Oleh Alauddin Sidal
26 Januari 2024, 12:53

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Perasmian Menara Merdeka 118 yang disempurnakan oleh Yang Dipertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 10 Januari 2024 lalu menjadi detik monumental yang memahat makna sebagai simbol kejayaan negara dalam meniti liku-liku pahit jerih dalam memacu perjalanan semenjak kemerdekaan hingga kini.

Menara 118 tingkat dengan ketinggian 678.9 meter yang diiktiraf sebagai kedua tertinggi di dunia selepas Burj Khalifa Dubai (828 meter) itu menjadi mercu tanda baharu untuk rakyat meraikan kepelbagaian dalam penyatuan sebagai manifestasi wajah Malaysia. Titah baginda, menara tersebut menjadi testimoni keunggulan negara dalam melewati peredaran zaman menerusi struktur sosial dan nilai perpaduan yang unik dan tersendiri.

Aplikasi kecanggihan reka bentuk dan kemajuan teknologinya yang dikagumi menjadi penanda aras industri bagi ciri-ciri kelestarian dan keselamatan, sebaris dengan prestij bangunan pencakar langit yang tersohor lainnya di dunia. Tidak keterlaluan jika dikatakan menara ikonik ini menjadi testimoni kemajuan teknologi dan representasi simbol kemajuan masyarakat pascamoden.

Beranjak daripada Masyarakat Berinformasi (Society 4.0), kemunculan Society 5.0 telah mencipta sistem kehidupan yang mengintegrasikan ruang fizikal dan ruang siber. Dalam menempuh cabaran masa hadapan, Masyarakat 5.0 mendakap kemajuan melibatkan penggunaan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), pemprosesan awan, Internet kebendaan (ioT), robotik, cetakan tiga dimensi (3D) dan teknologi terkini untuk mencipta nilai tambah dan mewujudkan kecekapan yang lebih tinggi dalam pelbagai aspek kehidupan seharian.

Dalam ruangan maya, data raya dianalisis menggunakan AI dan keputusan tersebut disampaikan sebagai maklum balas kepada masyarakat yang menghidupi ruangan fizikal dalam pelbagai bentuk. Misalnya, teknologi AI dapat membantu proses diagnosis dan rawatan penyakit dalam perkhidmatan kesihatan. Manakala dalam sektor perindustrian dan perkhidmatan, teknologi ini meningkatkan produktiviti dan kecekapan dalam proses pengeluaran produk dan perkhidmatan.

Sehubungan dengan itu, Dasar 4IR Nasional dibina untuk mencipta naratif baharu bagi membina Malaysia yang mengamalkan ekonomi inovasi agar dapat bersaing dalam dunia teknologi serta berfungsi sebagai pemain utama ASEAN, menghubungkan Asia, Timur Tengah dan Afrika, termasuklah melibatkan 1.8 bilion orang penduduk Islam di seluruh dunia. Pastinya, transformasi ke arah Masyarakat 5.0 memainkan peranan penting dalam menghadapi cabaran teknologi yang semakin berkembang dalam menjanjikan penyatuan keseluruhan sistem melalui AI, IoT, blok rantai dan kewangan digital (FinTech).

Apabila negara memasuki era pascanormal, pembentukan sebuah masyarakat madani yang berkemampuan melakar ekonomi lestari, perkhidmatan bestari dan mengurangkan dekadensi alam persekitaran menjadi semakin perlu. Begitu pun, upaya membina masyarakat negara madani melangkaui definisi “mesin yang berjiwa”  Masyarakat 5.0. Meskipun berada dalam kemajuan teknologi yang terkedepan, nilai keinsanan dan keihsanan tetap menjadi paksi yang mendasari kehidupan negara bangsa Malaysia.

Dalam acuan ketamadunan negara, kemajuan material perlu seiring dengan falsafah kemanusiaan masyarakat yang berjiwa merdeka, aman, harmoni dan sejahtera. Ringkasnya, dalam menuju gagasan negara Madani, kehidupan komuniti berjiwa rahmah turut didambakan. Usaha memupuk nilai Malaysia Madani merupakan suatu ikhtiar secara bersepadu dan holistik untuk menjadikan segala dasar dan inisiatif bersifat lebih manusiawi yang pelaksanaannya sentiasa ditambah baik menerusi semangat musyawarah dan mengambil endah akan denyut nadi rakyat.

Penciptaan insan dengan asal usul, kriteria dan perwatakan yang berbeza, pastinya melahirkan pegangan, adat dan budaya berlainan. Untuk menjadikan kepelbagaian ini sebagai kelebihan, kita memerlukan anggota komuniti saling mengenali, memahami dan menjaga batas sempadan. Pada masa yang sama juga bersedia menangani cabaran hidup pasca normal yang dicirikan oleh kekacauan (chaos), kerumitan (complex) dan kontradiksi (contradiction). Kemelut dan musibah datang bertimpa-timpa secara serentak menjadikan dunia dan seisinya semakin  kacau bilau.

Persoalannya, bagaimanakah masyarakat mampu berhadapan dan beradaptasi dengannya? Kita boleh sahaja menyerah dan pasrah menerima realiti “perubahan keadaan” atau kita boleh memilih dan berikhtiar menyusun gerak “merubah keadaan”. Untuk hidup sejahtera dan mampan dalam era pascanormal, pilihan kedua tersebut didapati lebih rasional dan positif. Masyarakat harus berani maju dengan menyemangati roh kemajmukan bagi mengoptimumkan potensi kelebihan yang ada di samping mengekalkan nilai tradisi murni yang diwarisi bersama selama ini.

Kehidupan bernegara harus mencipta satu bentuk perkhidmatan, nilai-nilai dan budaya baharu penuh kebijaksanaan dalam kehidupan. Jalan keluar daripada permasalahan dan kemelut dengan mengharmonikan keterjalinan kemajuan teknologi, digital, sosial dan nilai, perlu diteroka seluas-luasnya. Tonggak kehidupan bernegara semestinya bertiangkan ukhuwah, berpasak perpaduan dan bersendikan nilai ramah mesra, hormat-menghormati dan bekerjasama tanpa mengira warna kulit, etnik dan kepercayaan.

Dari sudut arca kebendaan fizikal, kehadiran Menara Merdeka 118 misalnya, telah menjadi mercu tanda kemajuan reka bentuk dan teknologi negara bangsa Malaysia. Justeru, apakah terdapat indikator sedia ada sebagai proksi data bagi sandaran untuk kita mempercayai bahawa negara dan masyarakat telah membina kesatuan kejiwaan yang boleh menjadi kebanggaan bersama?

The Global Peace Index 2023 telah menempatkan negara kita pada kedudukan ketiga sebagai negara paling aman di Asia dan ke-19 di dunia daripada jumlah keseluruhan 163 buah negara. Dalam senarai 20 teratas dunia, hanya nama Singapura, Jepun dan Malaysia muncul dari benua Asia. Hal ini semestinya merupakan satu pencapaian amat membanggakan dan menjadi petunjuk positif terhadap kesungguhan masyarakat Malaysia melarik mozek keamanan dan melestarikan keharmonian dalam kehidupan.

The World Happiness Index 2023 Report pula telah meletakkan kedudukan negara pada ranking ke-55 dengan skor sebanyak 6.012 yang merupakan anjakan daripada kedudukan ke-70 dengan skor sebanyak 5.711 pada tahun 2022. Pencapaian ini dinilai berdasarkan penilaian responden terhadap kebahagiaan kehidupan mereka berdasarkan enam faktor, iaitu pendapatan per kapita, kesihatan, sokongan sosial, kebebasan, keterlibatan dan persepsi rasuah. Pada peringkat Asia, Malaysia berada pada kedudukan keempat di belakang Singapura, Taiwan dan Jepun yang juga dianggap sebagai satu pencapaian yang membanggakan.

Dalam konteks negara ini, pembangunan dan kemajuan perlu dicapai dan diukur menurut acuan sendiri. Sewajarnya indikator domestik bayangan wajah kehidupan bernegara ini perlu disoroti. Mengambil ukuran Indeks Kesejahteraan Rakyat Malaysia 2022, tahap kesejahteraan masyarakat negara meningkat sebanyak 2.5 peratus kepada 121.2 mata, berbanding dengan 118.3 mata pada tahun 2021. Peningkatan ini disumbangkan oleh pertumbuhan positif komponen kesejahteraan ekonomi dan sosial, iaitu manifestasi lonjakan pemulihan momentum aktiviti ekonomi dan sosial telah menyumbang kepada peningkatan kesejahteraan rakyat.

Indeks Perpaduan Nasional (IPNas) juga mencatatkan peningkatan secara berperingkat bermula dari tahun 2018, iaitu sebanyak 0.58 peratus kepada 0.629 peratus tahun 2022. Berdasarkan skala pengukuran IPNas, iaitu skor 0.50 hingga 0.74 menunjukkan tahap kesepaduan sosial masyarakat yang sederhana dan terkawal. Pencapaian ini juga menunjukkan defisit sosial yang melibatkan etnik, agama, bahasa, gender, generasi, pendidikan, kelas sosial, politik, desa-bandar dan media, semakin berjaya dirapatkan. Menerusi Dasar Perpaduan Negara yang disokong Rangka Tindakan Perpaduan Negara (2021-2030), kerajaan optimis menyasarkan kenaikan IPNas kepada 0.7 menjelang tahun 2025.

Dapatan tahap perpaduan masyarakat tersebut bergerak seiringan dengan pencapaian Indeks Malaysia Negara Rahmah 2022. Indeks Malaysia Negara Rahmah mencapai tahap sederhana yang menunjukkan bahawa perjalanan merealisasikan gagasan Malaysia Madani berada pada landasan yang betul dan boleh ditambah baik. Dalam skala 1-10, hasil kajian ini mendapati pencapaian ciri-ciri negara rahmah bagi tahun 2022 adalah pada paras 6.47. Tiga ciri mendapat skor tertinggi,iaitu keutuhan institusi keluarga (7.66), keharmonian hubungan etnik dan penganut agama (7.40) dan masyarakat berilmu dan berakhlak penyayang (7.32).

Diakui bahawa kesemua indeks sama ada bersifat global ataupun domestik sememangnya bukanlah petunjuk mutlak. Namun begitu, situasi ini setidak-tidaknya membayangkan persepsi relatif masyarakat tentang nilai kemanusiaan yang wujud dalam kehidupan bernegara dan komponen yang melengkapi kehebatan mercu tanda fizikal, seperti pembinaan Menara Merdeka 118. Hal ini menjadi petunjuk bahawa ikhtiar pembinaan semula kehidupan bernegara dengan masyarakat berjiwa ihsan, mengambil endah dan meraikan kepelbagaian, kini berada di atas landasan yang tepat. Nombor dan data ini memberikan keyakinan bahawa elemen kemajmukan sebenarnya tidak menjadi penghalang untuk bekerjasama berasaskan penerimaan bagi membawa perubahan positif ke arah negara yang bersatu dan sejahtera.

Dalam usaha kita membangun sebagai sebuah negara Madani semestinya memerlukan keupayaan yang tinggi untuk menyeimbangkan kedua-dua kecanggihan fizikal dan pembangunan kejiwaan. Elemen perpaduan, ukhuwah dan kasih sayang menjadi teras kepada pembentukan masyarakat yang menjiwai konsep rahmah melalui tindakan kemanusiaan. Sikap saling menghormati dan meraikan kepelbagaian akan dapat mengeratkan keharmonian dan kemakmuran dalam masyarakat plural. Budaya kehidupan yang saling memahami, menerima dan menjiwai roh kebersamaan diharapkan dapat menjadi tuntutan hidup bernegara baharu buat semua.

Datuk Dr. Alauddin Sidal, Pesara Pegawai Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik, Sektor Awam.

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.