Oleh Aisyah A.
3 Januari 2022, 17:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) bersetuju untuk memberikan moratorium kepada usahawan Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana  (PMKS) yang mendapat pembiayaan di bawah MEDAC rentetan bencana banjir yang terus melanda negara baru-baru ini.

Hal ini seiring dengan iltizam Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, yang prihatin dan berharap agar sektor PMKS dapat dipulihkan dan usahawan PKS dapat kembali beroperasi seperti sedia kala secepat mungkin.

Antara bank dan agensi yang menawarkan moratorium ini, termasuklah Bank Rakyat, Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), SME Bank dan SME Corp.

Bank Rakyat memberikan penangguhan selama enam bulan bagi usahawan membuat pinjaman melalui Pembiayaan Peribadi-i, Pembiayaan Perumahan-i, Pembiayaan Kenderaan-i, Sewa Beli Kenderaan-i, Pembiayaan Pendidikan-i, Pembiayaan Mikro-i dan penangguhan bayaran keuntungan bagi Pajak Gadai-i. PUNB juga memberikan penangguhan bagi tempoh yang sama bergantung kepada tahap kesan banjir yang dihadapi oleh usahawan PMKS.

Manakala SME Bank memberikan pengecualian sewaan selama dua bulan kepada penyewa di kompleks perniagaan usahawan SME Bank, serta menawarkan penjadualan semula, di samping menawarkan Dana Pemulihan Bencana dengan jumlah pembiayaan sehingga RM500 ribu dalam tempoh enam bulan moratorium.

SME Corp. pula menawarkan tiga pakej pembiayaan, iaitu SME Revitalisation Financing (SMERF), Soft Loan Scheme For Small and Medium Enterprise (SLSME) dan SME Emergency Fund (SMEEF) untuk semua PKS yang terjejas akibat bencana banjir dalam sektor ekonomi.

Pakej pembiayaan ini dapat membantu mereka membeli peralatan, membaik pulih premis perniagaan dan bertindak sebagai dana modal untuk permulaan perniagaan.

Pakej-pakej ini diberikan moratorium pembayaran balik sehingga enam bulan dan bagi peserta, tiga program sedia ada ini akan diberikan moratorium selama tempoh yang sama, iaitu sehingga Jun 2022.

Dalam usaha mengukuhkan sektor industri, kerajaan terus komited untuk memastikan bantuan dapat disediakan bagi menjamin kesejahteraan Keluarga Malaysia, terutamanya dalam situasi ketika ini yang benar-benar memerlukan bantuan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.