Oleh Awang Sariyan
30 Ogos 2021, 18:47

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Perihal negara sedang dilanda jenayah rasuah bukan rahsia lagi. Kedudukan Malaysia merosot ke tangga  57 dari tangga 51, menurut Corruption Perceptions Index (Bernama, 28 Januari, 2021). Laporan TI-M.theedgemarjets.com melaporkan bahawa 71 peratus rakyat Malaysia  menganggap bahawa rasuah ialah isu besar negara.

Selain itu, beberapa petunjuk lain turut menggambarkan parahnya kesan jenayah rasuah di negara kita. Produktiviti rakyat Malaysia tercicir jauh berbanding dengan produktiviti negara jiran, iaitu Singapura. Pada tahun 2020, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) per kapita Malaysia ialah USD 10 1921, sementara Singapura mencapai USD 58 474. Merosotnya pelaburan asing di negara ini turut menjadi petunjuk kesan jenayah rasuah kerana hilangnya keyakinan pelabur kepada tadbir urus negara. Satu petunjuk lain ialah kian meningkatnya pengaliran kepakaran ke luar negara dengan sasaran utamanya Singapura sebanyak 57 peratus. Demikian laporan World Bank.

Jenayah rasuah mengakibatkan leluasanya ekonomi hitam, iaitu gerakan ekonomi bawah tanah yang merupakan kegiatan ekonomi haram yang tidak dinilai sumbangannya kepada KDNK. Menurut Tun Mohd. Hanif Omar, jenayah rasuah menjadi pendorong utama leluasanya ekonomi hitam (Sinar Harian, 4 Februari 2021). Kajian Dr. Ahmed Razman Latiff dari Universiti Putra Malaysia (UPM) menunjukkan bahawa nilai ekonomi hitam di negara ini dianggarkan RM300 bilion, menyamai 21 peratus KDNK negara.

Dalam menangani jenayah rasuah,  Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) mesti diberi wibawa sepenuh-penuhnya dalam melaksanakan amanah membanteras rasuah tanpa gangguan dan campur tangan politik atau pihak lain, termasuk pengumpan rasuah. Pernyataan Perdana Menteri (ketika itu), Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin bahawa beliau tidak akan tunduk kepada tekanan untuk mempengaruhi badan kehakiman bagi menggugurkan kes tokoh tertentu yang berkaitan dengan kes rasuah mesti dijadikan dasar kerajaan secara menyeluruh, bukan pernyataan individu atau pendirian peribadi.

Sama ada disedari atau tidak, negara sudah mengalami satu sistem perubahan nilai daripada masyarakat yang patuh kepada agama dan nilai-nilai positif kepada sikap cinta dunia (hubuddunia). Hal itu menjadikan wujudnya golongan yang bersifat tamak haloba dan tidak cukup dengan rezeki yang ada tetapi mencari-cari peluang rasuah untuk kehidupan yang mewah tanpa memperhitungkan soal keberkatan. Halal haram, hak dan batil serta dosa dan pahala tidak menjadi pertimbangan kerana sifat serakah untuk meraih kekayaan. Gaya hidup tidak sepadan dengan jawatan dan pendapatan sebenar.

Disebabkan perubahan sistem nilai itu , rasuah seakan-akan sudah diterima sebagai satu “nilai senyap” dalam kehidupan kini. Bahkan ada pihak yang seakan-akan mengiktiraf rasuah sebagai sebahagian unsur dalam birokrasi. Sikap berasa jijik dan benci kepada rasuah bertukar menjadi sikap pengesah dan berkompromi dengan rasuah. Jenayah rasuah seolah-olah disahkan oleh satu sistem masyarakat yang bobrok dan jelek.

Hukuman yang dijatuhkan kepada penjenayah rasuah turut memperlihatkan kepincangan. Diperlukan hukuman yang lebih tegas yang dapat memberikan pendidikan yang berkesan dan memberikan keinsafan kepada pemberi dan penerima rasuah.  Hukuman yang dapat dibayar dengan mudah menyebabkan rasuah itu berlaku berkali-kali dan  masalah rasuah tidak selesai. Pengamal rasuah tidak berasa aib tetapi seolah-olah bangga dengan jenayah yang dilakukan. Rasuah sebagai nilai senyap yang diterima seolah-olah disahkan oleh pihak berkuasa atau pemimpin tertentu yang berkuasa.

