Diterbitkan pada 27 Julai 2026, 10:23

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Seremban – Sebanyak 889,490 orang pemilih berdaftar layak menjalankan tanggungjawab masing-masing dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Dewan Negeri, Negeri Sembilan Ke-16.

Berdasarkan maklumat daripada Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR), Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) yang digunakan adalah senarai terkini sehingga 4 Jun 2026, merangkumi Daftar Pemilih Tambahan Bulan April Tahun 2026.

Proses pengundian awal bagi anggota keselamatan dan pasangan akan dijalankan pada Selasa, 28 Julai ini di 38 pusat pengundian awal di seluruh negeri.

Mengikut Warta Kerajaan Persekutuan bertarikh 23 Julai mengenai penetapan waktu mengundi, pusat pengundian awal akan dibuka bermula jam 8.00 pagi dan ditutup secara berperingkat antara 12.00 tengah hari hingga 5.00 petang. Daripada 38 pusat pengundian awal tersebut, sebanyak 18 pusat akan ditutup awal pada jam 12.00 tengah hari.

Pecahan pengundi adalah seperti yang berikut:

  • Pengundi Biasa: sebanyak 867,151 orang (Mengundi pada hari pengundian rasmi, 1 Ogos)
  • Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Pasangan: sebanyak 16,884 orang (Pengundi Awal)
  • Polis Diraja Malaysia (PDRM): sebanyak 5,455 orang (Pengundi Awal)

Dari segi jantina, peratusan pengundi wanita mencatatkan angka sedikit tinggi berbanding dengan pengundi lelaki:

  • Pengundi Wanita: 50.23% 
  • Pengundi Lelaki: 49.77%

Bagi statistik umur pemilih, kumpulan berusia 30 hingga 39 tahun mencatatkan jumlah tertinggi, sebanyak 194,014. Manakala kumpulan pengundi muda berusia 18 hingga 20 tahun merekodkan bilangan terkecil, sebanyak 51,669.

Orang ramai dinasihatkan untuk menyemak maklumat pusat pengundian dan masa mengundi masing-masing menerusi portal rasmi SPR  atau saluran media sosial rasmi @sprgovmy.

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi