20 Mac 2024, 16:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kabilah dan Usrah

Semua kami pelajar Sains Perubatan Malaysia –Perubatan, Pergigian dan Farmasi di Mesir boleh bertutur dengan menggunakan bahasa Arab basahan; yakni bahasa pasar Mesir yang dikenali sebagai bahasa slanga atau al-lughah al-‘āmiyyah. Sebahagian daripada kami mengikuti kursus bahasa Arab rasmi atau al-lughah al-‘arabiyyah al-fuṣḥa (sebutan: al-fuṣ-ḥa) – bahasa Arab klasik di Universiti Amerika di Cairo.

Pada dasawarsa 1970-an itu, setelah biasiswa kami ditambah sedikit, kami grup pelajar Sains Perubatan tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Majlis Amanah Rakyat (MARA) menjalani kehidupan yang agak selesa walaupun tidak lumayan. Malahan, ada yang pandai berjimat dan dapat membantu ibu bapa menunaikan fardu haji. Ada antara kami yang menunaikan umrah dan fardu haji untuk diri sendiri. Bagi yang bertimbang rasa, mereka membiayai beberapa orang asatizah – ustaz dan ustazah yang memerlukan bantuan kewangan sewaktu mereka belajar di pelbagai fakulti ilmu Islam di Universiti al-Azhar. Hal ini merupakan satu natijah ukhuwah Islamiah yang mulia. Insya-Allah kepada pihak yang memberi dan menerima mendapat pahala daripada Allah SWT.

Antara kami grup Sains Perubatan ini, ada yang menjadi aktivis pelajar dan dapat memanfaatkan interaksi dengan para asatizah lelaki dan wanita aktivis Pertubuhan Melayu Republik Arab Mesir (P.M.R.A.M.). Aktiviti kami pada ketika itu termasuklah menyanyi dan bermain muzik hinggalah tahun 1974. Selepas itu, nyanyian dan dendangan muzik tidak lagi kedengaran di pentas asrama yang bernama Rumah Melayu, di Abasiah, Kaherah.

Daripada kalangan kami grup MARA dan JPA, ada yang rapat dengan asatizah lelaki dan wanita yang tinggal di rumah-rumah kabilah – seperti Rumah Johor, yakni rumah kabilah negeri yang paling awal ditubuhkan di Mesir sekitar dasawarsa 1920-an atau awal 1930-an. Saya sendiri rapat dengan para asatizah Rumah Johor dan masih berhubung dengan dua atau tiga orang dariapda mereka yang semakin tua dan uzur seperti saya. Alhamdulillah.

Daripada kalangan para asatizah lelaki dan wanita inilah muncul di negara kita golongan mufti, kadi, hakim syariah, imam, politikus wakil rakyat, pemimpin institusi Islam, guru sekolah serta pensyarah dan profesor di universiti.

Dengan sahabat-sahabat satu fikrah pula kami menubuhkan barisan usrah yang bebas kabilah dan bebas aliran kursus – kami digelar oleh masyarakat pelajar Malaysia di Mesir sebagai golongan “alami” daripada perkataan ‘ālamī. Hal tersebut merupakan satu penghormatan bagi saya kerana sementara Islam mengiktiraf realiti hidup berbagai kabilah atau al-qabā’il, kesejagatan Islam itu universal dan alami. Apabila pulang ke Malaysia, kami berkecimpung dalam bidang dakwah pelbagai aliran dan menubuhkan beberapa buah pertubuhan Islam yang baharu. Ada juga yang menjadi politikus dan menjadi wakil rakyat.

Satu lagi gelaran bagi grup JPA dan MARA yang diberi oleh masyarakat Melayu di Mesir ialah “Budak Ṭib” yang sudah tentu bermaksud “Budak Perubatan”. Sebenarnya kami tergolong dalam tiga kumpulan yang bersatu, yakni Perubatan, Pergigian dan Farmasi – bukan hanya Perubatan.

