29 Februari 2024, 19:43

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Catatan peribadi ini terkait dengan sekumpulan pelajar bumiputera tajaan Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang telah dihantar oleh Kerajaan Malaysia ke Mesir selama satu dasawarsa, yakni pada tahun 1970-1980. Pelajar lelaki dan wanita ini menjalani tiga kursus dalam bidang Sains Perubatan (SP) yang diiktiraf oleh kerajaan Malaysia, iaitu Perubatan, Pergigian dan Farmasi.

Program latihan penting ini merupakan sebahagian daripada pelaksanaan Polisi Ekonomi Baharu (PEB) pasca peristiwa berdarah 13 Mei 1969. PEB dicipta untuk mengimbangkan nisbah bilangan kaum dalam pelbagai profesion, termasuklah dalam bidang SP.

Kita boleh mengambil satu misalan tentang ketidakseimbangan ini. Sekitar tahun 1969-1970, hanya lima hingga tujuh peratus jumlah bilangan doktor perubatan di Malaysia terdiri daripada kaum bumiputera. Maka itu, jelaslah bahawa dalam profesion ini, nisbah bumiputera : bukan bumiputera perlu diperbaik.

Catatan

Ini merupakan catatan saya berdasarkan pengalaman peribadi, iaitu interaksi lebih 50 tahun dengan sahabat lepasan Universiti Kaherah, Mesir dalam pelbagai bidang pengajian dan bahan rujukan yang saya baca dan ditulis sendiri.

Terima kasih kepada kumpulan sahabat seperjuangan lelaki dan wanita lepasan Universiti Kaherah, Mesir yang saya kasihi atas persahabatan serta ukhuwah selama setengah kurun ini.

Kisah Ahram

The Pyramid Tales (Kisah Ahram) ialah sebuah blog yang dikendalikan oleh Profesor Dr. Wan Aasim Wan Adnan (Pakar Klinikal Anestesiologi) dan isterinya Profesor Dr. Zalina Ismail (doktor perubatan dan Pakar Fisiologi) lulusan Universiti Kaherah.

Telah ditakdirkan oleh Allah SWT bahawa mereka bernikah di Kaherah beberapa minit selepas saya bernikah dengan isteri saya (Datin Dr. Noor Aini Raimi) pada pagi Rabu yang indah– 25 Jun 1975. Pernikahan tersebut berlangsung di sebuah pejabat pernikahan di al-‘Atabah, iaitu sebuah sudut yang terkenal dan amat sibuk di kota bersejarah Kaherah. Beberapa orang sahabat dari Universiti Kaherah dan asatizah lelaki Universiti al-Azhar ash-Sharīf warga Malaysia dan Brunei menjadi saksi kami.

Atase Pelajaran

Encik Abd. Manaf Haji Ahmad ialah Atase dan Penasihat Pelajaran, Kedutaan Besar Malaysia di Mesir (1965-1980). Usaha beliau meneroka peluang agar para pelajar Malaysia dapat diterima masuk ke ketiga-tiga Fakulti Perubatan, Farmasi dan Pergigian di beberapa buah universiti Mesir telah mendatangkan natijah yang luar biasa. Para pelajar Malaysia ini semestinya dari grup pemegang sijil Malaysian Certificate of Education (MCE) yang kemudiannya ditukar nama kepada Sijil pelajaran Malaysia (SPM). Mereka mestilah mendapat sekurang-kurangnya kepujian dalam mata pelajaran Fizik, Kimia, Biologi dan Bahasa Inggeris. Sekembalinya ke Malaysia, Dato’ Haji Abd Manaf Haji Ahmad giat melibatkan diri dalam medan siasah dan dakwah serta dilantik sebagai Ahli Parlimen Sungai Petani dan Ahli Dewan Undangan Negeri di Kedah. Alhamdulillah, kami masih berhubung dengan beliau.

Dua Wanita

Saya perlu menyebut jasa dua orang wanita – pegawai muda kerajaan Malaysia pada ketika itu yang telah memastikan projek baharu menghantar tim pertama dan kedua pelajar MARA serta tim perintis lima orang pelajar JPA ke Mesir berjaya dilaksanakan.

Mereka telah memastikan kebajikan kami terjaga dan biasiswa kami mencukupi sementara kami belajar di negara orang yang jauh daripada sanak saudara. Pada mulanya, kami menerima biasiswa yang tidak mencukupi. Kemudahan perhubungan yang wujud di Mesir ketika itu tidaklah secanggih fasilitet yang terdapat di United Kingdom dan Australia yang menempatkan ramai pelajar Malaysia. Mereka berdua bukan sahaja berkenalan secara profesional dan peribadi, malah pada masa yang berlainan, mereka telah mengunjungi Kaherah dan bertemu kami daripada grup yang disebutkan tadi. Dalam blog The Pyramid Tales, mereka berdua digelar sebagai “Dynamic Duo”.

Wanita yang pertama ialah YM Raja Datin Paduka Fauziah Raja Tun Uda, Penolong Pengarah Latihan MARA (1967-1978) yang bertanggungjawab menjaga beberapa tim awal pelajar MARA di Mesir. Beberapa tahun kemudian, pegawai kanan MARA yang cekap ini dilantik sebagai Assistant Director General, Research Centre for Islamic History, Art and Culture (OIC-IRCICA), Organisation of Islamic Conference, Istanbul, Turkey (1986-1989).

Tim Perintis JPA

Wanita yang kedua ialah Dato’ Hajah Siti Mazenah Saad, pegawai kanan Bahagian Latihan  JPA. Saya masih ingat lagi taklimat ringkas beliau kepada kami berlima, iaitu ahli tim perintis JPA yang teruja untuk belajar di luar negara, namun kelihatan terpinga-pinga untuk melangkah masuk ke alam kehidupan baharu yang tidak dijangka.

Alhamdulillah, kami berlima masih dipanjangkan usia oleh Allah SWT sehingga catatan ini ditulis. Kami terus menua dengan usia lebih 71 tahun dan mula mengalami penyakit fizikal. Kami berjaya menjadi doktor perubatan lulusan Universiti Kaherah –Normah Jamaluddin, Abdul Ghani Md Din, Che Nok Nawi Isa, Syed Ahmad Syed Ali dan saya. Gelaran kami seperti Datuk, Profesor dan Doktor tidak saya tuliskan di sini.

Pada pagi 29 atau 30 Disember 1971 kami tim lima orang pelajar perubatan ini berkumpul untuk bertemu Cik Siti Mazenah di pejabat kecil JPA di tebing Sungai Klang yang terletak di kawasan persimpangan antara Jalan Melayu dengan Jalan Perak; berhampiran dengan Masjid Jamek dan Bangunan Sultan Abdul Samad, Kuala Lumpur. Beliau menyebut tentang usaha Kerajaan Malaysia membantu golongan bumiputera yang ketinggalan serba serbi untuk berusaha melangkah ke depan dan berdaya maju. Dua dasawarsa kemudian, pegawai kanan JPA yang berbudi ini dilantik sebagai Pendaftar Universiti Sains Malaysia (16 Disember 1991 – 19 September 1998).

Asas yang Tidak Ditekankan

Kini, lebih setengah kurun kemudian, saya terfikir akan satu hakikat bahawa empat asas berikut tidak ditekankan oleh kerajaan pada awal dasawarsa 1970-an iaitu:

(a) Penyimpanan amanah (ḥifẓuamānah);

(b) Percakapan yang benar (ṣidquḥadīth);

(c) Akhlak yang baik (ḥusnukhalīqah);

(d) Makanan yang suci (‘iffatun fi ṭa‘matin).

Ini adalah empat prinsip Ḥadis yang sahih yang diriwayatkan oleh ‘Abdullāh bin ‘Amrū r.a. yang ditakhrijkan oleh Imām Aḥmad dalam Ṣaḥīḥ al-Jāmi‘, Ḥadīth no. 873.

Profesor Datuk Dr. Mohamed Hatta Shaharom ialah Profesor Psikiatri, penulis dan mantan Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.