Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSingapura – Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat (YAB) Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Singapura, Tharman Shanmugaratnam bagi membincangkan usaha memperkukuh hubungan dua hala, perkembangan serantau serta pelbagai isu berkepentingan antara kedua-dua negara.
Dalam pertemuan itu, kedua-dua pemimpin bertukar pandangan mengenai usaha mempererat hubungan Malaysia-Singapura, selain menyentuh perkembangan positif dalam menyelesaikan beberapa perkara tertangguh antara kedua-dua negara tersebut.
YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa Malaysia dan Singapura kekal komited untuk menangani sebarang isu berbangkit menerusi rundingan secara konstruktif.
Menurut beliau, pendekatan itu perlu berlandaskan semangat saling menghormati dan memperkukuh persefahaman bersama bagi memastikan hubungan dua negara jiran ini terus berkembang secara positif.
Selain isu dua hala, pertemuan berkenaan turut memberikan tumpuan kepada kemajuan pelaksanaan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) yang dilihat sebagai inisiatif strategik penting dalam memperkukuh kerjasama ekonomi rentas sempadan.
Kedua-dua pihak menyambut baik perkembangan JS-SEZ dan menyuarakan komitmen untuk memuktamadkan pelan induk zon ekonomi khas tersebut dalam tempoh terdekat.
Inisiatif strategik ini dijangka membuka ruang yang lebih luas kepada aktiviti perdagangan dan pelaburan, merancakkan ekonomi serantau, serta mewujudkan pelbagai peluang baharu demi manfaat perniagaan bagi rakyat kedua-dua negara.
Mengulas lanjut, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim turut menzahirkan harapan agar hubungan Malaysia-Singapura terus diperkukuh berasaskan kepercayaan, sikap saling menghormati, dan kebersamaan.
Beliau menambah, sinergi erat ini amat penting bagi memastikan kemakmuran dan kesejahteraan rakyat kedua-dua buah negara tersebut terus terpelihara, khususnya ketika berhadapan dengan pelbagai cabaran ekonomi serta geopolitik semasa.