Oleh Jyh Wee Sew
22 April 2024, 21:01

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pada 15 April lalu, Pejabat Perdana Menteri Singapura telah mengeluarkan satu pengisytiharan dalam laman rasminya. Bahawasanya, diumumkan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong akan menamatkan jawatan beliau pada 15 Mei kelak. Secara rasmi, Lee menasihatkan Presiden Singapura supaya melantik Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Lawrence Wong Shyun Tsai sebagai pengganti beliau. Wong akan mengangkat sumpah pelantikan Perdana Menteri baharu pada pukul 8:00 malam pada 15 Mei 2024 di kediaman rasmi Presiden Singapura di Bukit Sophia yang terletak bersebelahan dengan Jalan Orchard.

Berita ini diterima secara baik oleh pihak media dan masyarakat Singapura kerana menganggap peralihan kuasa tersebut sebagai wajar memandangkan Lee yang kini telah menjangkau usia 72 tahun. Tambahan pula, pada tahun 2012, Lee pernah menyatakan hasrat beliau untuk meletakkan jawatan Perdana Menteri sebelum usia 70 tahun.

Wong yang berketurunan etnik Hainan, Cina dilahirkan pada 18 Disember 1972. Keluarga beliau pernah tinggal di Flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) di Marine Parade, timur laut Singapura. Bapanya bekerja sebagai pegawai jualan dan ibunya merupakan guru di sekolah rendah. Beliau pernah bersekolah di Sekolah Rendah Lelaki Haig, Sekolah Menengah Tanjong Katong dan Maktab Rendah Victoria. Penerima biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam ini pernah melanjutkan pelajaran ke Universiti of Wisconsin-Madison, Amerika Syarikat(USA) dan lulus dengan ijazah Sarjana Muda Sains  dalam bidang Ekonomi pada tahun 1994. Seterusnya beliau meraih ijazah Sarjana Sastera dalam bidang Ekonomi Gunaan dari Universiti Michigan, USA pada tahun 1995. Kelulusan terakhir beliau ialah Sarjana Pentadbiran Awam dari Universiti Harvard, USA pada 2004.

Dari segi pengalaman kepimpinan, Wong yang kini berusia 51 tahun pernah memegang jawatan Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia pada tahun 2014. Pada tahun 2015, Wong dilantik sebagai Menteri Pembangunan Negara merangkap Menteri Kewangan Kedua pada tahun 2016. Pada tahun 2020, Wong dilantik sebagai Menteri Pendidikan Singapura sebelum memegang jawatan Menteri Kewangan pada tahun 2021 menerusi rombakan kabinet. Apabila pandemik COVID-19 mulai merebak di Singapura pada tahun 2020, beliau menjadi pengerusi bersekutu menerajui jawatankuasa merentas kementerian yang ditubuhkan untuk menghadapi ancaman tersebut di Singapura. Semasa menyampaikan laporan penyelarasan pandemik di Parlimen Singapura pada 26 Mar 2020,Wong mengalirkan air mata sambil meluahkan rasa penghormatan beliau kepada petugas kesihatan.

Dari sudut kerjaya politik pula, Wong yang mewakili Parti Tindakan Rakyat (PAP), yakni parti pemerintah Singapura kini, telah bertanding di Marsiling-Yew Tee, iaitu sebuah kawasan undi perwakilan berkumpulan (GRC), semasa pilihan raya yang berlangsung pada tahun 2015. Pasukan beliau berjaya memperoleh sebanyak 68.7 peratus undi menewaskan pasukan Parti Demokratik Singapura dengan menjadi wakil rakyat kawasan Limbang-Yew Tee di bahagian utara Singapura. Kemudian, pilihan raya yang berlangsung pada tahun 2020 pula, Wong bertanding sebagai ketua pasukan berempat dari PAP dan menang dengan sebanyak 63.18 peratus undi di GRC yang sama. Melalui keputusan pilihan raya ini, Wong mengekalkan kerusi Parlimen beliau dari 2020 hingga pilihan raya baharu yang bakal menjelang.

Sebelum Wong dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri Singapura pada tahun 2022, Perdana Menteri, Lee Hsien Loong telah melantik Khaw Boon Wan (mantan Pengerusi PAP) supaya meninjau pungutan suara dalam kalangan menteri kabinet tentang pencalonan Wong sebagai Timbalan Perdana Menteri. Daripada jumlah 19 orang menteri  dari parti PAP yang disoal selidik, sebanyak 15 orang menteri sebulat suara menyokong pencalonan Wong. Sokongan yang pungut oleh Khaw itu memperlihatkan Wong lebih terkedepan berbanding dengan calon lain yang bersaing. Pada masa itu, calon pesaing jawatan Timbalan Perdana Menteri termasuklah Chan Chun Seng dan Ong Ye Kung (MBA Switzerland) yang masing-masing memegang jawatan menteri di Kementerian Pendidikan Singapura dan Kementerian Kesihatan Singapura sekarang.

