25 Mac 2024, 15:48

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Percakapan yang baik mencerminkan adab seseorang agar dapat membentuk jiwa dan peribadi mulia serta dipandang tinggi di sisi Tuhan. Namun begitu, dalam era modenisasi yang menyaksikan kehidupan lebih mencabar dalam melewati dunia tanpa sempadan, teknologi digunakan sebagai medium untuk melepaskan segala luahan. Kadangkala walaupun mulut tidak berbicara, tetapi tangan mereka laju dengan meluncurkan kata-kata yang tidak sepatutnya melalui platform media sosial dek akal yang tidak berfikir terlebih dahulu untuk mengeluarkan sesuatu penyataan itu.

Antara adab dalam percakapan termasuklah memberi salam, bercakap dengan bahasa yang baik, mendengar dahulu percakapan orang lain, tidak mencelah ketika orang lain sedang bercakap dan menggunakan kata-kata yang baik serta lemah lembut. Adab ini akan membentuk peribadi yang mulia dan juga mencerminkan jati diri yang tinggi. Masyarakat tidak seharusnya terus membiarkan teknologi tanpa sempadan mendahului akal dan fikiran yang nipis sehingga menghamburkan kata-kata nista dan keji.

Lebih teruk lagi termasuklah mengeluarkan penghinaan terhadap golongan akademik, pemimpin, organisasi tertinggi, alim ulama dan lebih serius lagi institusi beraja. Hal ini merupakan hakikat yang dipertontonkan pada hari ini dan ditonton oleh anak-anak generasi Z. Bagaimanakah kita ingin membentuk nilai jati diri yang tinggi buat mereka jika kita sendiri juga berkelakuan sedemikian? Tepuk dada tanyalah hati.

Pembentukan adab dalam diri manusia pada hari ini sungguh daif, bahkan sering dipandang rendah oleh agama dan bangsa lain. Jati diri perlu dibentuk seiring dengan kemajuan modenisasi dan teknologi, namun pada hari ini, jati diri yang tertanam dalam diri terus membisu dengan membiarkan teknologi merentas akal fikiran. Kerosakan jelas ketara apabila pada setiap hari kita mendapati sesetengah manusia bercakap dengan penuh kebiadaban. Dalam Islam, perkara ini merupakan suatu perkara yang ditegah dalam ajaran dan ikutan Rasulullah SAW.

Percakapan yang baik juga bermula dari rumah. Setiap pertuturan dan tingkah laku ibu bapa akan dilihat dan menjadi ikutan anak-anak. Percakapan dan adab yang baik daripada ibu bapa akan menjadi contoh dalam membentuk jati diri anak-anak. Jati diri harus dibentuk seawal usia supaya adab dalam percakapan tidak hilang dan membawa ke dewasa kelak. Pada zaman kini, sering kali manusia hilang adab dan rasa hormat sesama manusia dengan mengeluarkan perkataan yang kesat, mengeji dan mengundang pergaduhan tanpa mengira tempat waima di tempat awam sekali pun. Hal ini boleh menyebabkan golongan muda hilang rasa hormat sekiranya perkara ini dilakukan oleh golongan yang lebih tua yang telah hilang nilai jati dirinya. Golongan yang lebih dewasa sepatutnya menjadi contoh dan teladan yang baik kepada golongan muda.

Kelakuan yang baik seperti menjaga adab, bahasa dan menghormati antara satu sama lain juga menjadi cerminan budaya, agama dan bangsa serta dapat dicontohi oleh seantero dunia. Kita seharusnya mendidik hati dengan kerendahan diri dalam mengawal emosi dan menyantuni orang lain dengan menggunakan bahasa yang baik, indah dan lemah lembut. Namun kini, bahasa dalam percakapan seharian tidak diteguhkan dengan nilai jati diri. Manusia semakin hilang pertimbangan dalam melepaskan kata-kata. Di manakah nilai jati diri yang dahulunya dididik dan diajar oleh ibu bapa kita supaya penuh dengan sifat dan nilai yang baik?

Sifat jati diri yang ditanam dengan nilai budaya, adab dan percakapan dengan penuh tatasusila dapat membentuk kehidupan indah yang diwarnai dengan kemanisan peradaban jati diri manusia. Sifat ini tidak akan hilang ditelan zaman dan tidak rapuh dijajah dunia tanpa sempadan. Jati diri juga perlu diperkukuh dengan kekebalan emosi yang perlu dikawal dengan utuh. Kesabaran dan kewarasan yang tinggi juga amat perlu dalam mendidik diri agar lebih berhati-hati dalam berkata-kata.

—bibir menotakan jari

kenal huruf sebelum ayat

jangan mungkiri sendi adab

untuk tak dilukai kata

yang disembunyi dalam

baris teknologi —

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.