Oleh Zulkifli Salleh
18 April 2024, 18:11

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pada pagi 2 Syawal 1445 bersamaan 11 April 2024, melalui laman Facebook saya mendapat berita bahawa mantan Ketua Pengarah Dewan dan Pustaka (DBP), Datuk Dr. Firdaus Abdullah kembali ke rahmatullah, pada usia 80 tahun. Sebelum itu, pada pagi 1 Syawal, melalui Whatsapp, saya menyampaikan salam Aidilfitri kepada mantan ketua saya yang juga saya anggap sebagai sahabat saya. Sebaik-baik sahaja mengetahui berita itu, saya menghubungi Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran, juga mantan Ketua Pengarah DBP yang sedang berhari raya di Miri, Sarawak. Sambil mengimbau masa lalu – masa kami bertiga, baik dalam urusan rasmi, mahupun dalam hal-hal peribadi.

Datuk Abang Sallehuddin sempat mengirimkan sajak Allahyarham, Patricia Takemoto yang boleh dikatakan agak romantik. Tidak ubah seperti sajak-sajak Dr. Zhivago yang didedikasikan kepada kekasihnya, Lara. Bekas pelajar Dr. Firdaus di Universiti Malaya memberitahu bahawa beliau pernah membaca sajak ini semasa kuliah.

Buku terakhir karya Allahyarham Datuk Dr. Firdaus Abdullah yang diterbitkan oleh DBP pada tahun 2023.

Kali terakhir kami berhubung ialah apabila buku beliau Antara Yang Dikendong dengan Yang Dikejar: Analisis Pengartikulasian Politik Melayu diterbitkan. Pada waktu itu, beliau sedang menjual bukunya sendiri. Ketika buku itu dalam proses penerbitan, Dr. Firdaus pernah beberapa kali meminta pandangan saya. Seperti biasa, ketika berbual, beliau berasa terkilan kerana sudah lama kami tidak bersua muka dan menikmati nasi Padang.

Saya pernah mencadangkan supaya Dr. Firdaus menulis sebuah memoir dengan judul “Dari Menara Gading ke Menara DBP”. Saya juga pernah mencadangkan supaya Datuk A. Aziz Deraman pada hari persaraan beliau agar menulis memoir, “Dari Pasir Puteh ke Jalan Dewan Bahasa”. Saya mencadangkan antara bab yang terkandung dalam memoir Dr. Firdaus termasuklah pembabitan beliau dalam politik dan peristiwa yang berlaku dalam bilik Lembaga Pengelola.

Dr. Firdaus pernah memberitahu bahawa dua pengalaman paling sukar yang ditempuhi oleh beliau, sehingga terbawa-bawa ke dalam mimpi. Pertama, menulis semula tesis pengajian Doktor Falsafah (Ph.D), kerana tesis tersebut telah hangus dalam kebakaran flat kediamannya di Amerika Syarikat. Kedua, ketika beliau menyediakan teks ucapan Tengku Razaleigh Hamzah, “Kemungkaran Politik dan Ekonomi” yang merupakan ucapan dasar Tengku Razeleigh yang bergandingan dengan Tun Musa Hitam, berentap dengan regu Tun Dr. Mahathir Mohamad-Tun Abdul Ghafar Baba. Pergelutan kuasa itu dikenali sebagai “Team B lawan Team A”. Beliau memberitahu untuk menyediakan ucapan itu, beliau bersama-sama Mohd Annuar Zaini (kini, Tan Sri) seakan-akan berkampung di Universiti Malaya.

Sekiranya Tengku Razaleigh menang dalam pemilihan UMNO tahun 1987 itu, “sembang politik”, kedengaran bahawa Dr. Firdaus akan dilantik ke jawatan penting di sebuah stesen televisyen swasta.  Pada tahun 2006, ketika beliau berkhidmat sebagai Ketua Pengarah DBP, saya bertanya kepada beliau untuk mendapatkan kepastian. Jawab beliau, “Ya, sebagai pengarah,” sambil berseloroh.

Dr. Firdaus menganggap pelantikan beliau pada tahun 2005, ibarat “sirih pulang ke ganggang”.  Mungkin kerana sebelum ini, beliau pernah dilantik sebagai anggota Lembaga Pengelola. Sebagai ahli akademik dan penganalisis politik, beliau terkenal dengan kepimpinan intelektual. Memang kepimpinan itu diharap-harapkan ketika beliau menerajui DBP. Namun begitu, pengalaman luas beliau di menara gading tidak cukup untuk beliau menerajui sebuah institusi ilmu dan pentadbiran. Pada peringkat awal, beliau terpaksa bergelut dengan tugas pentadbiran sehingga menyebabkan “kereta yang dipandu kelihatan tidak bergerak”, meskipun beliau sudah duduk di tempat pemandu.

Apabila Datuk Johan Jaaffar (kini, Tan Sri) dinaikkan pangkat daripada Timbalan Pengerusi kepada Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, maka diharapkan muncul regu terbaik antara beliau dengan Dr. Firdaus. Tan Sri Datuk Johan dianggap sebagai moderator terbaik di negara ini. Oleh sebab beliau pernah berkhidmat di DBP, beliau seakan-akan ingin mengembalikan kegemilangan lampau organisasi ini.

Dr. Firdaus, sebagai pemimpin intelektual, banyak berfikir secara konseptual. Beliau berketurunan Minangkabau yang terkenal dengan amalan berhemat ketika berbelanja.  Beliau pernah mengingatkan kami di DBP tidak boleh berbelanja, seperti “wang gugur dari pokok”. Bagi beliau, lebih baik bermula secara kecil-kecilan, kemudian membesar daripada bermula dengan besar-besaran, kemudian mengecil dan akhirnya menghilang.

Dari segi pengurusan, Dr. Firdaus pernah menyebut kawal tangkis kerosakan (damage control) dan aspek pembangunan (developmental) dalam menangani sesuatu krisis.  Kedua-duanya mempunyai pasukan petugas yang berlainan. Kawal tangkis kerosakan dan pembangunan bukan sahaja wajar diterapkan untuk organisasi, tetapi juga pada peringkat negara, contohnya ketika menghadapi  kekurangan bekalan beras. Pasukan petugas kawal tangkis kerosakan, mencari penyelesaian jangka pendek, seperti meningkatkan jumlah beras import, manakala pasukan petugas pembangunan, merangka pelan jangka panjang, misalnya langkah  melipatgandakan pengeluaran padi dan beras negara.

Antara koleksi karya Allahyarham Datuk Dr. Firdaus Abdullah.

Sebagai pemimpin intelektual, Dr. Firdaus mempunyai kemampuan mentafsirkan program yang dilaksanakan oleh DBP dari segi konseptual.  Bagi beliau, kerjasama bahasa dan sastera pada peringkat serantau, seperti Majlis Bahasa Brunei Darussalam – Indonesia – Malaysia (MBBIM) dan Majlis Sastera Asia Tenggara (Mastera), boleh dianggap sebagai “diplomasi budaya”. Suatu istilah dalam hubungan antarabangsa – “kuasa lembut” lawan “kuasa keras”.

Politik dan kebudayaan merupakan bidang kepakaran Allahyarham Datuk Dr. Firdaus Abdullah.

Semasa kepimpinannya, Dr. Firdaus membimbing kami untuk memahami dasar negara, seperti Dasar Ekonomi Baru (DEB), serta menilai penghayatan Rukun Negara.  Bahkan, beliau pergi lebih jauh membandingkan Rukun Negara dengan Pancasila di Indonesia. Menurut beliau, penghayatan Pancasila bermula pada peringkat sekolah rendah lagi dan seterusnya pada peringkat pengajian tinggi, manakala Rukun Negara hanya setakat ikrar sekali-sekala. Beberapa tahun selepas itu, melalui pembacaan buku Francis Fukuyama, Political Order and Political Decay: From the Industrial Revolution to the Globalisation of Democracy, saya mengetahui bahawa melalui Pancasila,Indonesia berjaya dari segi pembinaan bangsa (nation-building).

Dr. Firdaus pernah memberitahu bahawa dalam bidang penulisan, kebiasaannya terdapat empat “unsur”, iaitu deskriptif, analitis, kritis dan khutbah.  Dua atau lebih unsur ini boleh wujud dalam satu perenggan, bahkan dalam satu ayat. Maksudnya, tidak semestinya wujud dalam perenggan atau halaman yang berasingan.

Pemimpin datang, pemimpin pergi. Jasa dan bakti kekal abadi. Seperti yang diberitahu oleh Datuk Abang Sallehuddin, permulaan gaya penulisan surat rasmi yang diperkenalkan oleh Dr. Firdaus, kekal hingga sekarang. Ada sentuhan peribadi dengan diiringi doa.

Penulis, mantan Pengarah Jabatan Penerbitan DBP.

 

 

 

 

 

 

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.