Selanjutnya pencalonan Wong sebagai Timbalan Perdana Menteri Singapura diumumkan secara rasmi pada 14 April 2022. Perdana Menteri juga membuat pengumuman tentang pelantikan Wong di laman facebook beliau pada tarikh yang sama. Sebagai Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Wong telah mengumumkan Pakej Rangsangan bernilai S$500 juta di Parlimen pada tahun 2022 sebagai modal untuk menghadapi kesan COVID-19 ke atas Singapura. Wong juga mendedahkan bahawa pemerintah Singapura akan mengetepikan S$560 juta untuk membantu rakyat Singapura menghadapi kos kehidupan yang semakin meningkat.

Dalam Belanjawan 2023 pula, Wong mengumumkan Pakej Jaminan yang bernilai 9.6 bilion dolar. Menurut Wong, nilai yang dijanjikan itu sememstinya untuk mengimbangi cukai barang dan perkhidmatan (GST) selama lima tahun. Perlu dinyatakan bahawa cukai GST di Singapura mencapai sebanyak lapan peratus pada tahun 2023 dan mencecah sembilan peratus pada tahun 2024.

Ciri kepimpinan yang mantap telah diperlihatkan oleh beliau dalam perubahan taksiran cukai pendapatan. Penilaian cukai yang diperkenalkan telah memperlihatkan tekad beliau untuk membela nasib rakyat jelata. Semasa ucapan beliau dalam Forum Kemuncak Institut Milken yang diadakan di Hotel Four Seasons, Singapura pada September 2023, Wong pernah berkata:

“The rich pay more, and if you’re very rich, you pay very many taxes, while those who are less well off benefit more from government spending”

“Orang kaya bayar lebih cukai dan orang yang kaya-raya bayar pelbagai bentuk cukai, manakala yang kurang beruntung akan menerima lebih manfaat melalui perbelanjaan pemerintah”.

Sekiranya pandangan di atas dijuruskan ke alam pelaburan Singapura, selain 700 buah pejabat pelaburan keluarga dari luar negeri bernilai $5 trilion, maka orang Singapura boleh menarik nafas lega bahawa hak dan kepentingan setempat masih terpelihara di bawah pemantauan Wong sebagai peneraju Kementerian Kewangan.

Pada 16 April 2024 dalam satu sesi temu ramah, Wong telah memuji kepimpinan Lee yang telah mendatangkan kemajuan ekonomi Singapura dan peningkatan taraf hidup rakyat jelata sepanjang 20 tahun memerintah. Menurut Wong, Singapura telah menghadapi beberapa cabaran besar, namun tetap muncul bergaya pada akhir setiap dugaan di bawah teraju Lee sebagai Perdana Menteri. Nama Singapura juga menjadi suatu jenama yang terus disegani serta dihormati di serata dunia.

Wong turut mendedahkan bahawa Lee telah bersetuju untuk menyertai pasukan beliau sebagai Menteri Kanan apabila Wong memegang jawatan Perdana Menteri kelak. Fokus beliau kini termasuklah berkaitan dengan hal ehwal ekonomi negara, pekerjaan dan kos kehidupan agar kehidupan warga emas dan golongan  kurang upaya terus tetap terjamin. Tambahan lagi, beliau tidak akan membuat sebarang rombakan kabinet selepas menjadi Perdana Menteri sehingga pilihan raya baharu selesai dijalankan.

Dalam satu siaran temu ramah di televisyen, Wong pernah mendedahkan bahawa keluarga beliau menggunakan bahasa Melayu selain daripada bahasa Inggeris dan Cina sewaktu bergaul mesra di rumah. Oleh itu, kita tidak sabar-sabar menanti Hari Kebangsaan Singapura terutama ucapan dalam bahasa Melayu daripada Wong yang sebelum ini telah dimulakan dalam bahasa Melayu oleh Lee.

Sememangnya peralihan kuasa yang bakal berlaku di Singapura pada 15 Mei 2024 akan membuka lembaran baharu dalam perkembangan politik dan pentadbiran di kota singa. Pengalaman Wong di beberapa buah kementerian penting merangkap penyelaras belanjawan negara pasti menjadi pedoman beliau sebagai Perdana Menteri yang berwawasan.

Sebagai seorang menteri yang pernah mengalirkan air mata di Parlimen, sudah tentu beliau akan menjadi lebih peka dengan tekanan pekerja beruniform khususnya kaki tangan kesihatan yang terus bersabung nyawa sebagai pekerja barisan hadapan apabila bencana kesihatan melanda. Di samping strategi penting tidak mustahil peribahasa “berat mata memandang, berat lagi bahu memikul” digunakan sebagai sebahagian daripada kaedah operasi di pejabat Wong dalam hal ehwal penilaian projek utama. Bersama-samalah kita menanti perkembangan menarik daripada tampuk pemerintahan baharu yang bakal muncul pada bulan Mei kelak.

Penulis, Pengarang Semiotik Persembahan Wacana, Penerbit Universiti Malaysia (2009) yang kini mengajar Bahasa Melayu, Kantonis dan Hokkien di Universiti Nasional Singapura.

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.