26 Mac 2024, 15:40

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Jurufoto: Hanafi Mohd Yusof

Kuala Lumpur – “Antara matlamat penubuhan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ialah mencetak, menerbitkan atau membantu dalam percetakan atau penerbitan buku, majalah, risalah dan bahan lain yang berbentuk kesusasteraan dalam bahasa kebangsaan ke dalam bahasa lain. Oleh itu, DBP sedang giat melaksanakan inisiatif penerbitan untuk menggalakkan dan membantu penerbitan bahan bacaan berkualiti tinggi.”

Menurut Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari, “Inisiatif penerbitan yang sedang dilaksanakan oleh DBP ialah Dana Penggerak Industri Buku Negara (PIBN). Dana ini berperanan dalam meningkatkan jumlah penerbitan buku umum judul baharu karya asli dan terjemahan bahasa Melayu dalam pelbagai bidang ilmu dan peringkat pembaca.”

“Inisiatif kedua ialah Dana Penerbitan Inisiatif Belanjawan 2023 (IB2023). DBP, Institut Terjemahan dan Buku Malaysia dan Yayasan Karyawan diberi mandat untuk mempergiat aktiviti terjemahan dan menjadikan buku sebagai bahan bacaan yang digemari oleh segenap lapisan masyarakat.”

Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari menyatakan bahawa DBP menumpukan pemasaran secara menyeluruh bagi memastikan bahan bacaan mudah didapati di pasaran.

Tambah beliau, “DBP sedang memfokuskan pemasaran dan pengedaran secara menyeluruh dan komprehensif. Proses pemasaran buku perlu dilihat secara menyeluruh kerana melibatkan rangkaian pengedaran secara langsung dan secara dalam talian. Perancangan dan strategi pemasaran perlu mengambil kira khalayak, masa dan jumlah keuntungan.”

Sementara itu, Pengarah Pembangunan Koleksi Perpustakaan Negara Malaysia (PNM), YBrs. Puan Aidatul Hasnida Abdul Rani pula berkata bahawa pihaknya juga menyediakan peruntukan dana untuk membantu penulis.

“Dana itu dimulakan pada tahun 2007 dan PNM akan membeli secara terus bahan bacaan daripada penulis. Kriteria yang ditetapkan untuk layak mendapat dana ini ialah bahan bacaan harus bersesuaian untuk pembaca di perpustakaan desa. Dana ini juga telah membantu sebanyak 1793 orang penulis dan menerbitkan 2149 judul dan 1 270 304 naskhah setakat ini.”

Pada seminar yang sama, Pengarah Majlis Buku Kebangsaan Malaysia, Tuan Haji Khair Ngadiron berkongsi tentang peranan Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) untuk memperkukuh budaya membaca dalam kalangan rakyat Malaysia dan memperkasakan industri perbukuan negara pada peringkat lokal dan antarabangsa.

Beliau menambah, “MBKM diberi tugas untuk merangka strategi pelaksanaan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur dan tugas khas yang dipertanggungjawabkan, memperkasakan industri perbukuan melalui program gabungan dengan agensi kerajaan atau swasta dan mempertingkatkan hubungan kerjasama dengan agensi kerajaan, swasta dan industri buku dari dalam serta luar negara.”

“Oleh itu, MBKM kini melakukan kerjasama strategik dengan penganjur pesta buku dari dalam dan luar negara untuk membantu mempromosikan dan menjual buku.”

Tambah beliau, perkembangan terbaharu MBKM adalah berjaya menembusi pasaran buku negara China yang akan menjual 1000 judul buku di universiti China. Perkara ini merupakan situasi sihat bagi industri buku negara.”

Pengarah MKBM, YBrs. Tuan Haji Khair Ngadiron menyatakan bahawa MKBM mengadakan kerjasama strategik untuk merancakkan industri buku negara.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.