Oleh Aninah Janang
29 Mac 2021, 16:39

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

PUTRAJAYA – Perkhidmatan selama 365 hari Tan Sri Mohd Zuki Ali sebagai Ketua Setiausaha Negara (KSN) ke-15 yang bermula pada 1 Januari 2020, menjadi penuh bermakna apabila sebuah buku garapan beliau bertajuk 365 Hari: Citra dan Aspirasi Mohd Zuki Ali, diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Buku 365 Hari Aspirasi dan Cabaran oleh Mohd. Zuki Ali, terbitan DBP.
Buku 365 Hari Aspirasi dan Cabaran oleh Mohd. Zuki Ali, terbitan DBP.

Karya sulung Mohd Zuki ini menghimpunkan 19 ucapan, tiga wawancara dan dua artikel beliau sebagai KSN sepanjang tahun 2020. Buku ini merupakan adunan daripada kumpulan amanat, ucaptama dan ucapan serta turut diperjelaskan menerusi wawancara dan artikel media yang bersesuaian bagi menggambarkan pemurnian hasrat dan cetusan idea beliau sebagai pemimpin utama sektor awam di Malaysia. Mohd Zuki dilantik sebagai KSN dengan limpah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVI, pada 1 Januari 2020.

Buku ini akan membawa pembaca menelusuri kembara 365 hari beliau sebagai KSN dengan perkongsian pelbagai peristiwa penuh cabaran yang unik dan tidak pernah berlaku dalam sejarah negara. Malah, sejak dilantik sebagai KSN, beliau terkenal dengan prinsip FASTER (Flatter, Agile, Streamlined, Tech-enabled, Efficient dan Resilient) dalam perkhidmatan awam.

“FASTER merujuk kerja secara Flatter, Agile, Streamlined, Tech-enabled, Efficient dan Resilient. Prinsip ini mesti diamalkan dan dilaksanakan oleh semua peringkat. Sebagai contoh, ketika lawatan saya ke tapak tebing runtuh di Pasir Mas, Kelantan, baru-baru ini, saya melihat sendiri lebih daripada 50 buah rumah musnah dalam kejadian tanah runtuh tersebut dan semua pihak yang bertanggungjawab bersama-sama melaksanakan tindakan susulan secara strategik.  JKR dan JPS umpamanya telah membuat analisis kerosakan dan anggaran penambahbaikan, manakala Kementerian Alam Sekitar dan Jabatan Perdana Menteri telah menyediakan kertas cadangan segera untuk diangkat ke Mesyuarat Kabinet,” ujar Tan Sri Mohd Zuki Ali dalam ucapannya pada Majlis Pelancaran Buku 365 Hari: Citra dan Aspirasi Mohd Zuki Ali, yang diadakan di The Glass Suite, Bora Ombak, Marina, Putrajaya.

Majlis tersebut turut dihadiri oleh Tan Sri Mohd. Khairul Adib Abd. Rahman, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam; Datuk Seri Mohd Sallehhuddin Hassan, Timbalan Ketua Setiausaha Kanan, Jabatan Perdana Menteri; Datuk Yusran Shah Mohd Yusof, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Malaysia; Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, Pengerusi Lembaga Pengelola DBP; dan Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran, Ketua Pengarah DBP. Majlis tersebut juga turut dihadiri oleh ketua pengarang media tempatan.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.