Diterbitkan pada 23 Julai 2026, 10:21

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Paroi – Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim menyeru golongan belia agar menjadi generasi berilmu, berintegriti dan berjiwa ihsan yang mampu menyatukan masyarakat serta menyumbang kepada kemajuan negara ketika menghadiri Program Jelajah Rakan Muda @ Paroi, Negeri Sembilan 2026 di Kompleks Belia dan Sukan Negeri Sembilan, semalam.

Beliau berkata, golongan muda tidak seharusnya membiarkan politik kebencian, perkauman atau prejudis memecah-belahkan masyarakat kerana Malaysia hanya mampu maju jika rakyat memilih perpaduan, saling menghormati dan menerima kepelbagaian sebagai kekuatan yang menyatukan negara.

Pada masa yang sama, beliau menggesa belia supaya menuntut ilmu dengan bersungguh-sungguh tanpa memisahkannya daripada hikmah kerana ilmu yang dipandu kebijaksanaan akan melahirkan insan berakhlak, berani mempertahankan kebenaran dan berkhidmat kepada masyarakat..

Menurut beliau, ukuran kejayaan seseorang bukan hanya dinilai melalui pangkat atau kekayaan, sebaliknya berdasarkan nilai kemanusiaan yang dibawa dalam kehidupan seharian.

Beliau mengajak generasi muda menjadi insan yang berilmu, berintegriti, berjiwa ihsan dan sentiasa memilih untuk menyatukan masyarakat, bukannya mencetuskan perpecahan.

Turut hadir pada program itu ialah Menteri Belia dan Sukan, YB Dr. Mohammed Taufiq Johari.

Jelajah Rakan Muda @ Paroi merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) bagi memperkasa pembangunan belia, sukan dan Rakan Muda di samping mendekatkan pelbagai inisiatif kerajaan kepada masyarakat melalui pendekatan yang lebih inklusif, menyeluruh dan mesra komuniti.

Pelbagai aktiviti disediakan sepanjang program, antaranya pameran dan perkhidmatan pembangunan belia, sukan dan Rakan Muda, Jualan Rahmah MADANI, jualan barangan sukan, penukaran minyak enjin motosikal secara percuma, aktiviti sukan dan rekreasi serta promosi Sukan Asia Tenggara (Sukan SEA) Malaysia 2027.

Melalui program sehari itu, KBS berharap Jelajah Rakan Muda @ Paroi, Negeri Sembilan 2026 dapat menjadi pemangkin kepada gerakan pembangunan belia yang progresif, inklusif dan berdaya tahan, selaras dengan aspirasi Dasar Belia Malaysia.

Kredit Foto: Media Perdana Menteri
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi