Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKilauan tiga pingat emas menjadi sasaran kontinjen negara pada temasya Sukan Paralimpik 2020 di Tokyo, Jepun yang membuka tirainya secara rasmi pada 24 Ogos hingga 5 September 2021.
Sasaran jumlah pingat emas ini ditetapkan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) selepas beberapa siri perbincangan dengan Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) dan Majlis Sukan Negara (MSN) terhadap kontinjen negara pada temasya berprestij itu.
Badan induk sukan negara itu berpendapat bahawa sebanyak 22 atlet para daripada sembilan jenis sukan yang berjaya melayakkan diri ke Paralimpik Tokyo 2020 dilihat berkemampuan untuk mencapai matlamat tersebut sekali gus mengulangi pencapaian tiga pingat emas yang dimenangi pada edisi Paralimpik Rio 2016.
Pada ketika itu, atlet olahraga para negara, Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi mencipta sejarah baharu Malaysia sebagai pemenang pingat emas pertama di temasya Sukan Paralimpik selepas menjuarai acara 100 meter (m) kategori T36, iaitu cerebral palsy menerusi rekod baharu Paralimpik, 12.07 saat (s) yang berlangsung pada 10 September 2016.
Pada hari yang sama juga menyaksikan Mohamad Ziyad Zolkefli turut memenangi pingat emas dalam acara lontar peluru untuk kategori F20 (masalah pembelajaran) dengan balingan sejauh 16.84m sekali gus memperbaharui rekod dunia dan Paralimpik. Kegembiraan kontinjen para negara berterusan pada keesokannya apabila giliran Abdul Latif Romly pula menghadiahkan pingat emas ketiga untuk Malaysia. Yang menariknya, dia juga menjuarai acaranya, iaitu lompat jauh T20 (masalah pembelajaran) dengan rekod dunia dan Paralimpik menerusi lompatan sejauh 7.60m. Pingat terakhir yang dimenangi Malaysia pada Paralimpik Rio 2016 diperoleh menerusi Siti Noor Radiah Ismail yang meraih tempat ketiga acara lompat jauh T20.
Secara keseluruhan, tiga pingat emas dan satu gangsa merupakan pencapaian terbaik yang pernah dilakar oleh kontinjen para negara sepanjang lapan edisi Sukan Paralimpik yang disertai Malaysia sejak kali pertama mengambil bahagian di Heidelberg, Jerman pada tahun 1972.
Pada edisi kali ini, Ziyad dan Latif kekal menjadi sandaran kontinjen negara untuk merealisasikan impian berkenaan berdasarkan pencapaian beberapa tahun lalu dan prestasi semasa serta penarafan dunia mereka. Kedua-dua atlet itu tentunya bersemangat dan berkeinginan tinggi untuk menebus kekecewaan mereka yang gagal mempertahankan gelaran juara dunia apabila meraih tempat kedua pada Kejohanan Para Dunia di Dubai dua tahun lalu.
Pada Kejohanan Para Dunia di Emiriyah Arab Bersatu itu, Ziyad dikecewakan oleh bintang baharu Ukraine, Maksym Koval, manakala Latif pula tewas kepada “musuh tradisinya” dari Belanda, Ranki Oberoi.
Dalam satu temu bual bersama-sama media tempatan baru-baru ini, Ziyad bersyukur kerana kekalahan itu secara tidak langsung mengingatkan dirinya agar sentiasa berusaha memperbaik diri dan tidak selesa dengan prestasi semasa jika mahu mempertahankan pingat emasnya pada Paralimpik Tokyo.
“Saya yakin tahap peningkatan saya dalam latihan sejak belakangan ini. Kalau saya tak kalah pada Kejohanan Para Dunia 2019 dahulu, mungkin saya tidak akan dapat capai prestasi sekarang. Kadang-kadang kita di atas dan kadang-kadang kita pula yang akan berada di bawah. Sekarang ada muka baharu yang lebih muda termasuk yang kalahkan saya tempoh hari. Jadi saya perlu buat yang lebih bagus daripada mereka di sana. Saya sudah 11 tahun jadi atlet, selama tempoh ini saya menghadapi perkara yang sama. Pada setiap kejohanan, saya akan letakkan diri saya untuk menang pingat emas. Prinsip saya, fokus dan nikmati pertandingan, jangan tertekan semasa kejohanan,” katanya.
Lantaran itu, tidak hairanlah Ziyad mendedahkan keinginannya untuk membawa pulang pingat emas Paralimpik Tokyo 2020 berserta dengan rekod dunia baharu dengan memecahkan catatan lamanya sebelum berangkat ke Jepun bersama-sama kumpulan ketiga kontinjen para negara baru-baru ini.
Selain Ziyad dan Latif, turut menjadi pertaruhan Malaysia untuk membawa pulang tiga emas ialah Bonnie Bunyau Gustin daripada sukan powerlifting, S. Suresh (memanah) serta Cheh Liek Hou. Bonnie yang dipilih sebagai pembawa Jalur Gemilang bersama-sama seorang lagi atlet olahraga para, Siti Noor Iasah Mohammad Ariffin, dijangka mampu menampilkan prestasi luar biasa seperti yang ditunjukkannya ketika memecahkan rekod dunia pada Kejohanan Piala Dunia Powerlifting Fazza di Dubai dua bulan lalu. Jaguh dari Serian, Sarawak itu menjuarai kejohanan itu selepas melakukan Angkatan bebanan seberat 230 kilogram (kg) untuk kategori atas 72 kg.
Pencapaian tersebut merupakan kejayaan kedua berturut-turut buat Bonnie yang sebulan sebelum itu turut menjuarai Kejohanan Piala Dunia Powerlifting Para Dunia di Bangkok, Thailand dengan jumlah angkatan seberat 226 kg. Jika Bonnie berupaya melakukan angkatan semasa, pingat emas hampir pasti menjadi milik atlet berusia 22 tahun itu berdasarkan jumlah bebanan yang dilakukan oleh Liu Lei dari China yang memenangi pingat emas dengan berat angkatan 221 kg diikuti dengan atlet Iran, Rasool Mohsin (220 kg) dan Nnamdi Innocent (Nigeria) di tempat ketiga (210 kg) sewaktu edisi Paralimpik Rio 2016.
Presiden MPM merangkap Ketua Rombongan (CDM) Malaysia ke Paralimpik Tokyo, Datuk Seri Megat D. Shahriman Zaharudin percaya bahawa sasaran tersebut mampu dicapai meskipun persediaan kebanyakan atlet juga terkesan disebabkan penularan pandemik COVID-19 sejak tahun lalu, malah tidak mustahil sebenarnya untuk melihat atlet para negara yang berbekalkan semangat luar biasa mampu membawa pulang bonus, iaitu pingat emas keempat jika Ridzuan Puzi mencipta kejutan dengan mempertahankan kejayaannya meraih emas dalam edisi Olimpik sebelumnya. Ridzuan Puzi yang mesra dengan panggilan Dekwan tidak diletakkan dalam sasaran pemenang pingat berdasarkan faktor umurnya (33 tahun) dan pada masa yang sama perlu berentap dengan lawan yang lebih muda.