Diterbitkan pada 27 Julai 2026, 10:27

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Pauh Putra – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) meraikan Sambutan Jubli Perak bersempena dengan tahun penubuhannya ke-25 menerusi penganjuran ‘Mega Familia UniMAP 2026’ yang berlangsung dengan penuh meriah di sekitar Kampus Alam UniMAP, Pauh Putra Sabtu lalu.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selaku Canselor serta Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil selaku Pro-Canselor berkenan berangkat menyempurnakan pelancaran majlis berkenaan. 

Turut berangkat ialah Waris Yang Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail serta anakanda puteri, Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.

Keberangkatan tiba Duli-Duli Tuanku disambut oleh Naib Canselor UniMAP, Datuk Profesor Ts. Dr. Zaliman Sauli bersama Timbalan-timbalan Naib Canselor serta barisan pengurusan tertinggi universiti.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mencemar duli bermesra dengan warga Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

Penganjuran Mega Familia UniMAP 2026 menjadi platform penyatuan seluruh warga universiti dengan menghimpunkan sebanyak 2,500 orang kakitangan bersama-sama ahli keluarga dalam suasana penuh harmoni, sekali gus mengukuhkan semangat kekeluargaan, kebersamaan dan silaturahim yang menjadi tunjang kepada kecemerlangan institusi. 

Dalam majlis yang sama, Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan menyempurnakan simbolik perasmian ‘Monumen Jubli Perak UniMAP 2001–2026’ yang terletak di perkarangan Perpustakaan Tuanku Syed Faizuddin Putra sebagai tanda penghargaan terhadap perjalanan dan pencapaian universiti sepanjang suku abad penubuhannya.

Pelbagai aktiviti telah diadakan sepanjang program bagi memeriahkan sambutan, antaranya ‘Bubble Walk’ yang disertai sama oleh Tuanku Raja Muda dan Tuanku Raja Puan Muda, jualan makanan dan minuman menerusi reruai karnival, permainan interaktif serta sukaneka keluarga, rumah melompat untuk kanak-kanak, dan cabutan bertuah.

Para hadirin turut berpeluang untuk beramah mesra dan berfoto kenangan bersama dengan pelakon utama filem romantik komedi berjudul  ‘MojoKu Hilang’ yang baru sahaja ditayangkan di pawagam-pawagam seluruh negara dan majoriti pengambarannya diadakan di negeri Perlis, iaitu Mimi Lana dan Adipati Dolken.

Mega Familia UniMAP 2026 bukan sahaja menjadi medan meraikan ulang tahun penubuhan universiti, malah mencerminkan komitmen UniMAP dalam membudayakan nilai kekeluargaan, kebajikan dan kesejahteraan warga kampus, selaras dengan aspirasi universiti untuk terus melahirkan modal insan berkualiti serta memperkukuh hubungan erat dalam komuniti universiti.

 

Kredit Foto: Media Raja Muda Perlis
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi