Oleh Lutfi Zahid
29 April 2024, 16:11

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Cyberjaya – Kementerian Pendidikan Malaysia melalui Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM), dengan kerjasama barisan penggiat industri buku Malaysia, termasuklah Dewan Bahasa dan Pustaka, akan menganjurkan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2024 pada 24 Mei 2024 hingga 2 Jun 2024 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.

PBAKL yang merupakan acara utama tahunan dalam kalendar penerbitan tempatan telah memberikan kesan yang besar kepada komuniti pembaca dan industri buku tempatan dan telah merekodkan lebih daripada 1.5 juta pelawat secara purata dari tahun 2008 hingga kini.

Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, YBrs. Tuan Haji Azman Haji Adnan, berkata penganjuran PBAKL 2024 merupakan usaha berterusan KPM bersama-sama para penggiat industri perbukuan negara sebagai manifestasi mengukuhkan budaya membaca ke arah membentuk generasi Madani yang menjadi nadi utama kepada negara pada masa akan datang.

YBrs. Tuan Haji Azman Haji Adnan, Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia semasa berucap merasmikan Majlis Pra Pelancaran PBAKL 2024.

“KPM bertanggungjawab untuk memastikan budaya membaca dapat diterapkan kepada anak-anak seawal ketika mereka berada di sekolah. Hanya dengan buku dan pembacaan, maka pengetahuan, kemahiran dan nilai yang dihasratkan selari dengan aspirasi negara dapat direalisasikan,” kata YBrs. Tuan Haji Azman Haji Adnan dalam ucapan perasmian Pra Pelancaran PBAKL 2024, petang ini.

Tambah beliau, penganjuran PBAKL pada kali ini yang turut melibatkan aplikasi digital mudah alih PBAKL 2024 amat bersesuaian dan selaras dengan Dasar Pendidikan Digital yang diusahakan oleh KPM untuk mewujudkan pembaca baharu dalam kalangan masyarakat.

Tetamu yang hadir ke Majlis Prapelancaran PBAKL 2024 yang berlangsung di Tamarind Square, Cyberjaya.

“Usaha pendigitalan ini bukanlah bermaksud untuk merubah industri perbukuan, tetapi sebagai pelengkap demi kelestarian industri perbukuan negara. Inisiatif ini selaras dengan aspirasi kerajaan mereformasikan urus tadbir negara ke arah digital, sekali gus menyokong aspirasi Malaysia MADANI.”

Dalam pada itu, Pengerusi Pengelola PBAKL 2024, Mohd Khair Ngadiron, berkata PBAKL pada tahun ini menyasarkan seramai 1.5 juta pengunjung dan turut dimeriahkan dengan penganjuran Asian Right Fair 2024 yang melibatkan 14 buah negara dari serata dunia.

Pengerusi Pengelola PBAKL 2024, Mohd Khair Ngadiron.

Lebih menarik, China yang diangkat sebagai negara tamu PBAKL 2024 telah bersetuju untuk memasarkan 200 judul buku dari Malaysia ke universiti di negara itu menerusi Beijing International Book Fair 2024.

Sebagai rekod, penganjuran PBAKL yang pertama kali diadakan pada tahun 1981 telah menyumbang kepada pertumbuhan industri buku di Malaysia. Hal ini dibuktikan dengan peningkatan tempahan reruai yang ketara sejak tahun 2022, iaitu 546 reruai pada tahun 2022, 814 reruai pada tahun 2023, dan pada tahun ini PBAKL menerima 972 tempahan reruai.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.