4 Mei 2022, 16:13

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kota Bharu – Sambutan Hari Raya Aidilfitri pada hari ketiga di beberapa buah daerah di Kelantan kelihatan begitu meriah dengan kepulangan perantau yang sebelum ini mencari rezeki di beberapa buah negeri lain termasuklah di ibu negara, Kuala Lumpur. Walaupun kebanyakan umat Islam di negara ini beranggapan bahawa 1 Syawal akan diraikan pada 3 Mei, namun pengumuman oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Melayu, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad, ternyata mengejutkan seluruh umat Islam yang rata-ratanya masih berada di jalan raya pada waktu itu untuk pulang ke kampung halaman.

Situasi yang agak kelam kabut itu ternyata memberikan pengalaman baharu buat seluruh umat Islam di negara ini, baik dalam kalangan perantau atau warga kota apabila mereka bertungkus lumus menyediakan pelbagai keperluan dan persiapan menjelang keesokan harinya.

Hasil tinjauan mendapati kawasan kejiranan yang dihadiri oleh wartawan kami yang kebetulan pulang beraya di kampung halaman di negeri ini berlaku sedikit kekalutan. Pemerhatian  kami di daerah Tumpat, menunjukkan ada yang mula risau apabila tidak sempat menyiapkan tempahan baju raya daripada pelanggan, menyediakan buluh untuk membakar lemang, menyediakan menu istimewa pada pagi hari raya, menghias rumah dan hal-hal yang berkaitan dengan sambutan Aidilfitri.

Seorang penduduk yang ditemui semalam, Omar Hashim, 45 tahun, memberitahu bahawa beliau terpaksa beraya di ibu negara terlebih dahulu memandangkan tiket yang ditempahnya tidak dapat ditukar disebabkan sudah kehabisan tiket. Hal itu berlaku kerana beliau tidak menyangka bahawa sambutan 1 Syawal diisytiharkan sehari lebih awal. Pengalaman tersebut walaupun agak pahit baginya, namun tetap diraikan dengan penuh kesyukuran apabila baginya perkara yang lebih penting pada tahun ini beliau berpeluang untuk memohon kemaafan secara langsung bersama-sama kedua-dua orang tuanya.

Shila Ibrahim, 25 tahun pula memberitahu beliau tiba di kampung halamannya di Wakaf Bharu pada waktu subuh 1 Syawal dan tidak sempat membantu ibunya menyediakan juadah raya kerana terus bergegas menyediakan kelengkapan baju raya untuk suami dan anak-anaknya. Pada masa yang sama, mereka terpaksa bergegas ke masjid untuk menunaikan solat sunat Aidilfitri. Ternyata, pengalaman pada kali ini adalah yang pertama buat dirinya, namun beliau tetap bersyukur dapat tiba di kampung halaman pada saat-saat akhir.

Suasana di Masjid al-Huda, Mukim Ketil, Pengkalan kubor pada 1 Syawal juga berlaku penambahan tiga kali ganda para jemaah. Pihak jawatankuasa masjid terpaksa menyediakan beberapa buah khemah khas untuk memuatkan bilangan jemaah sedia ada dan perantau yang pulang menyambut Syawal di kampung tersebut. Walau bagaimanapun, solat sunat Aidilfitri tetap dapat dilakukan dengan sempurna. Selepas jemaah besurai, tradisi menghulurkan sampul duit raya kepada kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah diteruskan seperti tahun-tahun sebelumnya kecuali semasa PKP.

Tinjauan di kebanyakan restoran dan gerai makanan juga mendapati rata-rata pengusaha mengambil kesempatan untuk meningkatkan hasil pendapatan seawal pada hari raya pertama, iaitu pada sebelah malamnya. Hal ini berikutan negeri Kelantan berlaku pertambahan pengunjung dengan kepulangan perantau bersama-sama keluarga masing-masing. Kebanyakan pihak yang ditemui menyimpulkan bahawa walaupun mereka berdepan dengan situasi panik, tetapi majoritinya menyatakan rasa seronok dan keterujaan mereka untuk meraikan kedatangan Syawal pada kali ini. Lebih-lebih lagi, tahun ini merupakan sambutan Aidilfitri pertama yang menyaksikan kehidupan rakyat sudah kembali berubah seperti sebelum ini selepas dua tahun tidak dapat meraikannya bersama-sama keluarga dan sanak saudara di kampung halaman.

Kebanyakan penduduk yang ditemui juga menyatakan bahawa segala keperluan dapat disempurnakan dengan semampu yang boleh untuk menyambut hri raya pada tahun ini dek pengumuman raya yang mengejutkan itu, namun tidak dapat dinafikan bahawa kemeriahan sambutan lebaran pada kali ini tetap dirasai. Ada penduduk yang tidak dapat melelapkan mata hingga ke pagi Syawal kerana bertungkus lumus menyediakan juadah hari raya selain melakukan persiapan seperti menghias rumah. Ada yang terpaksa menggunakan semula baju raya tahun sebelumnya (sebelum PKP) dek tukang jahit yang tidak menang tangan menyiapkan tempahan mereka.

Walaupun hari raya pada tahun ini ditafsirkan sebagai hari raya “terkejut”, namun kemeriahan meraikan Syawal tanpa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diraikan dengan penuh kesyukuran oleh seluruh umat Islam di negara ini. Hari raya yang berlangsung awal sehari daripada yang dijangkakan ini memberikan pengalaman baharu buat generasi muda. Apatah lagi, kemeriahannya tetap dirasai, lebih-lebih lagi selepas dua tahun berkurung di dalam rumah tanpa kehadiran tetamu, keluarga tercinta dan sahabat handai.

Walau bagaimanapun, seorang jiran yang wakil kami temui menceritakan bahawa sambutan raya pada tahun ini tidak memberikan apa-apa makna buatnya apabila beliau kehilangan kedua-dua insan tercinta pada tahun lalu akibat dijangkiti wabak COVID-19. Sambutan Aidilfitri terakhir bersama-sama kedua-dua ibu bapanya diraikan pada tahun 2019. “Dua tahun berturut-turut saya tidak dapat beraya bersama-sama kedua-dua ibu bapa dan apabila kerajaan membenarkannya pada tahun ini, kedua-dua ibu bapa saya sudah tiada lagi di dunia ini,” luah Zainal, 31 tahun. Kisah ini antara momen sedih yang sempat dikongsikan oleh wartawan kami.

Sebagai kesimpulannya, sambutan Aidilfitri pada tahun ini dapat diraikan dengan penuh kesyukuran dalam kesederhanaan. Ramai yang menyifatkannya sebagai sambutan raya mengejut tetapi meriah!

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.