Oleh Zulkifli Salleh
16 April 2021, 12:50

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Walter Scheidel dalam bukunya The Great Leveller: Violence and the History of Inequality from the Stone Age to the Twenty-First Century memperkenalkan empat orang “Penunggang Kuda”, yang satu daripadanya berkait dengan wabak. Diilhamkan oleh Capital in the Twenty​First Century, Thomas Piketty, Scheidel melakarkan bersama-sama tatasusunan kuantitatif yang besar dan bukti naratif untuk tesis utama beliau bahawa sepanjang sejarah yang direkodkan, pengarasan (leveling) yang sangat berkuasa tidak dapat tidak, akibat daripada kejutan yang sangat berkuasa.

Empat jenis kekerasan yang berbeza bergejolak yang mendatarkan ketidaksamaan ‒ peperangan mobilisasi massa, revolusi transformatif (seperti komunisme), kegagalan atau keruntuhan negara dan wabak dan pandemik yang boleh membawa maut.  Menurut beliau, beratus-ratus juta orang lenyap dalam keracak peristiwa itu.  Pada masa keadaan menjadi tenang, jurang antara golongan yang memiliki dengan golongan yang tidak memiliki menyusut, adakalanya secara dramatik.

Pengarasan yang  berlaku ketika Maut Hitam  menyaksikan keruntuhan sistem feudal di Eropah, pembebasan hamba daripada tuan mereka, pembebasan kaum tani daripada tuan tanah, dan akibat kekurangan penduduk, buruh mempunyai kuasa tawar-menawar dalam tuntutan upah.  Namun begitu, dikatakan bahawa Maut Hitam itu satu pengecualian, kerana wabak yang berlaku seterusnya, seperti Demam Selesema Sepanyol, tidak menyamaratakan masyarakat; sebaliknya jurang kekayaan semakin melebar.

Pastinya  juga, “Penunggang Kuda” keempat yang diperkenalkan oleh Scheidel, tidak kelihatan ketika pandemik COVID-19 melanda dunia. Pandemik yang melumpuhkan sistem kesihatan awam, meruntuhkan pasaran saham dan komoditi, iaitu minyak, dan meranapkan ekonomi, seperti yang berlaku pada tahun 2020, melebarkan ketidaksamaan yang wujud ‒ agihan pendapatan dan kekayaan.  Juga ketidaksamaan kaum atau ras dan gender.

Dipercayai bahawa COVID-19 akan meninggalkan legasi ketidaksamaan yang semakin melebar. Meskipun sejak awal tahun 2021 vaksin mula disediakan oleh beberapa buah negara dengan Malaysia bermula pada akhir Februari, bermakna keselamatan orang ramai akan terjamin, maka kos ekonomi pandemik jangka panjang akan meningkat.  Data yang  mengalir ke dalam menunjukkan peningkatan dramatik dalam ketidaksamaan yang mungkin berlarutan selama berdekad-dekad.

Berikutan pengenalan vaksin, maka beberapa istilah dicipta, antaranya “pasport vaksin”, “diplomasi vaksin”, “nasionalisme vaksin,” “imperialisme vaksin” dan “ketidaksamaan vaksin”. Dua yang awal itu, dari segi hubungan antarabangsa, boleh dianggap sebagai “kuasa lembut”. Yang akhir itu berpunca daripada yang ketiga dan yang keempat, merujuk kepada peluang yang tidak sama rata dari segi pemvaksinan orang ramai.

Akses kepada vaksin dengan cepat menjadi barometer pentakrif ketidaksamaan.  Bagaimana kita menangani ketidaksamaan ini akan menentukan pemulihan pandemik. Wujud keselarian yang jelas antara COVID-19 dengan krisis kesihatan global awal.  Pada peringkat awal respons sindrom kurang daya tahan penyakit (AIDS), rawatan hanya dapat diperoleh untuk negara kaya manakala negara termiskin terpaksa menunggu selama bertahun-tahun sebelum negara berkenaan dapat menawarkan orang ramai ubat yang menyelamat nyawa yang sama.

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), António Guterres, dilaporkan mengkritik tajam akses untuk pemvaksinan COVID-19 di seluruh dunia yang dikatakan tidak sama rata dan tidak adil. Bercakap dalam mesyuarat peringkat tinggi Majlis Keselamatan PBB pada hari Rabu, 17 Februari 2021, Guterres berkata bahawa pada masa apabila 130 buah negara tidak menerima satu dos vaksin pun, hanya 10 buah negara mentadbir 75 peratus semua pemvaksinan COVID-19. Beliau menegaskan bahawa kebanyakan orang di zon konflik tertinggal di belakang dan menggesa negara G-20 mengambil langkah segera untuk meningkatkan pengeluaran dan pengagihan vaksin COVID-19.

Setakat 18 Februari, COVID-19 telah menjangkiti lebih 109 juta orang di seluruh dunia dan membunuh lebih 2.4 juta orang.  Jumlah besar mereka yang terkesan adalah di negara miskin, yang kurang sumber untuk membeli vaksin yang dikeluarkan oleh pembuat di negara maju. Program COVAX Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), yang mengambil daya usaha untuk menyediakan vaksin untuk negara miskin terpaksa berusaha sedaya upaya untuk menepati  tarikh akhirnya untuk memulakan agihan disebabkan kekurangan dana dan sokongan daripada pengeluar.

Di dunia yang ketidaksamaan masih meluas,  tidak memeranjatkan pengenalan atau penggunaan  vaksin COVID-19  dalam cara yang tidak sama rata.  Negara kaya dalam keadaan sangat baik untuk proses inokulasi penduduk mereka, manakala negara termiskin masih pada blok permulaan. Misalnya, Jerman bercita-cita supaya semua warganegaranya memperoleh vaksin pada akhir musim panas. Akan tetapi, negara seperti Mali dan Sudan akan mungkin hanya mencapai liputan signifikan pada tahun 2024.

People’s Vaccine Alliance – pakatan organisasi, seperti Oxfam, UNAIDS, dan Global Justice Now – menuduh tiga pengeluar vaksin COVID-19 mencekik bekalan vaksin selamat dan berkesan global menerusi perlindungan harta intelek mereka. Pfizer BioNTech, Moderna dan AstraZeneca hanya merancang untuk mengeluarkan vaksin yang cukup untuk meliputi 1.5 peratus penduduk global pada tahun 2021, yang menurut pakatan itu bahawa vaksin Pfizer BioNTech dan  Moderna masih mahal dan tidak menggalakkan untuk kebanyakan negara miskin. Pastinya situasi ini berbeza di negara kaya. Misalnya, Kesatuan Eropah telah pun memperoleh dos yang cukup untuk memvaksin penduduknya sebanyak dua kali, manakala tempahan Kanada boleh memvaksin penduduk remaja dan dewasanya lebih lima kali.

Negara pendapatan tinggi yang hanya mewakili 16 peratus penduduk dunia cepat-cepat merebut sekurang-kurangnya 70 peratus semua dos vaksin COVID-19 yang dapat diperoleh pada tahun 2021. Negara kaya dilaporkan telah pun mengurus janji untuk mendapatkan sekurang-kurangnya 4.2 bilion dos vaksin COVID-19, yang  menunjukkan bahawa kekurangan bekalan yang sungguh besar di negara termiskin dan negara pendapatan sederhana. Hal ini bermakna negara berkenaan menanggung sengsara virus untuk selama beberapa tahun mendatang.

Ketidaksamaan yang sungguh besar muncul berhubung dengan pemerolehan dan penyampaian vaksin COVID-19 adalah berperingkat-peringkat.  Menurut data laman web ourworldindata.com, 52 buah negara memulakan program vaksinasi pada 22 Januari dengan 142 buah negara belum lagi memulakan program mereka.  Amerika Syarikat, United Kingdom dan Kesatuan Eropah terlibat dalam sorokan vaksin yang menunjukkan mereka mendapat jumlah vaksin  yang jauh lebih besar berbanding dengan saiz penduduk mereka. Dipercayai bahawa beberapa buah negara yang kelihatan kemungkinan menerima bekalan vaksin secara berlebih-lebihan, seperti Amerika Syarikat dan United, akan mencuba untuk memvaksinkan  seberapa banyak orang sebelum musim sejuk tahun 2021.

United Kingdom dilaporkan membeli kira-kira 370 juta dos vaksin daripada pelbagai pembuat, cukup untuk memvaksin 67 juta penduduk kuatnya sebanyak lebih lima kali.  Data daripada Duke Global Health Innovation Center menunjukkan bahawa pada 8 Februari, Amerika Syarikat membeli lebih daripada 1.2 bilion dos vaksin, cukup untuk menginolukasi penduduknya sebanyak lebih dua kali.

Amerika Syarikat, sekali lagi warna kulit dan kekayaan dijadikan penentuan siapakah diberikan keutamaan pemvaksinan. ABC News pada 2 Mac, dengan tajuk “Philadelphia Doctor Takes Her Push for Health Equity to Next Level: Vaccines” melaporkan bahawa di Philadelphia, menurut data Banci Amerika Syarikat, disebutkan 42 peratus orang kulit hitam akan divaksin, tetapi kota itu melaporkan bahawa hingga hari ini, hanya kira-kira 21.5 peratus suntikan di kota itu diberikan untuk orang kulit hitam.

Tatkala banyak negara negara membangun masih terkial-kial untuk memperoleh bekalan vaksin, Amerika Syarikat bergerak begitu pantas untuk memperoleh vaksin yang cukup. Pada 3 Mac, Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden mengumumkan  perkongsian utama antara syarikat farmasi gergasi Merck & Co. dan  Johnson & Johnson untuk menolong vaksin J&J yang baru dibenarkan dan mengubah garis masa, akan cukup untuk setiap orang dewasa Amerika pada akhir Mei.  Seperti yang dilaporkan oleh ABC News, bertajuk “Biden Says There Will be Enough Vaccine for American Adults by End of May”, Biden berkata: “Kira-kira tiga minggu lalu, kita mampu bercakap bahawa kita akan cukup bekalan vaksin untuk orang dewasa pada akhir Julai.”

Andrea Chloe Wong dalam makalahnya, “Commentary: Countries Hoarding Vaccines Will Only Prolong the COVID-19 Crisis”  memberitahu bahawa sejak Januari, majoriti lebih daripada 80 juta vaksin COVID-19 dapat diperoleh di seluruh dunia hanya dibolot oleh sebilangan negara pendapatan tinggi dan pendapatan sederhana, seperti Amerika Syarikat, China, Israel, United Kingdom, Emiriah Arab Bersatu. Sebagai akibatnya, negara pendapatan tinggi dengan hanya 16 peratus penduduk dunia kini memegang 60 peratus dos vaksin.  Sorokan sedemikian menyebabkan negara lain di dunia terpaksa berasak-asak untuk mendapatkan bekalan, manakala ekonomi pendapatan rendah tidak mempunyai pilihan, kecuali menunggu kemungkinan selama bertahun-tahun untuk mampu menginokulasikan sejumlah besar penduduk mereka.

Wong menegaskan, “negara kaya di barisan hadapan”. Ini mencerminkan kitaran malang yang berulang-ulang sendirinya ketika pandemik global.  Negara kaya yang mula-mula  mendapat faedah daripada teknologi kesihatan baharu, manakala negara miskin perlu menunggu selama bertahun-tahun atau berdekad-dekad untuk teknologi itu sampai kepada mereka.  Dianggarkan bahawa kira-kira 85 buah negara tidak akan mempunyai akses meluas untuk vaksin hingga tahun 2023, manakala pengimunan massa mungkin tidak berlaku hingga tahun 2024. Perkara ini betul terutamanya untuk negara di Asia Tenggara.  Sebagai negara pendapatan tinggi dengan jumlah penduduk kecil, Singapura akan berkemungkinan mencapai pemvaksinan meluas pada akhir tahun 2021. Sementara itu, Vietnam, Brunei, Thailand dan Malaysia dijangkakan mengikuti langkah itu pada tahun 2022, kemudian Indonesia dan Filipina pada tahun 2023. Walau bagaimanapun, negara miskin, seperti Kemboja, Laos dan Myanmar mungkin tidak  mampu mencapai pemvaksinan meluas dalam masa lima tahun akan datang.

Ketidaksamaan vaksin juga berlaku dalam sesebuah negara dan bukannya terbatas antara  negara  kaya  dengan negara miskin semata-mata.  Misalnya, Israel enggan menyediakan vaksin untuk orang Palestin di wilayah yang didudukinya di Tebing Barat dan Lembah Gaza. Kementerian Kesihatan Israel mula mengagihkan vaksin COVID-19 pada 23 Disember 2020. Walau bagaimanapun, setakat awal Januari, pelaksanaan rancangan vaksin ini hanya warganegara Israel, termasuk peneroka Israel yang tinggal di Tebing Barat, dan pemastautin  Palestin di Baitulmuqaddis (Jerusalem).  Kementerian itu tidak memasukkan hampir lima juta orang Palestin yang tinggal di Tebing Barat dan Lembah Gaza yang diduduki oleh tentera Israel. Tindakan Israel itu memang tidak memeranjatkan kerana negara itu sentiasa menzalimi penduduk Palestin, tetapi yang aneh, negara itu  begitu bersemangat membekalkan vaksin COVID-19  kepada  sesetengah negara asing.

Oleh sebab vaksin diterima secara berperingkat-peringkat, dan oleh itu, tidak cukup untuk memvaksin setiap penduduk pada sesuatu masa, maka segolongan penduduk perlu diberikan keutamaan sambil mengorbankan golongan penduduk yang lain. Di samping itu,  pastinya wujud ketidaksamaan vaksin dari segi wilayah atau kawasan, iaitu  antara bandar dengan desa dan pedalaman.

Pada tahun 2020, cabaran yang dihadapi oleh setiap negara adalah bagaimana membendung penularan COVID-19 melalui kawalan keluar masuk, atau Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pemakaian pelitup muka, penjarakan sosial,  dan penutupan sempadan negara sementara menunggu vaksin diproses dan dihasilkan.  Pada tahun 2021, vaksin dapat diperoleh, tetapi juga perlu menghadapi cabaran ‒  memastikan vaksin disuntik untuk setiap orang di dunia ini, iaitu dunia kaya dan dunia miskin kedua-duanya.

Satu perkara jelas, vaksin akan sampai, tetapi vaksin akan diagihkan secara tidak sama rata dalam negara dan antara negara, semata-mata kerana skala masalah pengagihan. Dalam tahun mendatang, banyak orang akan berusaha sedaya-upaya untuk memahami mengapa seseorang yang disayangi mati akibat penyakit kerana adanya vaksin.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.