19 September 2021, 16:15

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Calon yang telah mendaftar untuk menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia Ulangan (SPMU) tahun 2021 di 201 pusat peperiksaan di seluruh negara, bakal menduduki peperiksaan tersebut pada 21 September hingga 23 September 2021. Menurut Lembaga Peperiksaan (LP), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam kenyataan media pada hari ini, seramai 8077 calon bakal menduduki peperiksaan SPMU bagi tahun 2021. Bagi memastikan pengurusan dan pengendalian peperiksaan tersebut berjalan dengan lancarnya, seramai 1568 petugas peperiksaan telah dilantik.

Selain itu, semua calon diingatkan agar merujuk jadual waktu peperiksaan untuk mendapatkan maklumat seperti tarikh, masa, kod dan kertas peperiksaan serta arahan dan amaran yang perlu dipatuhi semasa peperiksaan berlangsung.

Menurut LP lagi, calon juga mesti membawa bersama-sama Dokumen Pengenalan Diri dan Pernyataan Pendaftaran Peperiksaan ke pusat peperiksaan. Jadual waktu peperiksaan boleh dimuat turun dari portal rasmi LP di http://lp.moe.gov.my.

Setiap calon hendaklah mematuhi Garis Panduan Pengurusan Pentaksiran Pusat dan Peperiksaan Awam yang terkandung dalam Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah yang terkini yang dikeluarkan oleh KPM serta prosedur operasi standard yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan Malaysia bagi memastikan kelancaran pengurusan peperiksaan dan pencegahan penularan wabak COVID-19. Garis panduan tersebut boleh dimuat turun dari portal rasmi KPM di http://www.moe.gov.my.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.