1 Oktober 2021, 22:26

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Bergelar guru pendidikan khas, adakah menjadi impian atau pilihan yang terakhir?

Ironinya, siapakah yang sanggup menjadi guru kepada murid berhingus tidak tahu baca tulis; murid hiperakrif yang sukar dikawal; murid yang suka tantrum; murid yang susah bercakap; murid yang payah faham; murid yang mempunyai pelbagai kekurangan dan ketidakupayaan. Menjadi seorang guru pendidikan khas sudah tentu tidak mudah, memerlukan pelbagai pengetahuan dan kemahiran serta tahap kesabaran yang tinggi. Namun begitu, jika sudah berada dalam dunia pendidikan khas, sebenarnya banyak yang jatuh hati sehingga mahu setia menjadi guru pendidikan khas.

Kunci Sabar

Menjadi sebahagian daripada warga pendidikan khas memerlukan guru menjadi lebih sabar, tabah, penyayang dan bermotivasi. Sebilangan besar guru pendidikan khas menyatakan kesediaan mereka untuk berkhidmat lebih lama dalam pendidikan khas. Mereka juga sanggup mengorbankan masa, tenaga dan wang untuk membina generasi pelajar berkeperluan khas yang seimbang dan berdikari. Pendidikan khas mendidik guru sentiasa tabah dalam menghadapi cabaran. Murid pendidikan khas juga sentiasa menjadi aspirasi guru.

Kejayaan yang telah dicapai oleh atlet paralimpik negara dalam sukan bertaraf dunia merupakan contoh terbaik yang membuka mata banyak pihak bahawa setiap kekurangan yang golongan istimewa ini miliki hadir dengan suatu kekuatan yang mendorong mereka untuk turut sama menggapai impian.

Murid Berkeperluan Khas

Pendidikan khas merupakan salah satu cabang pendidikan yang diamalkan di Malaysia khusus untuk orang kurang upaya (OKU) atau disebut sebagai Murid Berkeperluan Khas (MBK) dalam konteks persekolahan. Pendidikan khas melibatkan penempatan MBK khusus dalam pelbagai kategori seperti masalah penglihatan (BL), gangguan pendengaran (BD) dan masalah pembelajaran (BP). Semua kategori MBK ini diletakkan dalam tiga program pendidikan khas, iaitu Sekolah Pendidikan Khas (SPK), Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) dan Program Pendidikan Inklusif (PPI).

Ketiga-tiga program ini mempunyai ciri-ciri tertentu dalam memberikan perkhidmatan kepada MBK. Sebagai contoh, Sekolah Pendidikan Khas (SPK) lebih tertumpu kepada penempatan MBK untuk kategori BL dan BP, manakala untuk PPKI dan PPI lebih tertumpu kepada penempatan untuk kategori BP. Oleh sebab pertambahan jumlah MBK yang didaftarkan dari tahun ke tahun, SPK telah dibuka untuk MBK kategori BP.

Setiap guru pendidikan khas sentiasa komited dalam melaksanakan tugas mendidik MBK dengan penuh kasih sayang. Tidak kira betapa teruknya kategori atau kekurangan MBK, guru sentiasa memberikan yang terbaik dalam mendidik mereka. Pada dasarnya, pendidikan berkesan untuk MBK ialah pendidikan yang bermakna, iaitu tidak hanya bergantung kepada sukatan pelajaran. Pendidikan yang bermakna bagi mereka merupakan pendidikan yang memberikan mereka peluang yang sama untuk hidup berdikari dan bermasyarakat.

Kejayaan golongan OKU dalam bidang sukan dan akademik telah membuka mata banyak pihak untuk memberikan lebih perhatian kepada MBK dan tahap pendidikan mereka. Mantan Menteri Pendidikan Malaysia, YB Dr. Maszlee Malik juga pernah menyatakan bahawa pendidikan khas selalu ada di hatinya dan meletakkan pendidikan khas antara perkara penting bagi kementerian itu. Begitu juga dengan kenyataan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim setelah mengadakan lawatan ke salah sebuah SPK di Johor Bahru baru-baru ini. Beliau menyatakan keprihatinannya terhadap pendidikan khas dan juga pendidikan untuk rakyat Johor.

Perhatian dari para pemimpin ini telah menjadikan pendidikan khas dipandang tinggi oleh masyarakat. Jika sebelum ini tidak semua masyarakat mengetahui tentang kewujudan pendidikan khas di Malaysia, kini masyarakat lebih peka terhadap kehadiran OKU dan juga murid berkeperluan khas dalam kelompok masyarakat. Guru pendidikan khas juga dilihat lebih bersemangat dalam melaksanakan tanggungjawab mendidik MBK di sekolah. Nilai cinta dan keprihatinan selalu terpancar dan mereka menyatakan bahawa mereka jatuh cinta dengan dunia pendidikan khas.

Untuk menjadi warga pendidikan khas, seseorang harus menempatkan diri mereka dalam keadaan siap siaga dengan kesibukan pendidikan khas. Bukan hanya keperluan akademik, tetapi kelayakan pengurusan, penglibatan masyarakat, sentiasa dahagakan ilmu berkaitan dengan pendidikan khas, kesediaan fizikal dan mental serta sedia bertanggungjawab menggalas keperluan dunia pendidikan khas.

Lima faktor yang dikenal pasti menjadi pegangan warga pendidikan khas termasuklah nilai kasih sayang terhadap MBK; perubahan dalam sistem pendidikan khas; MBK yang unik dan menghiburkan; hubungan baik dengan MBK; dan sokongan daripada pelbagai pihak. Berdasarkan pemerhatian penulis, jelas sekali bahawa guru pendidikan khas mengutamakan pendidikan dan pembelajaran MBK sama ada di dalam atau di luar sekolah. Guru bukan sahaja mahukan yang terbaik untuk MBK di sekolah malah selepas waktu sekolah. Mereka berpendapat bahawa MBK berhak mendapat ilmu dan bimbingan yang terbaik. Mereka juga mengakui bahawa lebih banyak perhatian harus diberikan kepada MBK berbanding dengan murid normal lain di sekolah. Hal ini dikatakan demikian kerana MBK bergantung sepenuhnya terhadap pembelajaran bersama-sama guru. MBK dianggap seperti anak sendiri yang memerlukan bimbingan, perhatian dan kasih sayang. Kekurangan yang dihadapi oleh MBK juga antara faktor yang membuat guru berasa tersentuh dan memahami bahawa mereka perlu dibantu semaksimum mungkin.

Melihat kepada MBK pada dasarnya bukan tertumpu mengenai kekurangan tetapi tentang kelebihan terpendam. Setiap dari mereka dikurniakan bakat dan ciri istimewa yang tersendiri. Beberapa perkara penting perlu ditambah baik jika ingin melihat pendidikan khas terus maju. Antara perubahan tersebut berkaitan dengan sukatan pelajaran, penilaian dan juga kepemimpinan dalam pendidikan khas.

Pada hakikatnya, mendidik MBK bukanlah tugas mudah yang boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja. Mendidik MBK memerlukan keprihatinan dan kecintaan yang mendalam terhadap keperluan MBK. Berbekalkan semangat dan rasa tanggungjawab itulah guru yang terlibat tidak pernah jemu memberikan yang terbaik kepada MBK dalam penyampaian ilmu. Keunikan MBK, pembelajaran mereka dan hubungan erat antara guru dengan MBK menjadikan kecintaan para guru terhadap pendidikan khas tidak pernah luntur.

 

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.