11 Januari 2022, 22:07

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR), Tan Sri Abu Zahar Ujang mengadakan sidang media berikutan dengan beberapa isu yang berlaku dalam Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sehingga menimbulkan polemik dan persepsi negatif.

Sidang media ini adalah berkaitan dengan isu melibatkan (1) Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki; (2) dakwaan surat daripada mantan ahli Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR) SPRM, Dr. Edmund; (3) salah guna kuasa dan penyelewengan barang kes mantan ketua pengarah sebuah agensi; (4) penahanan pegawai dalam membantu siasatan kes jenayah; dan (5) pertuduhan pegawai SPRM terima suapan.

Yang berikut merupakan ringkasan sidang media Tan Sri Abu Zahar pada hari ini:

1) Urus Niaga Saham yang Terkait dengan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki

Tan Sri Azam Baki, Ketua Pesuruhjaya SPRM.

Mesyuarat khas telah dilaksanakan pada 24 November 2021 dengan penglibatan daripada semua wakil LPPR bagi mendapatkan dan mengetahui penjelasan lanjut.

Dalam pertemuan itu, Tan Sri Azam menjelaskan kedudukan sebenarnya bahawa akaun saham milik beliau ketika itu digunakan oleh adiknya, Nasir Baki untuk membeli saham berkaitan pada tahun 2015. Jelasnya, beliau tidak mempunyai sebarang kepentingan pecuniary ataupun benefisial bagi pembelian mahupun pemilikan saham berkenaan.

Pada masa yang sama, pembelian saham tersebut dibuat di pasaran saham terbuka dan tiada sebarang percanggahan kepentingan bagi pembelian saham berkenaan pada tahun 2015. Walau bagaimanapun, kesemua saham tersebut telah dipindahkan semula kepada Nasir Baki dalam tahun berkaitan.

Setelah berbincang dengan panjang lebar, ahli-ahli LPPR berpendapat bahawa Tan Sri Azam tiada sebarang kepentingan pecuniary mahupun benefisial terhadap saham berkenaan. LPPR turut berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan tanpa sebarang perlakuan jenayah atau conflict of interest dalam perkara tersebut. Maka itu, LPPR bercadang untuk memaklumkan perkara tersebut kepada masyarakat.

Namun begitu, isu ini telah dibangkitkan terlebih dahulu oleh bekas ahli Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR) SPRM, Dr. Edmund Terence Gomez.

Sebagai seorang terpelajar dan Ahli Jawatankuasa PPPR, tentu sekali Dr. Edmund mengetahui struktur dan tanggungjawab semua lima panel yang bebas memantau semua perjalanan Pentadbiran SPRM.

Oleh demikian, Tan Sri Abu Zahar berpendapat bahawa beliau mempunyai dua pilihan untuk mengemukakan perkara yang beliau tidak puas hati kepada LPPR atau Jawatankuasa Aduan (JKA).

2) Dakwaan Surat daripada Mantan PPPR SPRM, Dr. Edmund

Tan Sri Abu Zahar menegaskan bahawa beliau tidak menerima apa-apa surat daripada Dr. Edmund meskipun sehingga ke hari ini.

“Namun begitu, setelah Dr. Edmund menghebohkan perkara ini di media sosial, seterusnya atas arahan saya, pegawai sekretariat SPRM telah menghubungi dan menjemput Dr. Edmund untuk berbincang isu-isu yang dibangkitkan secara bersemuka untuk saya mengetahui perkara yang sebenarnya berkaitan dengan rasa tidak berpuas hati, tetapi tidak dipersetujui.”

Tambah beliau, pendiriannya ialah mempertahankan dan melindungi imej SPRM daripada terjejas dan bukannya melindungi pegawainya yang membuat salah laku.

Maka demikian segala aduan yang dilakukan haruslah disertakan dengan bukti kukuh dan saksi yang dipercayai untuk dikemukakan kepada LPPR atau JKA.

Selain itu, Dr. Edmund juga boleh membuat laporan polis berhubung isu yang dibangkitkan sekiranya tidak percaya atau yakin kepada panel-panel tersebut. Untuk makluman, peranan PPPR adalah untuk menasihati SPRM dari aspek pencegahan dan pendidikan masyarakat. Peranan lain ialah menasihati Suruhanjaya bagi meningkatkan keberkesanan aktiviti pemeriksaan dan perundingan terhadap amalan, sistem dan tata kerja di sektor awam dan swasta yang membuka ruang dan peluang perlakuan jenayah rasuah.

