagai program terjemahan kerajaan yang menawarkan pembiayaan kepada penerbit.

Beliau menegaskan bahawa setiap negara dan wilayah mempunyai keunikan budaya tersendiri, dan kejayaan memasuki sesuatu pasaran memerlukan kerjasama erat dengan rakan tempatan serta penghormatan terhadap kepelbagaian bahasa dan budaya.

Kredit Foto: Farid Janudin
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi