Oleh Hisyam Basabah
15 Februari 2024, 17:55

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Malaysia merupakan sebuah negara yang kini sedang melewati era baharu politik domestik dengan kepelbagaian kaum telah melahirkan pelbagai parti politik menerusi dasar dan agenda yang tersendiri. Setiap parti politik yang wujud di negara ini menjadikan Perlembagaan Persekutuan sebagai asas utama kepada dasar dan agenda parti masing-masing. Keberagaman parti politik di Malaysia pada masa ini membawa dua sisi pandangan yang berbeza.

Namun begitu, secara mudahnya dapat disimpulkan bahawa melalui kepelbagaian parti politik yang ada, hal ini membuktikan bahawa demokrasi di Malaysia sangat subur dan tidak pernah disekat perkembangannya oleh kerajaan yang memerintah. Era baharu politik Malaysia telah berubah selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) apabila tidak ada lagi hegemoni politik, sekali gus membawa isyarat ideologi partisan semakin pudar yang digantikan dengan nilai pragmatisme.

Kejatuhan hegemoni politik di Malaysia pada PRU-14 dan ketiadaan mana-mana koalisi politik yang mampu membentuk kerajaan pada PRU-15 merupakan petanda jelas bahawa nilai pragmatisme telah menjadi suatu nilai pertimbangan kepada majoriti rakyat Malaysia. Sentimen dan ideologi partisan yang didasari oleh nostalgia sejarah kepartian tidak lagi menjadi pertimbangan kerana perkara utama bagi rakyat pada hari ini pastinya untuk melihat sejauh mana sesebuah parti politik tersebut mampu membawa negara ke peringkat yang lebih baik.

Persoalan fundamental seperti kenaikan harga barangan keperluan, taraf kehidupan yang semakin tinggi, isu korupsi dalam kalangan ahli politik, sistem dan kualiti pentadbiran, isu sosial yang berkaitan dengan pendidikan, hubungan kaum dan agama, isu kesenjangan ekonomi serta isu politik yang tidak berkesudahan telah membuatkan rakyat lebih memilih untuk bersifat pragmatik dan sebahagian besarnya menyingkirkan ideologi partisan yang dilihat tidak membawa apa-apa kebaikan kepada masa depan mereka, terutamanya apabila melibatkan golongan belia.

Penolakan ideologi partisan ini dalam kalangan belia dipengaruhi oleh pelbagai faktor, berikutan golongan ini amat kritikal terhadap sesuatu isu, ditambah pula mereka merupakan golongan yang paling mudah terjejas sekiranya berlaku isu politik dan ekonomi. Ideologi partisan tidak lagi popular dalam kalangan masyarakat berikutan ledakan arus globalisasi dan kemajuan teknologi, terutamanya media sosial yang telah membuka akses kepada berita dan pandangan dari seluruh dunia.

Golongan belia kini terdedah pada pelbagai perspektif dan ideologi dan hal ini boleh menyebabkan kurangnya kesetiaan terhadap satu ideologi partisan tertentu dan bersifat neutral demi kelangsungan hidup mereka. Isu global yang bersifat kompleks seperti perubahan iklim, kesenjangan ekonomi dan teknologi telah meningkat dan sering kali tidak dapat dikupas dengan mudah dalam bingkai ideologi partisan yang sederhana. Belia mungkin berasakan bahawa perlunya pendekatan yang lebih holistik dan kolaboratif untuk menangani cabaran ini, apatah lagi sesetengah ahli politik yang menjadi imej utama sesebuah parti tertentu dilihat tidak kompeten dalam menangani isu tersebut.

Ketidakpuasan terhadap sistem politik tradisional juga adalah antara faktor kepada semakin pudarnya ideologi partisan. Masyarakat melihat sesetengah parti politik terlalu mengutamakan elit politik sehingga menjurus ke arah sistem politik oligarki. Hal ini menjadikan golongan belia menjauhi sesetengah parti politik dan melihat trend tersebut sebagai terkebelakang sekiranya mereka menganggotai parti politik tersebut kerana tidak mempunyai peluang untuk mendaki tangga kepimpinan.

Perkara ini mengakibatkan mereka berasa malu apabila diidentifikasikan dengan sesetengah parti politik kerana penjenamaan yang negatif kepada parti politik tersebut membuatkan kemungkinan golongan sebaya mencemuh mereka. Belia mungkin lebih bersedia untuk menerima identiti politik yang lebih fleksibel dan tidak terikat pada ideologi tertentu. Mereka mahu melihat nilai dalam mengambil pendekatan pragmatis terhadap isu tertentu berbanding dengan terikat kepada platform ideologi yang kaku dan bungkam. Dunia kini memasuki era pascanormal yang serba serbi tidak menentu dan bercelaru, serta meningkatkan kemungkinan konflik keperluan, keinginan dan identiti yang merajai panggung peradaban dunia baharu.

Kesan Era Pascanormal dalam Pragmatisme Politik

Era pascanormal merujuk pada konteks sosial-politik yang dianggap tidak lagi mematuhi norma atau pola kebiasaan kerana hal ini mencirikan suatu era yang melihat ketidakpastian, perubahan cepat dan kompleksiti yang memonopoli persekitaran sosial dan politik. Pemahaman ini membawa impak terhadap pelbagai bidang termasuklah politik dan berkaitan rapat dengan konsep pragmatisme politik, iaitu kesan terhadap era pascanormal dalam kalangan masyarakat.

Ketidakpastian masyarakat telah mempengaruhi keanjalan ideologi mereka dalam politik. Hal ini demikian kerana dalam situasi yang menyaksikan norma politik tradisional mungkin tidak lagi berfungsi dengan baik. Pada masa yang sama, keperluan untuk ketidakpastian dan keanjalan dalam pendekatan politik pula semakin meningkat. Pragmatisme politik yang menekankan keputusan yang praktikal dan berdasarkan keadaan semasa mampu menjadi pendekatan yang lebih sesuai dalam era pascanormal.

Selain itu, isu polarisasi politik dan fragmen dalam kalangan masyarakat juga menjadi antara faktor yang menyebabkan berlakunya perubahan dari segi pragmatisme politik. Era pascanormal mungkin menyebabkan peningkatan polarisasi politik dan fragmen dalam kalangan masyarakat. Dalam konteks ini, parti politik lebih cenderung mengambil pendekatan pragmatik untuk menarik sokongan dari pelbagai segmen masyarakat demi mempertahankan atau meningkatkan kekuasaan. Oleh sebab itu, kita dapat lihat sesetengah ahli politik dari parti politik tertentu cuba menjadikan isu sensitif sebagai talian hayat politik mereka.

Dalam meniti suasana era pascanormal, terdapat peningkatan dalam sokongan rakyat terhadap gerakan politik yang tidak terikat kepada ideologi partisan yang bersifat konvensional. Pragmatisme politik yang bersifat populis menjadi ciri utama dalam pendekatan mereka untuk menyelesaikan isu yang lebih kompleks. Hal ini dipengaruhi oleh kesedaran masyarakat tentang keperluan untuk mencapai keseimbangan dan kelangsungan hidup yang berkualiti. Maka, ahli-ahli dari setiap parti politik akan cuba untuk menjadi jaguh terhadap kepentingan rakyat dengan membawa pelbagai slogan muluk-muluk demi mendapatkan sokongan politik kepada mereka. Apabila perkara ini berlaku, maka kepimpinan politik perlu menjadi lebih fleksibel dan mampu beradaptasi dengan perubahan yang cepat. Pemimpin yang pragmatis dapat melaksanakan perubahan dengan lebih efektif berbanding dengan mereka yang terlalu terikat kepada ideologi tertentu.

Oleh hal yang demikian, tidak dapat dinafikan bahawa pengaruh pragmatisme terhadap politik dalam era pascanormal ini sangat jelas. Masyarakat kini lebih mementingkan keputusan yang nyata dan tindakan yang mampu meningkatkan manfaat kepada mereka. Zaman yang menyaksikan “Yang Berhormat” tahu segala-galanya telah berlalu dan kini para “Yang Berhormat” perlu memberikan sepenuh perkhidmatan kepada rakyat agar karier mereka terus berlangsung. Pragmatisme politik juga mencerminkan pentingnya respons terhadap keperluan dan aspirasi rakyat. Pemimpin politik pragmatis mungkin lebih cenderung mendengar dan memberikan maklum balas kepada suara rakyat, selain mencipta kepercayaan dan kelegaan dalam kalangan masyarakat. Pragmatisme politik tidak sekadar semakin relevan dalam ranah politik negara, malah turut  mempunyai asas yang kukuh untuk kesinambungan dan kestabilan negara. Kemampuan untuk beradaptasi dengan perubahan dan cakna terhadap keperluan rakyat merupakan kunci utama kepada kejayaan atau kegagalan sesebuah parti politik pada masa ini. Jika tidak mahu berubah, maka bersedialah untuk diubah!

Penulis merupakan penganalisis sosial yang sedang melanjutkan pengajian peringkat Doktor Falsafah Sains Politik di Universiti Utara Malaysia dan kini berkhidmat sebagai Penolong Pengarah di Akademi Kenegaraan, Jabatan Perdana Menteri.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.