 Wira Perang Oktober 1973

Kami rakyat Malaysia yang terdiri daripada para pelajar Perubatan di Universiti Kaherah dan pelajar aliran agama di Universiti al-Azhar menjalani rutin kehidupan sewaktu Perang Oktober 1973 (6-25 Oktober 1973) atau Perang Ramadan 1393 (10-29 Ramadan 1393) yang  juga dikenali sebagai Perang Yom Kippur antara tentera Zionis Israel dengan pakatan tentera Mesir dan Syria. Serangan Mesir ke atas kubu memanjang Garisan Bar Lev yang dibina oleh Israel akhirnya dapat dimusnahkan merupakan satu pencapaian luar biasa yang dikagumi oleh seluruh dunia.

Hidup di sebuah negara yang sedang berperang merupakan pengalaman yang mendidik kami supaya tenang dalam kegawatan perang. Kesabaran serta ketabahan mendasari doa kami agar negara Mesir yang kami sayangi itu menang dalam peperangan kali ini.

Laungan perang semasa bulan Ramadan itu yang dipilih oleh para pemimpin tentera Mesir dan Presiden Anwar Sadat sendiri ialah“Allāhu Akbar!” Kaum Koptik (Qibṭī) Kristian yang merupakan anggota tentera Mesir juga tidak bermasalah tentang hal ini kerana mereka turut menyebut nama Tuhan sebagai Allah.

Presiden Mesir, Anwar Sadat digelar Wira Oktober pada masa itu. Namun, ironinya hayat serta takdir Ilahi pula sering mengingatkan kita akan ketentuan Tuhan.

Wira Perang Oktober Dibunuh

Presiden Mesir, Anwar Sadat telah menandatangani Perjanjian Camp David dengan Perdana Menteri Zionis Israel, Menachem Begin pada 17 September 1978, susulan rundingan sulit selama 12 hari di permukiman Camp David, sekitar 100 kilometer dari Washington DC, Amerika Syarikat (AS). Enam bulan selepas itu, Perjanjian Damai Israel-Mesir pada 26 Mac 1979 ditandatangani di Rumah Putih dengan disaksikan oleh Presiden AS, Jimmy Carter; sekali gus membolehkan Sadat dan Begin berkongsi Hadiah Keamanan Nobel 1978.

Peristiwa ini berlaku di tengah-tengah kecaman di seluruh dunia Arab dan sebahagian rakyat Mesir apabila Anwar Sadat dituduh sebagai pengkhianat kepada perjuangan Palestin. Sadat yang pernah menjadi pegawai tentera Mesir dalam grup kudeta yang menggulingkan Raja Farouq I (Fārūq al-Awwal) kelihatan semakin angkuh dan bongkak. Berkali-kali beliau bertempik dengan deklarasi: “Aku berasa selamat apabila berada dalam kalangan tentera Mesir dalam kalangan anak-anakku!”

Pada September 1981, walaupun Anwar Sadat sempat menangkap beberapa orang anggota tentera yang menjadi grup militan “Jihad Islami Mesir” serta sekitar 1500 orang aktivis Islam termasuklah Ikhwan Muslimin dan beberapa orang aktivis Kristian Koptik, sebuah grup kecil terlepas daripada tangkapan tersebut.

Grup kecil yang merupakan sebahagian daripada Jamā‘ah Islamiyyah atau “Grup Islami” dipimpin oleh Khalid al-Islambouli, anggota tentera Mesir berpangkat Leftenan. Akhirnya Anwar Sadat, sang wira perang Oktober itu mati dibunuh oleh tenteranya sendiri sewaktu perarakan tahunan menyambut Hari Kemenangan 6 Oktober pada pagi Selasa 6 Oktober 1981.

Peperiksaan Akhir

Peperiksaan akhir klinikal yang saya dan kumpulan pelajar Perubatan pelbagai warga negara di seluruh Mesir telah ditunda selama sekitar dua atau tiga minggu. Alhamdulillah setelah lulus peperiksaan Oktober-November 1981 itu, saya mengucapkan selamat tinggal dan terima kasih kepada Mesir. Lantas saya pun memulakan tugas sebagai doktor siswazah pelatih atau houseman di Kementerian Kesihatan Malaysia dan menjalani rutin kehidupan di Malaysia bersama-sama isteri serta dua orang anak kami.

Prof. Datuk Dr. Mohamed Hatta Shaharom ialah Profesor Psikiatri, penulis dan mantan Pengerusi Lembaga Pengelola DBP.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.