30 Disember 2021, 14:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Indeks Harga Pengeluar (IHPR) pengeluaran tempatan pada November meningkat 12.6 peratus berbanding dengan penurunan 3.0 peratus yang dicatatkan pada bulan yang sama tahun sebelumnya, sekali gus menandakan lapan bulan berturut-turut inflasi dari perspektif pengeluar mencatatkan peningkatan dua angka pada tahun ini.

Ketua perangkawan, Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata,

Peningkatan dalam IHPR pengeluaran tempatan pada bulan ini disumbangkan oleh Indeks perlombongan yang melonjak 71.2 peratus berbanding dengan kejatuhan yang dicatatkan pada November 2021. Peningkatan harga minyak mentah dan gas asli telah menyumbang kepada kenaikan ini.

Seterusnya, indeks pertanian, perhutanan dan perikanan juga meningkat, namun pada kadar yang perlahan, iaitu 19.1 peratus. Indeks pembuatan dan bekalan air turut mencatatkan kenaikan, masing-masing 8.4 peratus dan 0.2 peratus.

Namun begitu, untuk indeks bekalan elektrik dan gas turun sebanyak 0.8 peratus.

Bagi perbandingan bulanan, IHPR pengeluaran tempatan meningkat 1.4 peratus pada November 2021. Peningkatan ini disumbangkan oleh indeks pertanian, perhutanan dan perikanan (5.9 peratus), indeks pembuatan (1.3 peratus) dan indeks bekalan air (0.9 peratus). Manakala indeks perlombongan dan indeks bekalan elektrik dan gas menurun, masing-masing mencatatkan 2.3 peratus dan 0.3 peratus.

Mengulas lebih lanjut, beliau berkata “penurunan indeks perlombongan disebabkan harga minyak mentah yang merosot berikutan penemuan varian COVID-19 baharu, iaitu Omicron buat pertama kalinya dikesan di Afrika Selatan yang menyebabkan kebimbangan penyebarannya, sekali gus memperlahankan permintaan terhadap komoditi tersebut.”

Tambah beliau lagi, harga komoditi yang melambung tinggi baru-baru ini disebabkan cuaca sejuk, angin kencang berserta hujan lebat di kebanyakan tempat di Malaysia mempengaruhi kenaikan kos komoditi, terutamanya sayur-sayuran.

“Bilangan pekerja yang tidak mencukupi di kawasan ladang juga mengurangkan bilangan keluaran, seterusnya mengakibatkan gangguan bekalan dan menyebabkan kenaikan harga,” katanya dalam kenyataan sidang media hari ini.

Baru-baru ini, hujan lebat menyebabkan banjir besar di beberapa buah negeri turut memusnahkan kebanyakan tanaman dan kemudiannya boleh mengakibatkan gangguan dalam rantaian bekalan, malah mendorong kepada kecenderungan tekanan terhadap harga pasaran.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.