26 April 2024, 14:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Jurufoto: Hanafi Mohd. Yusof

Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) memenangi tempat pertama bagi Anugerah Platinum (Pembangunan Lestari Harta Intelek) dalam Majlis Anugerah Harta Intelek Negara 2024 yang berlangsung di Menara MyIPO, hari ini.

Petaling Jaya – Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) hari ini menganjurkan Majlis Anugerah Harta Intelek Negara 2024 bagi mengiktiraf pencapaian cemerlang pencipta dan pereka cipta tempatan dalam penghasilan harta intelek.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, YB Datuk Armizan Mohd. Ali.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, YB Datuk Armizan Mohd. Ali berkata,

Hari ini, kita lihat rakyat Malaysia semakin peka terhadap kepentingan perlindungan harta intelek yang dianggap sebagai sumber kekayaan dan instrumen inovasi negara.

Beliau merakamkan penghargaan dan tahniah kepada MyIPO bersama-sama rakan sinerginya atas penganjuran majlis tersebut sebagai inisiatif dalam melindungi harta intelek terus terpelihara, di samping memartabatkan negara melalui penghasilan inovasi dan kreatif.

Dalam ucapan perasmian pada pagi tadi, beliau berkata,

MyIPO telah dipilih oleh World Intellectual Property Organization (WIPO) sebagai satu daripada negara di Asia Tenggara untuk mempelopori Projek Agriculture 4.0 dalam meningkatkan pengetahuan, kepakaran dan penggunaan kecerdasan buatan dalam sektor pertanian.

Tambah beliau,

Malaysia menjadi satu-satunya negara di Asia bersama-sama negara dari benus Amerika Selatan, Afrika dan Eropah untuk menjayakan projek Empowering Youth (K-12) to Innovate for a Better Future.

“Program ini membawa misi untuk memperkasakan pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dalam kalangan pelajar, selain menjadi platform kepada generasi muda mendepani isu negara melalui harta intelek sebagai instrumen penggalak inovasi.

Sementara itu, bagi meningkatkan kapasiti usahawan tempatan, Malaysia juga terpilih dalam projek IP Management Clinic Program (IPMC) fasa pertama yang memberikan fokus kepada syarikat pemula, khususnya perusahan kecil dan sederhana (PKS) untuk melebarkan pasaran tempatan ke peringkat antarabangsa dengan mengaplikasikan harta intelek dalam aktiviti pengkomersialan.

Mengulas lanjut berkaitan dengan Anugerah Harta Intelek Negara, terdapat lima kategori anugerah berprestij ditawarkan, antaranya termasuklah Anugerah Platinum di bawah kategori Pembangunan Lestari Harta Intelek; Anugerah Teknologi Hijau; Anugerah Karya Lestari; Anugerah Milenial dan Anugerah Permata.

Bagi Anugerah Platinum di bawah kategori Pembangunan Lestari Harta Intelek, Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) telah merangkul sebagai pemenang utama dan memperoleh piala serta wang tunai sebanyak RM30,000.

Pengerusi MyIPO, Ts. Dr. Mohd Zuhan Mohd Zain.

Pengerusi MyIPO, Ts. Dr. Mohd Zuhan Mohd Zain dalam ucapan alu-aluan tadi berkata,

Anugerah ini diberi kepada organisasi yang telah menunjukkan pengurusan harta intelek yang terbaik dan bertanggungjawab serta mempunyai strategi untuk menjaga dan mengguna semula sumber harta intelek mereka dalam jangka masa panjang.

Ketua Pengarah MyIPO, Tuan Kamal Kormin.

Sementara itu, Ketua Pengarah MyIPO, Tuan Kamal Kormin beriltizam bahawa anugerah sebegini mampu melahirkan generasi madani yang berdaya cipta, serta mengukuhkan pembangunan ekonomi setanding dengan negara lain.

Semoga penghasilan produk tempatan hasil kreativiti, inovasi serta teknologi terkini akan menaikan lagi nilai harta intelek tempatan dan seterusnya memartabatkan negara di mata dunia.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.