Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangArau – Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menerima mengadap Ketua Setiausaha Pusat Pentadbiran Wilayah Sempadan Selatan Thailand (SBPAC), Piyasiri Wattanavarangkul di Istana Arau.
Majlis mengadap tersebut menjadi platform penting bagi memperkukuhkan hubungan dua hala antara Negeri Perlis dan wilayah-wilayah selatan Thailand yang telah terjalin sejak sekian lama berteraskan sejarah, budaya, agama serta ikatan kekeluargaan yang merentasi sempadan.
Hubungan yang telah terbina sejak berabad lamanya itu terus menjadi asas kukuh dalam mempererat persahabatan serta memperluaskan kerjasama strategik antara Malaysia dan Thailand.
Turut berangkat sama ialah Waris Yang Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail.
Hadir mengiringi Baginda ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, YBhg. Dato’ Noor Azman Abdul Rahman; Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla, Ahmad Fahmi Ahmad Sarkawi; Ketua Polis Perlis, YDH DCP Dato’ Muhammad Abdul Halim; Panglima Briged Ke-30 Infantri Malaysia, YBhg. Brigedier Jeneral Datuk Mohd Zaini Hashim dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), YBrs. Tuan Haji Mohd Nazim Mohd Noor.
Sementara itu, Pengarah Strategik, Komunikasi dan Hubungan Awam SBPAC, Thanyoporn Hataipitak hadir bersama Piyasiri.
Tuanku Raja Muda bertitah bahawa pertemuan ini membuka ruang kepada perbincangan dua hala bagi meneroka peluang kerjasama baharu serta memperkukuhkan kolaborasi sedia ada dalam pelbagai bidang yang mampu memberikan manfaat bersama.

Perbincangan berteraskan hubungan erat yang telah lama terjalin antara masyarakat di kedua-dua belah sempadan, sekali gus mencerminkan komitmen bersama untuk memperkasakan kerjasama rentas sempadan secara lebih menyeluruh.
Antara fokus utama perbincangan ialah usaha memperkukuhkan warisan Melayu-Islam yang menjadi identiti bersama masyarakat di Negeri Perlis dan wilayah-wilayah selatan Thailand.
Pemeliharaan bahasa Melayu, bacaan dan tulisan Jawi, budaya, adat resam serta tradisi Islam terus dilihat sebagai elemen penting dalam memelihara jalinan persaudaraan, di samping menghormati kepelbagaian masyarakat.
Pertukaran budaya dan warisan turut diiktiraf sebagai medium berkesan untuk mengeratkan hubungan rakyat serta memupuk persefahaman yang lebih utuh, khususnya dalam kalangan generasi muda.
Selaras dengan hasrat tersebut, perbincangan turut meneliti potensi kerjasama dalam pemerkasaan dan pengembangan bahasa Melayu, pengukuhan jaringan pengajian Islam melalui institusi pengajian tinggi di Perlis, penganjuran festival kebudayaan, serta usaha memelihara dan mempromosikan seni warisan tradisional sebagai khazanah bersama.
Dalam bidang pendidikan dan pembangunan modal insan, tumpuan turut diberikan kepada pelaksanaan program pertukaran pelajar dan guru, kerjasama dalam bidang pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET), serta peluang penawaran biasiswa bagi membolehkan pelajar dari wilayah selatan Thailand melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi di Perlis, khususnya di Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ).
Kerjasama dalam hal ehwal agama turut menjadi agenda penting, meliputi aspek pengurusan dan pentadbiran masjid, pengajian al-Quran serta pembangunan industri halal yang berpotensi menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi dan kesejahteraan ummah di kawasan sempadan Malaysia-Thailand.
Dalam sektor pelancongan, perbincangan menjurus kepada usaha memperkukuhkan promosi pelancongan rentas sempadan melalui pembangunan laluan pelancongan warisan yang menghubungkan Perlis dengan Satun, Songkhla, Yala, Pattani dan Narathiwat. Di samping itu, pembangunan ekopelancongan serta promosi gastronomi dan makanan tempatan dikenal pasti sebagai antara bidang yang berpotensi merancakkan industri pelancongan serantau.
Pelibatan golongan belia turut diberi penekanan sebagai pemangkin hubungan jangka panjang antara komuniti di kedua-dua wilayah. Antara cadangan yang dibincangkan termasuklah pelaksanaan program pembangunan kepimpinan belia, pertukaran dan kerjasama sukan, pembangunan keusahawanan belia serta aktiviti kesukarelawanan yang mampu memupuk semangat persefahaman, persaudaraan dan kerjasama rentas sempadan.
Perbincangan turut merangkumi aspek kemanusiaan melalui cadangan memperkukuhkan kerjasama dalam pelaksanaan program bantuan dan pengurusan bencana, di samping memperluaskan pelbagai inisiatif kebajikan demi kesejahteraan masyarakat di kawasan sempadan.
Secara keseluruhannya, perbincangan dua hala ini mencerminkan iltizam bersama Negeri Perlis dan SBPAC untuk terus memperkukuhkan hubungan persahabatan, memperluaskan jaringan kerjasama rentas sempadan serta mewujudkan lebih banyak peluang kolaborasi dalam bidang pendidikan, kebudayaan, agama, pelancongan, belia dan kemanusiaan demi kemakmuran serta kesejahteraan bersama rakyat Malaysia dan Thailand.