Oleh Aninah Janang
2 September 2021, 22:42

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Berdasarkan keputusan Sidang Khas Pengurusan Pandemik COVID-19, Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob  pada hari ini mengumumkan peralihan fasa di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN) untuk dua buah negeri, iaitu Melaka yang beralih kepada Fasa 2 dan Negeri Sembilan yang beralih kepada Fasa 3. Peralihan fasa bagi kedua-dua buah negeri ini akan bermula pada 4 September 2021.

Selain itu, mesyuarat juga bersetuju untuk membuka sektor pelancongan di beberapa destinasi di bawah program gelembung perjalanan (travel bubble) berdasarkan syarat yang ditetapkan.

“Sebagai permulaan, Pulau Langkawi dipilih sebagai projek rintis untuk dibuka kembali kepada pelancong tempatan yang akan bermula pada 16 September 2021. Sementara itu, destinasi pelancongan yang lain akan dibenarkan beroperasi apabila kadar vaksinasi lokaliti mencapai 80 peratus,” ujar Perdana Menteri menerusi hebahan kenyataan media.

Selain itu, mesyuarat juga sebulat suara bersetuju agar Sidang Khas ini dikenali sebagai Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik yang bakal melibatkan wakil daripada parti pembangkang. Pendekatan ini merupakan satu daripada usaha kolektif untuk melibatkan semua pemegang taruh bagi memastikan pemulihan negara berjalan seperti yang telah dirancang, seiring dengan semangat Keluarga Malaysia.

“Alhamdulillah, hari ini buat pertama kalinya selepas beberapa bulan, kadar purata kebolehjangkitan (R-naught) di seluruh negara berada di bawah 1.0, saya yakin kita berada pada landasan yang tepat ke arah pemulihan negara,” ujar Perdana Menteri.

Sementara itu, berdasarkan unjuran data Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV), purata kadar vaksinasi di setiap negeri dijangka akan mencapai 80 peratus bagi populasi dewasa menjelang penghujung September 2021. Perdana Menteri percaya bahawa kadar vaksinasi 100 peratus akan dicapai pada akhir Oktober 2021, hal ini sekali gus akan memberikan perlindungan kepada Keluarga Malaysia. Perdana Menteri turut menyuarakan saranan agar rakyat dan seluruh Keluarga Malaysia perlu bersedia untuk hidup bersama-sama COVID-19 sebagai endemik selepas Oktober 2021 apabila suntikan vaksin dijangka selesai sepenuhnya. Oleh itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) diminta untuk membentangkan strategi baharu pandemik dan endemik yang bersesuaian selain pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) semata-mata.

“Saya menyambut baik saranan mengenai usaha untuk melakukan perubahan kepada tingkah laku (behavioural change) seperti yang diumumkan oleh KKM pada 1 September 2021. Keluarga Malaysia perlu sedar, pada akhirnya kita terpaksa hidup bersama-sama COVID-19 seperti yang berlaku di seluruh dunia,” jelas Perdana Menteri.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.