3) Salah Guna Kuasa dan Penyelewengan Barang Kes Mantan Ketua Pengarah Sebuah Agensi yang Melibatkan Tiga Pegawai SPRM

Tan Sri Abu Zahar berkata, “Saya sangat berpuas hati dengan tindakan SPRM yang telah menyiasat kes berkenaan dan seorang suspek dalam kalangan seorang pegawai SPRM telah pun dituduh di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur semalam (4 Januari 2022).

“Daripada mula perkara ini berlaku, SPRM dan LPPR berharap supaya suspek hendaklah dituduh di mahkamah secepat mungkin untuk mengelakkan persepsi negatif masyarakat, namun pihak SPRM tiada kuasa untuk membuat pertuduhan, kerana kuasa membuat apa-apa pertuduhan merupakan kuasa mutlak pihak Peguam Negara (AG).”

LPPR turut dimaklumkan bahawa susulan kes berkenaan, SPRM telah melakukan asset recovery dan menyita sejumlah wang tunai bernilai kira-kira A.S.$4.07 juta dan RM1.6 juta, serta aset yang dibeli hasil wang haram tersebut, iaitu dua bidang tanah, tiga kereta, dua motosikal dan sebuah rumah.

4) Penahanan Tiga Pegawai dalam Membantu Siasatan Kes Jenayah

“Saya telah mengadakan perbincangan bersama Pengurusan Tertinggi SPRM dan menyatakan pendirian LPPR yang memandang serius berhubung kes yang melibatkan pegawai SPRM dalam kejadian rompakan berkumpulan yang disiasat di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan pada 10 Disember 2021,” kata Tan Sri Abu Zahar.

Kes ini bermula apabila pihak polis telah mengenal pasti tiga suspek dalam kalangan pegawai SPRM dan SPRM telah memanggil mereka yang disyaki seterusnya menyerahkannya kepada pihak polis.

Hal ini secara tidak langsung membuktikan ketegasan SPRM yang tidak berkompromi atau melindungi mana-mana pegawainya yang terlibat dalam sebarang salah laku jenayah. Pihak polis juga memberikan jaminan akan menyelesaikan kes berkenaan dalam tempoh segera dan menyerahkannya kepada Jabatan Peguam Negara untuk menentukan tindakan selanjutnya.

5) Pertuduhan Dua Pegawai SPRM Terima Suapan

Dalam sidang media petang tadi, menunjukkan bahawa SPRM tegas dalam mengambil tindakan terhadap pegawai yang melakukan kesalahan juga terbukti apabila dua pegawainya telah dituduh di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, Johor pada 21 Oktober 2021 atas kesalahan memperoleh suapan berbentuk wang tunai sebagai balasan kononnya mereka boleh membantu menyelesaikan kes seorang individu yang disiasat SPRM.

Enam anggota LPPR mengemukakan cadangan dan nasihat bagi penambahbaikan SPRM supaya kekal sebagai sebuah agensi pencegahan rasuah yang unggul dan berprestij.

Oleh hal yang demikian, LPPR mendapati bahawa SPRM kini sedang meneliti Prosedur Standard Operasi (SOP) dan pelbagai aspek dalaman dari sudut integriti sebagai penambahbaikan agar perkara sedemikian tidak berulang.

JKA mencadangkan sebanyak 31 penambahbaikan dalam tatacara kerja SPRM, antaranya ketidakpatuhan dalam kendalian barang-barang kes; kelemahan dalam pengendalian dokumen terperingkat, serta pemeriksaan prosedur siasatan dan keperluan logistik.

Dalam hal ini, LPPR akan terus memantau perkembangan isu berkaitan dan memberikan pandangan dalam membentuk suruhanjaya bersama pegawai yang berimej, serta berintegriti tinggi.

Mengulas lebih lanjut, cadangan dua akta berkaitan dengan rasuah, iaitu Akta Dana Politik dan Akta Antilompat, LPPR menyokong penuh cadangan tersebut sebagai langkah membanteras rasuah dalam kalangan ahli politik, sekali gus mendapatkan kestabilan politik dalam negara.

Sebagai sebuah badan pemantau bebas, LPPR akan sentiasa memantau, meneliti, memberikan nasihat dan mengemukakan cadangan penambahbaikan supaya SPRM kekal sebagai sebuah agensi pencegahan rasuah yang unggul dan berprestij, sekali gus mencapai matlamat negara bebas rasuah.


Sumber: Teks Sidang Media YBhg. Tan Sri Abu Zahar Ujang, Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR).

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.