5 Disember 2021, 15:07

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pauh Putra, Perlis – “Setiap masyarakat perlu bersatu padu menggembleng tenaga dalam usaha mencetuskan ilham, menyebar luas serta menarik minat anak bangsa untuk menyertai Rejimen Askar Wataniah sebagai seorang anggota sukarelawan atau sukarelawati,” titah Raja Muda Perlis, Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dalam menekankan pentingnya peranan masyarakat untuk menyuntik semangat patriot golongan belia di tanah air ini.

Menurut baginda, hal ini menjadi satu kerugian besar sekiranya jiwa dan keringat belia yang sihat tubuh badan dan memenuhi segala tahap minimum fizikal dan pendidikan yang diperlukan oleh Tentera Darat Malaysia dibiarkan dan tidak diguna pakai bagi tujuan yang mulia seperti ini.

Tambah Tuanku Raja Muda,

Tugas ini amatlah berat, namun akan menjadi ringan sekiranya dilakukan dengan niat yang tulus dan secara kolateral.

Demikian titah baginda ketika berkenan berangkat menghadiri Majlis Makan Malam Gala Rejimen 504 Askar Wataniah Tahun 2021 yang diadakan di Dewan Harumanis Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS), Pauh Putra, Perlis.

Keberangkatan tiba baginda dan Raja Puan Muda, Mejar Kehormat Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil disambut oleh Timbalan Komander, Leftenan Kolonel Mohamad Zaidi Ishak dan pegawai kanan rejimen.

Turut hadir sama ke majlis yang dianjurkan bersempena dengan Sambutan Hari Ulang Tahun Rejimen Ke-41 semenjak dari penubuhannya pada 7 September 1980 tersebut ialah Panglima Briged ke-6 Infantri Malaysia, Brigedier Jeneral Mohd Akib Haji Yusof dan Pengarah PTSS Abdul Malek Hassan.

Sehubungan dengan itu, Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga merangkap Komander Rejimen tersebut sejak 19 tahun yang lalu turut berharap agar kemasukan dan keaktifan serta pengekalan anak watan Perlis akan kembali meningkat dalam Angkatan Simpanan Tentera Darat berkenaan bertepatan dengan asas penubuhan Askar Wataniah itu sendiri.

Dalam kekangan pandemik COVID-19, baginda menzahirkan rasa bangga kerana asosiasi antara pihak Rejimen dengan awam dampak ketara sepanjang tahun 2021 walaupun menghadapi krisis besar ini.

Bermotokan “Di Latih untuk Perang”, Rejimen sentiasa mengadakan mesyuarat dan berusaha memastikan amanah yang diberikan oleh tampuk pemerintahan tertinggi dalam menyediakan anak watan Perlis berminat menyertai pasukan ini terus direalisasikan dengan jayanya.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.