3 Januari 2022, 21:08

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur membuat kunjungan hormat ke Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sebagai tanda kerjasama dan sedia duduk bersama-sama agensi untuk membincangkan hal berkaitan dengan aspek keselamatan pekerja.

Pertemuan yang berlangsung selama kira-kira sejam berkisar tentang bentuk kerjasama yang boleh diusahakan secara bersinergi antara pihak DBP dengan JBPM Kuala Lumpur untuk keselamatan dan kesiapsiagaan pegawai DBP menghadapi situasi kecemasan seperti kebakaran, kecederaan, kemalangan dan bencana alam.

Menurut Ketua Pengarah DBP, YBhg. Datuk Abang Salehuddin Abg Shokeran, pegawai kurang didedahkan dengan ilmu pengetahuan dan teknik yang betul dalam mengendalikan peralatan bantuan kecemasan, seperti penggunaan alat pemadam api ketika berlakunya kebakaran di pejabat, meskipun peralatan tersebut telah disediakan.

“Latihan kecemasan adalah sangat penting untuk memastikan para pegawai tidak panik dan mampu mengawal diri dalam keadaan cemas, serta bertindak dengan betul dalam usaha menyelamatkan diri masing-masing,” kata YBhg. Datuk Abang Salehuddin.

Menerusi pertemuan ini, Timbalan Pengarah JBPM Kuala Lumpur, YBrs. PPjB Rozihan Anwar Mamat mengatakan bahawa setiap bangunan perlu melakukan Pelan Tindak Balas Kecemasan (Emergency Response Plan atau ERP) untuk memberikan pendedahan kepada pekerja mengenai langkah keselamatan sekiranya berada dalam kes kemalangan atau kecemasan yang sebenar.

Selain itu, pihak pengurusan dan pentadbiran bangunan perlu membuat pemantauan secara berkala pada alat pemadam api, laluan kecemasan, lampu keluar, pintu keselamatan dan jeriji di tingkat atas bangunan. Hal ini dikatakan demikian kerana perkara ini penting untuk memastikan premis tersebut selamat diduduki.

YBrs. PPjB Rozihan Anwar Mamat (kiri) bersama-sama PPgB Mohammad Nu’aim ‘Izzuddin Mohammad Hanafiah (kanan) dalam sesi kunjungan hormat dengan pihak DBP.

“Sebanyak 38 video pendek telah dimuat naik ke dalam saluran YouTube oleh pasukan JBPM untuk dijadikan sebagai panduan kepada pekerja, termasuklah masyarakat tempatan agar lebih cakna terhadap isu yang melibatkan aspek keselamatan diri,” kata YBrs. PPjB Rozihan Anwar.

Tambah beliau, kempen kesedaran yang melibatkan media juga perlu dilakukan untuk menyampaikan mesej keselamatan diri dan langkah pengurusannya. Hal ini secara tidak langsung berupaya mengetengahkan fungsi pasukan penyelamat bomba kepada masyarakat umum.

Oleh hal yang demikian, YBhg. Datuk Abang Salehuddin memaklumkan bahawa DBP sangat positif dan menyambut baik segala usaha yang dijalankan oleh JBPM untuk memberikan pendedahan ilmu dan teknik pengurusan kecemasan, selain daripada memastikan keselamatan pekerja dan premis sentiasa dalam persekitaran yang selamat dan terjamin.

Kunjungan pertemuan pada petang tadi turut dihadiri oleh Pegawai Perhubungan Awam JBPM Kuala Lumpur, PPgB Mohammad Nu’aim ‘Izzuddin Mohammad Hanafiah.

Turut serta dalam pertemuan tersebut ialah Ketua Editor Bahagian Majalah, Dr. Rosmani Omar; Ketua Akademi DBP, Dr. Haji Santrol Abdullah; Ketua Bahagian Komunikasi Korporat, Encik Sharrul Rizal Hashim; Ketua Bahagian Keselamatan, Encik Mohd Syafik Mad Badri; dan pegawai-pegawai kanan DBP dari Bahagian Pentadbiran Am, Bahagian Promosi dan Pengiktirafan serta Bahagian Penguatkuasaan.

Mengulas lebih lanjut, YBhg. Datuk Abang Salehuddin merakamkan penghargaan atas kerjasama yang diberikan dan turut mengharapkan pihak JBPM agar dapat melaksanakan pemeriksaan pada bangunan DBP walaupun dalam tempoh pascapandemik ini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.