Bagi membanteras jenayah rasuah, peranan dan kesungguhan ahli parlimen sebagai wakil suara rakyat sangat penting untuk bersama-sama membincangkan perkara itu di dalam dewan rakyat. Gunakanlah dewan rakyat sebagai tempat untuk menyelesaikan masalah rasuah, dengan menggubal undang-undang dan memutuskan langkah yang berkesan untuk membendung rasuah.

Amat malang bahawa jenayah rasuah turut menggambarkan pegangan politik orang Melayu Islam. Demi kuasa, jenayah rasuah dijadikan alat untuk mengumpan pengundi dalam pemilihan jawatan dalam parti dan juga dalam pilihan raya. Jelas bahawa hal itu berpunca daripada ketaasuban kepada teori politik Barat, yang berlunaskaan usaha “memperoleh kuasa dan mempertahankan kuasa”, sehingga lupa untuk membina negara yang diberkati Allah SWT.  Gagasan pentingnya negara yang sejahtera dan diampuni Allah (baldatun tayyibatun warabbun ghafur) diabaikan.

Pengendali media, institusi agama dan pertubuhan perlu menjalankan kempen besar-besaran agar seluruh lapisan masyarakat menilai rasuah sebagai satu dosa besar, jenayah dan najis. Media perlu membentuk pendapat awam yang menolak rasuah sebagai sesuatu yang keji dalam masyarakat. Pemimpin semua agama patut berpadu fikiran dan usaha dalam memerangi jenayah rasuah. Tidak ada agama yang menerima rasuah sebagai perkara yang boleh diterima atau disahkan. Asas ini jauh lebih penting daripada perdebatan soal akidah dan amalan beragama dalam agama yang berlainan. Penyatuan fikrah dapat dibentuk dalam kalangan penganut agama yang berlainan melalui isu seperti pembanterasan rasuah.

Jenayah rasuah berkaitan juga dengan masalah penghayatan dan kepatuhan kepada nilai agama yang sudah hampir luntur dan menyebabkan masyarakat menjadi kabur tentang yang benar dan salah.  Kebanyakan orang Islam setiap hari membaca al-Quran tetapi seakan-akan tidak menemukan ayat 188 dalam surah al-Baqarah yang amat jelas memaparkan amaran keras daripada Allah terhadap orang yang terlibat dengan rasuah, sama ada penerima atau pemberi rasuah. Pendekatan pendidikan Islam dalam pendidikan formal dan tidak formal jelas memerlukan reformasi. Qiraah dan hafazan ternyata tidak cukup untuk melahirkan masyarakat yang peka kepada nilai dan amalan hidup beragama yang luhur. Dalam sistem pendidikan negara pula, pendekatan “memanusiakan” manusia mesti dipertegas, terutama melalui penilaian berasaskan sekolah (PBS) yang beransur-ansur mengurangkan keutamaan nilai peperiksaan sebagai ukuran kecemerlangan pendidikan seseorang.

Bersempena dengan sambutan kemerdekaan negara, semua warganegara mesti bertekad untuk bersama-sama memerangi jenayah rasuah. Merdekakan negara kita daripada jenayah rasuah yang menjadi satu daripada ibu jenayah negara. Saling membantulah semua warganegara ke arah kebajikan dan membanteras kemungkaran, termasuk jenayah rasuah. Tanggungjawab itu perlu digalas terutamanya di peringkat pemimpin negara, pemimpin institusi, khasnya dalam perkhidmatan awam, dan pemimpin semua lembaga sosial, ekonomi dan politik. Usah menunggu satu abad untuk memerdekakan negara daripada kemungkaran.

 

(Datuk Seri Prof. Dr. Awang Sariyan ialah Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia dan merupakan Pengerusi Lembaga Pengelola, Dewan Bahasa dan Pustaka)

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi