Diterbitkan pada 16 Julai 2026, 08:36

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Gombak – Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) telah menyerahkan sebanyak 33 buah kenderaan rasmi baharu bagi memperkukuh tahap kecekapan operasi serta kelancaran perkhidmatan untuk kegunaan warga universiti tersebut.

Majlis penyerahan aset berkenaan telah disempurnakan oleh Presiden UIAM, YBhg. Tan Sri Abdul Rashid Hussain bersama-sama dengan Rektor UIAM, YBhg. Prof. Emeritus Datuk Dr. Osman Bakar serta Jawatankuasa Pengurusan Universiti (University Management Committee – UMC).

Presiden UIAM, YBhg. Tan Sri Abdul Rashid Hussain (Kiri) bersama-sama dengan Rektor UIAM, YBhg. Prof. Emeritus Datuk Dr. Osman Bakar (Kanan) serta Jawatankuasa Pengurusan Universiti ketika bergambar di dalam sebuah bas baharu.

Sesi penyerahan tersebut berlangsung di UIAM Kampus Gombak bersempena dengan majlis “Appreciation Hi-Tea for the Achievements of the New Financial Sustainability Model 2024 and 2025” pada semalam.

Majlis keraian itu merupakan hasil kerjasama antara Pejabat Strategi dan Transformasi Institusi (Office of Strategic Institution Transformation – OSIT) dengan Bahagian Kewangan UIAM sebagai tanda penghargaan kepada warga kerja yang menjayakan pelaksanaan Model Kelestarian Kewangan Baharu (New Financial Sustainability Model – NFSM) UIAM.

Sebanyak 18 buah kenderaan utiliti sukan (Sport Utility Vehicle – SUV), sebuah kenderaan pikap pacuan empat roda, 10 buah van, serta empat buah bas telah diagihkan kepada pelbagai peringkat pejabat dan Kulliyyah di UIAM.

Kenderaan baharu yang bakal diagihkan kepada beberapa kulliyyah UIAM.

“Penyerahan kenderaan rasmi itu bertujuan untuk menggantikan kenderaan lama yang telah melepasi had penggunaan maksimum,” jelas kenyataan media rasmi universiti tersebut mengenai rasional penggantian aset.

Agihan kemudahan pengangkutan baharu ini dijangka dapat melancarkan pergerakan mobiliti, meningkatkan kecekapan pengurusan serta menaik taraf kemudahan pergerakan untuk seluruh warga kampus.

“Saya amat berbesar hati melihat usaha dan kerjasama dari pelbagai pihak yang telah menyumbang kepada kejayaan NFSM ini,” jelas Pengarah Eksekutif Bahagian Kewangan UIAM, Puan Naaimah Mat dalam majlis berkenaan.

“Saya berharap agar semua pelajar di seluruh kampus UIAM berasa gembira dengan kemudahan baharu yang disediakan di semua kampus,” ujar beliau lagi.

Kredit Foto: Facebook UIAM
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi