Oleh Naimah Yusof
29 Jun 2021, 19:22

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pada hari ini, 29 Jun 2021, Sistem Depositori yang telah dibangunkan oleh Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) telah dilancarkan oleh YBhg. Dato’ Dr. Noor Zari Hamat, Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya Malaysia.

Sistem Depositori yang dibangunkan ini menyediakan perkhidmatan kepada penerbit untuk menghantar bahan digital secara dalam talian seperti yang disyaratkan di bawah Akta Penyerahan Bahan Perpustakaan 1986 (Akta 331).

Sistem ini bertujuan untuk meningkatkan kecekapan perkhidmatan kepada penerbit yang meliputi modul pendaftaran penerbit, permohonan ISBN (International Standard Book Number) dan ISSN (International Standard Serial Number) serta pengkatalogan dalam penerbitan (PdP).

Selain daripada meningkatkan mutu perkhidmatan kepada penerbit, sistem ini juga dilengkapi dengan sistem keselamatan yang tinggi bagi memastikan setiap born digital yang diserahkan di bawah Akta 331 ini selamat dibuat penyulitan (encryption).

Sistem yang boleh dicapai menerusi pautan https://depositori.pnm.gov.my turut dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan kandungan bahan dan pengurus hak digital (digital rights management) bagi tujuan keselamatan dan perlindungan bahan digital khususnya pemeliharaan daripada penyalahgunaan paten, penyalinan dan hak cipta.

Pelancaran sistem ini telah dibuat bersekali dengan perasmian program Bicara Penerbit Malaysia 2021 yang diadakan pada tarikh dan masa yang sama.

Program yang telah mengangkat tema “Sistem Depositori Lambang Pengukuhan Khazanah Intelek Negara” ini merupakan acara dwitahunan yang juga kesinambungan daripada program Seminar Sehari Bersama Penerbit yang pernah diadakan pada 6 Ogos 2019.

Mengambil kira perkembangan semasa akibat daripada penularan COVID-19, program pada kali ini dilaksanakan secara dalam talian menerusi pendekatan telesidang.

Dato’ Dr. Noor Zari Hamat, Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya Malaysia.

Dalam ucapan perasmiannya, Dato’ Dr. Noor Zari menyatakan bahawa inisiatif PNM membangunkan Sistem Depositori merupakan satu langkah yang amat bijak.

Hal ini selaras dengan saranan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, YBhg. Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman agar penjawat awam meneroka teknologi maklumat dan komunikasi (TMK) dengan mengamalkan kebiasaan baharu dalam penyampaian perkhidmatan awam dari hujung ke hujung (end to end).

Peluasan adaptasi digital dalam kebiasaan baharu perkhidmatan awam ini adalah selari dengan hasrat kerajaan ke arah sistem yang berteraskan kerajaan digital. Melalui sistem ini urusan penerbitan buku di Malaysia akan dapat dilaksanakan dengan lebih cepat dan efisien.

Tambah beliau lagi, PNM turut menyediakan peruntukan pembelian koleksi melalui dana penulis. Dana penulis ini merupakan satu cara untuk melahirkan lebih ramai penulis muda yang menjadi penerbit. Bahan yang dibeli melalui dana penulis ini ialah bahan bacaan santai yang ditempatkan di perpustakaan desa di seluruh negara.

Ketua Pengarah Perpustakaan Negara Malaysia, Puan Salasiah Abdul Wahab pula dalam ucapan alu-aluan menyatakan bahawa “Dalam konteks PNM sebagai pusat penyerahan terbitan negara, PNM sentiasa peka dengan trend perubahan khususnya dalam menguruskan data-data penerbitan, bahan bacaan berbentuk elektronik yang semakin pesat diterbitkan hari ini.”

Ketua Pengarah Perpustakaan Negara Malaysia, Puan Salasiah Abdul Wahab.

Untuk tujuan itu, PNM telah mempelopori pemberian e-ISBN yang khusus untuk bahan-bahan bacaan dalam bentuk elektronik. Sistem pemberian nombor ISBN yang pertama seumpamanya telah digunakan di dunia bagi membezakan antara bahan dalam bentuk fizikal dengan bahan dalam bentuk digital.

Trend permohonan e-ISBN juga dilihat semakin meningkat daripada 1648 permohonan pada tahun 2019 kepada 2401 permohonan pada tahun 2020. Demikian menurut Ketua Pengarah PNM.

Selepas sesi pelancaran, program diteruskan pula dengan Sesi Demonstrasi Penggunaan Modul Perkhidmatan kepada Penerbit dan Modul Serahan Bahan Digital, Ceramah Keselamatan Hak Cipta Penerbitan terhadap Bahan Born Digital dan Ceramah Amalan dan Praktis Pemuliharaan Bahan Born Digital.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.