Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangGenap 10 tahun sejak kali pertama diperkenalkan pada 13 Mac 2011, Monsta mengajak peminat siri animasi BoBoiBoy di seluruh negara untuk meraikan sambutan bertemakan “BoBoiBoy Beyond” dengan pelbagai aktiviti yang menarik sepanjang tahun.
Syarikat Monsta dalam kenyataan pada 16 Mac 2021 memaklumkan bahawa sambutan dimulakan dengan tayangan semula episod satu dari musim pertama BoBoiBoy dengan lima minit adegan baharu yang memaparkan pertalian antara BoBoiBoy dengan ayahnya, Amato.
Ketua Pegawai Eksekutif Monsta, Nizam Abd Razak, dalam laman Facebook rasminya sebelum ini berkata, sambutan ulang tahun BoBoiBoy itu bakal diraikan sepanjang tahun ini.
“Episod khas BoBoiBoy Extended Version Episod 1, Musim 1 ini hanyalah permulaan daripada kami sebagai hadiah kepada para peminat setia BoBoiBoy dan Monsta,” ujarnya.
Menurut kenyataan itu, episod khas berkenaan telah menjadi sohor kini (trending) dalam laman sosial Twitter di Malaysia dan Indonesia dengan tanda pagar #BoBoiBoyBeyond10 dan reaksi positif serta keterujaan penonton turut membanjiri ruangan komen media sosial BoBoiBoy setelah 10 tahun penantian peminat untuk melihat interaksi generasi adi wira tempatan itu.