Oleh Rasoul Manan
26 April 2024, 18:35

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Arau – “Para pelajar perlu bijak dalam mengawal emosi, sentiasa positif dan mengawal tekanan terutamanya dalam menjalani aktiviti persekolahan yang padat, termasuklah sebarang program di luar bilik darjah.”

Demikian titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra ketika berkenan berangkat merasmikan Program Titian Kasih Mega 2024 anjuran Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis melibatkan 542 orang pelajar tingkatan 1 hingga 3 peringkat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Syed Sirajuddin, semalam.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra ketika merasmikan Program Titian Kasih Mega 2024 anjuran Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis di SMK Syed Sirajuddin.

Baginda turut menyentuh kecerdasan emosi seperti bersikap tenang ketika menghadapi tekanan, mentafsir, memahami dan menguruskan emosi diri sendiri serta orang di sekeliling mereka.

“Pelajar perlu melengkapkan diri dengan pelbagai disiplin ilmu, berpegang teguh kepada agama, serta meningkatkan pembangunan sahsiah, sekali gus dapat melahirkan generasi yang syumul”, titah Baginda lagi.

SMK Syed Sirajuddin merupakan sekolah yang cemerlang dalam lapangan akademi dan kokurikulum. Pada tahun 2022, pencapaian SPM sekolah ini telah meningkat sebanyak 5.80 peratus GPS SPM berbanding dengan tahun 2021, iaitu hanya 5.62 peratus. Malahan bilangan pelajar STPM yang mendapat 4A juga bertambah saban tahun.

Para pelajar SMK Syed Sirajuddin bergambar bersama-sama Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil

Pencapaian sukan di SMK Syed Sirajuddin juga amat membanggakan terutamanya dalam sukan tinju. Pelajarnya telah muncul johan dalam Kejohanan ‘Enter The Dragon’ kategori Junior Cage Boxing 46kg di Pulau Pinang dan berjaya menjadi johan serta menjadi petinju terbaik dan berpotensi dalam Kejohanan Tinju Bakat Kebangsaan 2023.

Pasukan ragbi sekolah pula telah menjadi Naib Johan dalam Kejohanan Ragbi Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Perlis (MSSPs) Bawah 15 Tahun dan mewakili negeri Perlis di peringkat kebangsaan. Sekolah ini juga bergelar Johan Peringkat Akhir Pertandingan Memasak Sekolah-Sekolah Menengah anjuran MAGGI 2023.

Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan menyempurnakan simbolik perasmian bagi bilik rehabilitasi sukan yang merupakan bilik rawatan khusus buat atlet SMK Syed Sirajuddin menjalani rawatan dengan bantuan alatan dan teknik yang terkini.

Keberangkatan tiba Baginda yang turut diiringi sama oleh Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil disambut oleh pengetuanya, Wan Zaini Wan Saad .

Turut hadir, Setiausaha Kehormat YTSP Perlis, Datuk Johari Mohd Darus dan Penyelaras, Mejar Muhamad Azuan Mohamad Nasir serta Pengarah Pendidikan Negeri, Rose Aza Che Arifin.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.